Kertas kerja ini bertujuan untuk meninjau proses
migrasi orang Banjar dari Kalimantan Selatan ke Semenanjung Malaysia pada dua
zaman: pada awal abad ke-20 dan pada masa kini. Pada awal abad ke-20 migrasi
orang Banjar ke Semenanjung Malaysia berlaku secara besar-besaran, tetapi pada
masa kini secara kecil-kecilan sahaja. Untuk memahami perbezaan tersebut,
kertas kerja ini terutamanya ingin membincangkan faktor-faktor yang mendorong
orang Banjar bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada abad ke-20 dan
faktor-faktor apa pula yang tidak mendorong orang Banjar bermigrasi ke
Semenanjung Malaysia pada masa kini. Kertas kerja ini menghujahkan bahawa orang
Banjar bermigrasi secara beramai-ramai ke Semenanjung Malaysia pada awal abad
ke-20, kerana adanya “faktor penolak” seperti keresahan politik dan tekanan
penjajah Belanda di Kalimantan Selatan, dan “faktor penarik” seperti peluang
membuka dan memiliki tanah di Semenanjung Malaysia. Pada masa kini “faktor
penolak” dari Kalimantan Selatan, seperti kemiskinan dan tekanan ekonomi
mungkin masih ada. Akan tetapi, “faktor penarik” dari Semenanjung Malaysia
sudah tidak ada lagi. Walaupun kini di Semenanjung Malaysia terdapat banyak
peluang pekerjaan, tetapi pekerjaan yang terbuka untuk para migran ialah
pekerjaan sebagai kuli yang rendah statusnya. Di samping itu, orang Banjar kini
mempunyai banyak tempat pilihan untuk mereka bermigrasi.
Pengenalan
Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 migrasi
dari Indonesia ke Semenanjung Malaysia (Malaya atau Tanah Melayu pada waktu
itu) berlaku secara besar-besaran. Pelbagai suku bangsa dari Indonesia, seperti
Jawa, Banjar, Bugis dan Boyan (Bawean) serta orang Sumatera, seperti
Minangkabau, Aceh, Mandailing, Korinci, Palembang dan Jambi telah bermigrasi ke
Tanah Melayu. Antara tujuan mereka datang ialah untuk merebut peluang ekonomi
yang terbuka luas pada masa itu, khasnya untuk bekerja sebagai buruh di
perkebunan asing atau untuk membuka tanah sebagai petani kecil. Mengikut Banci
(sensus) Penduduk Malaya tahun 1947, yang paling ramai datang ke Semenanjung
Malaysia pada masa itu ialah orang Jawa, sementara orang Banjar adalah yang
kedua ramai selepas orang Jawa.
Pada masa kini, migrasi orang Jawa, bersama-sama
dengan orang Madura dan Boyan ke Semenanjung Malaysia masih berterusan. Orang
Jawa masih merupakan kumpulan etnik terbesar yang bermigrasi ke Semenanjung
Malaysia mulai tahun 1970-an. Pada masa yang sama, orang yang berasal dari
pulau yang agak jauh dari Malaysia, seperti orang Lombok dan Flores juga ramai
yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia. Kedua-dua kumpulan etnik yang terakhir
ini terutamanya datang untuk bekerja di sektor perkebunan.
Akan tetapi, migrasi orang Banjar ke Semenanjung
Malaysia nampaknya tidak berterusan. Terlalu kurang sekali orang Banjar dari
Kalimantan Selatan yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia dalam era 1970-an hingga
kini. Jika ditemui sebilangan kecil pekerja migran Banjar dari Indonesia,
mereka bukan berasal dari Kalimantan Selatan, tetapi umumnya dari Riau dan
Jambi atau Sumatera Utara. Orang Banjar dari Kalimantan Selatan dikatakan bukan
tidak ada yang bermigrasi ke luar negara. Akan tetapi destinasi mereka kini
ialah Mekah dan Madinah, dan mungkin juga Sabah dan Sarawak; bukan Semenanjung
Malaysia. Di samping itu, mereka yang bermigrasi ke luar negara mungkin
merupakan golongan kecil sahaja berbanding dengan mereka yang tidak
meninggalkan tanah air mereka.
Oleh yang demikian, makalah ini ingin meninjau
migrasi orang Banjar ke Semenanjung Malaysia pada dua zaman: pada awal abad
ke-20 dan pada masa kini. Persoalan utama yang akan dibincangkan ialah mengapa
ramai orang Banjar yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada awal abad
ke-20, dan mengapa pula sedikit sekali orang Banjar yang bermigrasi ke
Semenanjung Malaysia pada masa kini? Untuk menjawab persoalan tersebut, akan
diteliti faktor-faktor yang menyebabkan orang Banjar bermigrasi beramai-ramai
ke Semenanjung Malaysia pada awal abad ke-20, dan faktor-faktor apa pula yang
menyebabkan orang Banjar kurang sekali bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada
masa kini.
Bagaimanapun, sebelum meninjau migrasi orang Banjar
pada awal abad ke-20, mungkin ada baiknya jika ditinjau lebih dahulu secara
ringkas migrasi orang Banjar ke Semenanjung Malaysia pada akhir abad
ke-19.
Migrasi pada Akhir Abad ke-19
Sebenarnya tidaklah dapat dipastikan bilakah tarikh
paling awal orang Banjar dari Kalimantan Selatan bermigrasi ke Tanah Melayu.
Mengikut Tajuddin Noor Ganie (2004) pada tahun 1780 dan 1862 telah berlaku
migrasi orang Banjar secara besar-besaran ke pulau Sumatera. Orang Banjar yang
menjadi migran pada tahun 1780 itu ialah para pendukung Pangeran Amir yang
menderita kekalahan dalam perang saudara antara sesama bangsawan kerajaan
Banjar, iaitu raja usurpatur Pangeran Tahmidullah. Mereka mesti melarikan diri
dari wilayah kerajaan Banjar, kerana sebagai musuh politik mereka sudah dijatuhi
hukuman mati. Yang menjadi migran pada tahun 1862 pula ialah para pendukung
Pangeran Antasari dalam kemelut Perang Banjar. Mereka mesti melarikan diri dari
pusat pemerintahan Banjar di kota Martapura, kerana kedudukan mereka sudah
terdesak sedemikian rupa. Pasukan Residen Belanda sudah berjaya menguasai
kota-kota besar di wilayah kerajaan Banjar. Pangeran Antasari sendiri sudah
memindahkan pusat perlawanannya ke daerah Muara Teweh, di Kalimantan Tengah.
Dalam hal ini, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa sebahagian orang Banjar
yang bermigrasi ke pulau Sumatera itu kemudian telah bermigrasi pula ke Tanah
Melayu. Akan tetapi, bilakah tarikh paling awal mereka bermigrasi ke Tanah
Melayu tidaklah diketahui.
Namun, berdasarkan maklumat yang diberi oleh
beberapa orang informan dipercayai di sekitar tahun 1870-an sudah ada orang
Banjar yang sampai ke Tanah Melayu (Ghazali Basri 1974/75: 9). Seperti yang
dibayangkan oleh Ganie (2004) kedatangan orang Banjar pada masa itu banyak
didorong oleh pergolakan politik yang berlaku di negeri Banjar, khasnya
penaklukan Belanda ke atas kerajaan Banjar pada tahun 1860.
Mengikut Ghazali Basri (1974/75: 9) sebagai reaksi
kepada penaklukan Belanda itu ramai golongan pembesar, terutamanya golongan
Pangeran dan Gusti yang melarikan diri ke hutan-hutan untuk melakukan serangan
balas terhadap Belanda. Mereka yang mahu bekerjasama dengan Belanda dilantik
menjadi pegawai atau pembesar dalam pemerintahan Belanda di Banjar, tetapi
pihak yang menentang atau tidak mahu bekerjasama sentiasa diburu oleh Belanda.
Oleh kerana terus diburu oleh Belanda, ramai yang meninggalkan negeri Banjar
dan berhijrah ke tempat lain. Pada mulanya mereka berhijrah ke satu tempat
bernama Tongkal di pantai timur pulau Sumatera. Kemudian sebahagiannya menyeberangi
Selat Melaka lalu membuat penempatan di Semenanjung Tanah Melayu.
Salah seorang pembesar Banjar yang terawal sampai
ke Tanah Melayu ialah Gusti Anang. Beliau dikatakan datang ke Tanah Melayu di
sekitar tahun 1880-an dan mula-mula tinggal di Batu Pahat, Johor Kemudian
beliau berpindah dan menetap di daerah Krian, Perak sehingga meninggal dunia
pada awal tahun 1973. Semasa hayatnya beliau pernah berulang-alik ke Banjar
tidak kurang daripada tiga kali (Ghazali Basri 1974/75: 9).
Mengikut Ghazali Basri (1974/75: 10) lagi ketika
dia melakukan kajiannya pada pertengahan tahun 1970-an, orang-orang Banjar
keturunan Pangeran masih terdapat di kampung Banjar, Teluk Intan, Perak.
Orang-orang keturunan Gusti pula masih terdapat di Bagan Datoh, Perak, di Sungai
Besar, Selangor dan di Batu Pahat, Johor. Antara saki baki keturunan kerabat di
Raja Banjar itu ialah keluarga Gusti Noh di Bagan Datoh, dan keluarga Gusti
Idris di Sungai Besar.
Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, keturunan
Pangeran dan Gusti itu dikatakan sangat dihormati oleh orang-orang Banjar di
Semenanjung Tanah Melayu, kerana status mereka yang tinggi. Akan tetapi, pada
masa kini penghormatan sedemikian sudah tidak ada lagi. Antara sebabnya ialah
kebanyakan keturunan Pangeran dan Gusti itu tidak berharta. Hal ini demikian,
kerana ketika mula-mula datang ke Tanah Melayu dahulu, para pengikut mereka
bekerja keras untuk memperoleh seberapa banyak tanah untuk dijadikan harta.
Sebaliknya, golongan Pangeran dan Gusti itu tidak berbuat demikian, dan hanya
berpuas hati dengan penghormatan dan sedikit pemberian daripada pengikut
mereka.
Migrasi pada Awal Abad ke-20
Mengikut Tajuddin (2004) orang Banjar sekali lagi
melakukan migrasi secara besar-besaran ke pulau Sumatera pada tahun 1905.
Antara sebabnya ialah Sultan Muhammad Seman yang menjadi raja di Banjar ketika
itu telah mati shahid di tangan pasukan tentera Belanda. Mereka terpaksa
melarikan diri, kerana tidak mahu hidup di bawah pemerintahan Belanda. Di
antara mereka yang melarikan diri ke pulau Sumatera itu tentu ada yang
berhijrah pula ke Semenanjung Tanah Melayu seperti pada masa sebelumnya.
Pada masa yang sama, ada pula orang Banjar yang
terus berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu, kerana mengikut Hasan Basri (1988:
47) di samping pulau Sumatera, Tanah Melayu adalah tumpuan utama penghijrahan
orang-orang Banjar pada masa itu.
Oleh yang demikian, mengikut banci penduduk Malaya
tahun 1911, pada tahun tersebut sudah ada 21,227 orang Banjar di Tanah Melayu.
81% daripada mereka tinggal di Perak, 13.5% di Selangor dan 3.7% di Johor.
Orang Banjar ada juga dinegeri-negeri lain, tetapi bilangannya tersangat kecil.
Lebih 88% orang banjar di Perak tinggal di daerah Krian, sementara kebanyakan
orang Banjar di Selangor pula tinggal di Kuala Langat (Tunku Shamsul Bahrin
1964: 150).
Pada tahun 1921 orang Banjar di Tanah Melayu
meningkat hampir 80% menjadi 37,484 orang. Peningkatan paling besar berlaku di
Johor, dari 782 orang pada tahun 1911 menjadi 8,365 orang pada tahun 1921.
Kebanyakan orang Banjar di Johor ditemui di Batu Pahat (5,711 orang) dan di
Kukub (1,166 orang). Di Perak peningkatan orang Banjar berlaku di daerah Hilir
Perak, sementara di Selangor pula berlaku di daerah Kuala Selangor (Tunku
Shamsul Bahrin 1964: 151).
Antara tahun 1921 hingga 1931 penduduk Banjar di
Tanah Melayu bertambah 7,503 orang menjadi 45,351 orang. Perak, Johor dan
Selangor masih merupakan tiga negeri di mana bilangan orang Banjar paling
ramai. Dalam tiga negeri inilah tinggal 96% orang Banjar di Tanah Melayu.
Bagaimanapun, dalam period itu berlaku sedikit perubahan dalam taburan orang
Banjar di Tanah Melayu. Jika sebelum itu, lebih 50% orang Banjar tinggal di
Perak, pada tahun 1931, bilangan orang Banjar di negeri itu telah berkurang.
Sebaliknya, bilangan orang Banjar di Johor dan Selangor telah bertambah, kerana
sebahagian orang Banjar di Perak telah berpindah ke Johor dan Selangor yang
mengalami pembangunan ekonomi yang lebih pesat.
Antara tahun 1931 dan 1947, walaupun berlaku krisis
ekonomi pada awal tahun 1930-an dan kekacauan pada zaman pendudukan Jepun,
orang Banjar di Tanah Melayu terus meningkat pada kadar 2.5% setahun.
Bagaimanapun, dalam period ini, pengurangan penduduk Banjar telah berlaku di
Johor, khasnya di daerah Batu Pahat, di mana mereka sebelumnya mengusahakan
kebun kecil getah. Sebahagian daripada mereka berpindah ke pulau Sumatera,
sementara sebahagian lagi berpindah ke kawasan padi di Kuala Selangor, Krian
dan Hilir Perak, dengan tujuan untuk mengelakkan kebuluran. Dengan perpindahan
mereka ini, penduduk Banjar di Perak meningkat kembali sehingga melebihi 50%
daripada keseluruhan penduduk Banjar di Semenanjung Tanah Melayu (Tunku Shamsul
Bahrin, 1964: 153).
Secara umum migrasi orang Banjar dikatakan
mempunyai pola yang konservatif, ertinya mereka tetap bertani dan melakukan
pekerjaan yang serupa dengan pekerjaan yang mereka lakukan di kampung halaman
mereka (Mochtar Naim 1984: 298). Hal ini memang benar bagi orang Banjar yang
bermigrasi ke Tanah Melayu. Kebanyakan orang Banjar yang tinggal di Krian,
Hilir Perak dan Kuala Selangor adalah penanam padi, walaupun ada juga yang
mengusahakan kebun kecil kelapa atau getah. Kebanyakan orang Banjar di Batu
Pahat pula mengusahakan kebun kecil kelapa atau getah, tetapi ada juga yang
bersawah padi. Pada masa permulaan, orang Banjar dianggap sebagai kelompok yang
terbaik dalam hal membuka hutan dan menggali parit (Mochtar Naim 1984: 43-44).
Mengenai faktor yang mendorong orang Banjar
bermigrasi, adalah menarik kita meneliti pendapat tiga pengkaji yang berikut:
Mochtar Naim (1984), Hasan Basri (1988) dan Tunku Shamsul Bahrin (1964).
Mengikut pendapat Mochtar Naim (1984:42)
Walaupun orang Bugis, Banjar dan Bawean (Boyan)
datang dari pulau-pulau yang berlainan, mereka nampaknya mempunyai sikap yang
hampir serupa mengenai migrasi. Mereka terdorong untuk bermigrasi bukan kerana
alasan adat atau pola-pola sosial, melainkan kerana tekanan ekonomi dan
peperangan.
Bagaimanapun, antara “tekanan ekonomi dan
peperangan” itu, Mochtar Naim mungkin (1984: 287) lebih menekankan faktor
ekonomi, apabila dia menyatakan di tempat lain:
Kehadiran sejumlah besar orang-orang Bugis dan
Banjar di daerah-daerah Pesisir Timur Sumatera dan di Malaysia kelihatannya
lebih bermotifkan ekonomi daripada dorongan sosial yang terbit dari sistem
sosial mereka masing-masing di Sulawesi Selatan dan Kalimantan Selatan.
Jika pendapat Mochtar Naim ini kita kaitkan dengan
tahap-tahap migrasi orang Banjar, kita mungkin boleh mengatakan bahawa migrasi
orang Banjar pada peringkat awal hingga akhir abad 19 lebih banyak didorong
oleh faktor peperangan. Sebaliknya, migrasi orang Banjar mulai awal abad ke-20
lebih banyak didorong oleh faktor ekonomi.
Pendapat Hasan Basri tidaklah begitu berbeza
daripada pendapat Mochtar Naim. Berdasarkan penelitiannya terhadap migrasi
orang Banjar ke Surakarta, beliau berpendapat (Hasan Basri 1988: 49):
Motif migrasi orang Banjar ke Jawa lebih banyak
disebabkan oleh faktor ekonomi. Selagi motif utama migrasi adalah ekonomi, maka
mudah diduga bahawa para migran menuju ke daerah-daerah yang mempunyai ekonomi
baik, setidak-tidaknya menurut persepsi para migran.”
Bagaimanapun, motif ekonomi itu mungkin merupakan
faktor yang penting bagi migrasi yang bermula pada awal abad ke-20. Bagi
migrasi pada permulaan dan akhir abad ke-19, motif ekonomi kelihatannya perlu
ditinjau kembali, kerana daerah asal migran, seperti Banjarmasin, Amuntai,
Kandangan, Barabai dan Tanjung ternyata memiliki potensi ekonomi yang cukup
baik. Kesemua daerah itu adalah daerah penghasil beras utama di Kalimantan
Selatan.
Oleh itu,bagi migrasi orang Banjar pada permulaan
dan akhir abad ke-19, Hasan Basri (1988:52-53) berpendapat:
Faktor geografi dan ekonomi dapat dipandang sebagai
faktor yang potensial tetapi tidak mendorong, sedangkan faktor keresahan
politik menjadi kekuatan migrasi yang efektif mendorong.
Hasan Basri membayangkan “keresahan politik” itu
timbul akibat perebutan takhta di kalangan keluarga raja, penaklukan kerajaan
Banjar oleh penjajah Belanda dan pengenaan pelbagai cukai yang membebankan
rakyat sejak penjajah Belanda campur tangan dalam pemerintahan Banjar.
Keresahan politik itu mendorong orang Banjar meninggalkan negeri mereka pada
akhir abad ke-19.
Sementara itu, Tunku Shamsul Bahrin (1964: 47-49)
menekankan peluang ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu, khasnya peluang memiliki
tanah yang telah disediakan dengan sistem pengairan, sebagai satu faktor yang
“menarik” orang-orang Indonesia, khasnya orang Banjar untuk datang ke Tanah
Melayu. Pada masa yang sama, pelbagai cukai yang membebankan, yang dikenakan
oleh pemerintah Belanda, seperti cukai kerja (labour tax), cukai tanah, cukai
poll, dan cukai peribadi, telah “menolak” orang-orang Indonesia supaya
meninggalkan tanah air mereka dan berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.
Dalam kes orang Banjar, apa yang menarik ialah
mereka terus menetap di Tanah Melayu setelah berusaha membuka tanah dan membuat
kampung halaman di negara ini. Dengan itu, kawasan yang menjadi tumpuan migrasi
orang Banjar pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua dahulu, seperti daerah Krian
dan Perak Tengah (Perak), Kuala Selangor dan Sabak Bernam (Selangor) dan Batu
Pahat (Johor) terus kekal sebagai penempatan utama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan