Oleh: Dr.
Zaharuddin Abd Rahman
Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di
kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan
semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya
syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu
bermegah dan riya' dengan amalannya.
"Kau , dah hari ker berapa dah?"
"Aku dah 5 hari dah ni"
"Esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di
bulan syawal ini.
Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba
menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan
yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih
hebat?'.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan
seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa
riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan
khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu
apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia
tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati
masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi
penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan
hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa
yang mana satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di
antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah
puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي
بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang
hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan
amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan
diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih
kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun
dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha
puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang
lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini
masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di
ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat
berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa
Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh
itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya
tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira
masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya
menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya
tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala
sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك
فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها
كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم
يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة
واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan
melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah
baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di
tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no
6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah
lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari
sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang'
ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan
pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya
amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi
mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk
memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik
membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat
untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak
melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana
pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan
pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu
dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha
(yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini
timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat,
seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid'
atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul
masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib
termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan
lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy
(ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka
berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan
wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak
berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan
kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan
kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula
boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan
Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah
r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari
puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" (
Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat
yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat
puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang
mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu
dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas
menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat
syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah
As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min
Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat
tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib
al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh
Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana
berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan
kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti
(pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi'
iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa
makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu,
kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada
niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1,
1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan
adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima,
contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan
semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira.
(Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet
Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh
dibuat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang
terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang
wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah
"keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan
tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk
menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj,
1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar,
panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
tq berkongsi info
BalasPadam