Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Penggali Kubur Maut Tertimbus Dalam Liang Lahad

Penduduk kampung memenuhi kawasan perkuburan Kampung Penak.
MENTAKAB – Seorang penggali kubur menemui ajal dalam liang lahad apabila dihempap ketulan tanah besar ketika sedang menggali kubur milik seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Penak, pagi semalam.
Mangsa, Mohd Zailan Hamid, 46, dipercayai mati akibat patah tengkuk dan kecederaan teruk di kepala selepas tertimbus hampir keseluruhan badan ketika melakukan kerja akhir menyiapkan liang lahad milik Minah Ishak, 76, yang mati sakit tua lepas Subuh semalam.

Kejadian berlaku ketika Zailan bersama seorang lagi rakannya Mohd Nasir Musa, 40, berada dalam kubur terbabit untuk melakukan kerja-kerja akhir pada liang lahad kira-kira jam 10.15 pagi.
Menurut seorang lagi penduduk kampung, Nizri Bakar, 57, dia melihat Zailan dan Mohd Musa menyiapkan bahagian akhir liang lahad sebelum secara tiba-tiba ketulan tanah besar jatuh di atas badan Zailan dan menimbus keseluruhan badannya.
“Saya sedang bercangkung tepi kubur, tiba-tiba satu ketulan tanah menghempap Zailan yang sedang baring dalam liang lahad, Zailan terkambus lebih setengah meter, hanya kaki kanan dia yang terjulur keluar.
“Masa itu saya menjerit memanggil rakan-rakan lain yang sedang berehat minum di kawasan kubur supaya mengeluarkan Zailan.
“Kami gali beramai-ramai dengan tangan, takut nak guna cangkul sebab kepala dan badannya tertimbus dalam tanah,” katanya.
Penduduk kampung melihat kubur milik Minah Ishak yang runtuh ketika digali di Kampung Penak, semalam.
Ambil masa 5 minit keluarkan kepala mangsa
Sementara itu seorang lagi penduduk kampung Abdul Halim Musa, 43, berkata, dia dan penduduk kampung mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan kepala mangsa yang tertimbus.
“Masa gali saya nampak ada banyak darah pada kepala Zailan, ketika itulah saya dapat lihat arwah alami cedera teruk di kepala, tengkuk dan tulang pipi arwah patah.
“Kami angkat Zailan ke atas, tidak berapa lama kemudian dia menghembuskan nafas terakhir di sisi penduduk kampung,” katanya.
Tidak pernah alami kejadian seperti itu
Sementara itu Abdul Aziz Md Taha, 51, anak kepada Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya dekat Taman Bukit Cermin di sini, pagi semalam menganggap kejadian tersebut sesuatu yang tidak pernah dialami penduduk kampung.
“Mak saya meninggal Subuh tadi, ketika menggali kubur berlaku pula kematian kepada si penggali kubur, ini tidak pernah berlaku di kampung ini,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk, Abdul Walit Abdul Malek berkata, arwah Zailan tidak seperti biasa sebelum itu.
Menurutnya, ketika sedang menggali kubur, Zailan yang masih bujang, tidak seperti rakan lain, arwah lebih banyak mendiamkan diri dan tingkah lakunya tidak seperti biasa.
“Kami di sini sangat terkejut dengan kejadian yang berlaku, dalam satu hari ada dua kematian yang berkaitan antara satu sama lain.
“Zailan memang pakar menggali kubur terutama kerja menyiapkan liang lahad yang memerlukan hasil kerja yang halus, dia biasanya akan bersama Mohd Nasir melakukan kerja tersebut,” katanya.
Abdul Walit berkata, kubur arwah Minah yang sepatutnya dikebumikan tengah hari terpaksa digali semula menggunakan jengkaut atas sebab-sebab keselamatan.
Polis terima laporan
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood mengesahkan kejadian.
Menurutnya, mayat Zailan telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat.
Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan