Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


KamarrEsyah....Dendangan Merdu Dikir Zikir...

Salam....

Halwa telinga untuk hari ini....dari UNIC.



Ramadhan ini (1434H) Yang Dilalui..

Salam....

Ramadhan ke-21 (29 Julai 2013).

Terasa cepat masa berlalu...rasa baru sangat lagi di bulan Ramadhan...sudah masuk 10 hari terakhir Ramadhan...

Dalam tempoh ini, banyak perkara berlaku di bulan Ramadhan dalam lingkungan kehidupan saya..sekadar berkongsi untuk renungan...

Tiga hari sebelum Ramadhan 1434H (7 Julai jam 9.20pm), kami dikejutkan dengan kemalangan yang meragut sepasang suami isteri peneroka Felda Gunung Besout yang baru pulang dari pekan Sungkai setelah selesai makan malam bersama-sama anak mereka. Mereka naik kereta berasingan. Pasangan ini berdahulu di hadapan...ketika tiba di hadapan Polisco (Polis Bantuan Felda), mereka berhenti lalu memberi 5 tin air 100 plus kepada Polisco bertugas sambil tersenyum berkata, "Ini pakcik sedekah untuk anak-anak". Setelah itu berlalu pergi. Selang beberapa minit, dalam jarak 500 meter tiba-tiba terdengar dentuman. Rupanya, pakcik ini telah terlanggar sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit. Lori berkenaan tidak berlampu. Pasangan ini meninggal di tempat kejadian. Al-Fatihah buat mereka dan takziah buat keluarga ini.

9 Julai jam 7pm, abah terima panggilan telefon dari saudaranya. Dikhabarkan, sepupu abah (perempuan) telah meninggal dunia akibat ketumbuhan otak. Walaupun pembedahan telah dijalankan beberapa hari sebelum itu, namun ajal almarhumah sudah tiba dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur dan disemadikan di Tanjung Karang, Selangor.

16 julai lingkungan jam 3pm. Jiran saya (pakcik) cedera parah di tangan kanannya selepas jarinya termasuk ke dalam mesin tebu ketika baru sahaja hendak memulakan perniagaan pasar Ramadhan. Kejadian 6 tahun lalu berulang kembali kepada pakcik ini...kejadian 6 tahun lalu pada Ramadhan ke-5 telah menyebabkan pakcik ini kehilangan 3 jari kanannya. Ketika itu, mesin tebu itu baru pertama kali digunakan bagi menggantikan mesin tebu lama yang dicuri orang pada malam sebelum itu. Kejadian berlaku di waktu kemuncak (ketika pengunjung sedang ramai). Kali ini (tahun 2013) kejadian serupa berlaku (mesin tebu sama) dan menyebabkan pakcik ini kehilangan semua jari-jari tangan kanannya. (ketika cerita ini dibuat, pakcik ini masih ditahan di wad Hospital Slim River).

18 Julai jam 3.24am, adik perempuan saya (anak ke-3 dalam keluarga) selamat melahirkan bayi lelaki sulong (anak ke-3) dan cucu mak abah saya yang ke-9 dan cicit ke-9 Tok Wan saya (ayah abah) dan cicit ke-70 arwah Nenek Laki (ayah mak). Syukur, Allah kurniakan kami keluarga yang besar...

Semoga Ramadhan ini berlalu dalam suasana yang damai dan penuh barakah. Dan mudahan Syawal yang bakal tiba kelak, menemukan kami dengan keluarga yang terpisah jauh dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara kami. In Sha Allah... 







Naturgo Mask dan Shiseido Mask vs Masker Telur


Naturgo Mask

Bulan lalu aku ada beli Naturgo Mask dan Shiseido Mask. Tak banyak pun beli...setakat nak mencuba keberkesanannya sebab aku ada juga baca dalam blog yang menyatakan mask ni memang best. Terpengaruh dengan testimoni pengguna tu..aku pun nak la juga merasakan keberkesanannya. Alhamdulillah, barang yang aku order itu akhirnya sampai beberapa hari selepas aku order (aku order hari Jumaat, orang tu pos hari Isnin dan sampai Selasa menggunakan Pos Laju).

Malamnya, selepas solat Isyak, aku pun buat la operasi memakai mask ini. Aku cuba Naturgo Mask dulu....anak aku yang tengok aku pakai mask ni jadi takut tengok seluruh muka aku dah jadi hitam legam...dekat pun tak berani. Tapi perasaan takut tu kejab je...tak lama lepas tu datang mengendeng tepi aku dan tanya macam-macam soalan..nape mama pakai ni...nape mama tak pakai yang satu lagi (merujuk kepada mask putih telur yang aku selalu buat-tampal dengan kapas muka)...

Setengah jam selepas tu, apabila mask betul-betul dah kering, aku tarik mask dari muka aku...mula-mula nak tarik tu, puas aku cari macamana cara nak tarik mask ni...macam tak de tempat nak tarik pun...puas belek-belek muka, lastnya aku cuba guna kuku untuk mengelupaskan mask tu dari bawah dan tepi untuk tarik. Alhamdulillah, akhirnya berjaya.

Selepas dapat tarik mask tu, aku tengok kotoran yang melekat...boleh tahan...tapi apa yang aku perasan mask ni tak menepati kepuasan hati aku saat ketika menggunakan masker telur....aku rasa, masker telur lagi best dan kotoran yang sukar nak dikeluarkan pun boleh ditarik sama. Cuma, masker telur yang disapu atas kapas muka tu akan mengambil masa yang agak lama untuk kering (antara 1-2 jam). Tetapi kesannya memang best sebab muka terasa lembap dan licin berbanding aku guna Naturgo, rasa biasa sahaja...


Shiseido Mask

Beberapa hari selepas tu aku try pula guna Shiseido Black Mask. Macam Naturgo Mask juga...bau pun sama gak...aku tak tau apa beza kedua-duanya...kesan selepas pemakaian mask ni pun sama macam Naturgo...tak ada bezanya...aku tak lah puas hati sangat...Mungkin sebab aku dah biasa guna masker telur, jadi kepuasan selepas menggunakan mask ni tak seberapa...bagi mereka yang tak pernah cuba masker telur, mungkin merasakan masker ini hebat dan bagus. 

Nampaknya, aku akan tetap menggunakan masker telur selepas ini walaupun nak memakainya tu agak leceh sikit dan boring nak menunggu lama untuk kering, tapi kesan akhirnya tu yang best!


Bukan Kerana Duit...


Assalmualaikum dan salam sejahtera...

Pagi tadi apabila tiba sahaja ke pejabat, saya buka komputer di meja saya. Setelah radio IKIM FM online dibuka, saya segera bersarapan. Sambil itu, sempat saya buka emel saya dan menghantar task mingguan Unit Kejuruteraan ke Unit HR.

Ketika melihat emel-emel yang saya terima, terpandang saya kepada satu emel dari adik saya Ijan lalu segera saya membukanya. Terkesima sebentar membaca setiap baris ayat yang ada lalu tanpa sedar air mata mula menitis...sebak rasa hati ini.

Tidak pasti sama ada kalian yang lain telah atau pernah membaca kisah ini tetapi ini adalah pertama kali bagi saya. Namun, ingin saya kongsikan kisah ini sebagai panduan dan pengajaran buat diri saya dan kita semua. Ia adala pelajaran pertama yang saya perolehi pada pai Jumaat yang mulia ini.  

------------------------------------------------------------------------------------------




'Nota Hati Seorang Lelaki' ( Pahrol Mohd Juoi )

Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah kisahnya...

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota , dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri
dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar ditembak reaksinya.

"Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek.

"Takkan 5 ringgit?"

Emak mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang  mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota . Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

"Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi  keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!. Di
samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.

Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tah apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama :

"Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa."

Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada?  Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!



Derma darah..




 

 
Proses menderma darah


Beg darah...450ml



Kesan suntikan jarum untuk alirkan darah keluar...bahagian kanan atas kesan suntikan lama.

10 Jun 2013, hanya ini yang mampu saya lakukan untuk membantu mereka yang memerlukan. Dua kali dah anak perempuan saya, Najla yang berumur 3 tahun melihat situasi ini dan mudahan satu hari kelak apabila dia dewasa juga akan melakukan perkara serupa. Saya terinspirasi melihat abah saya yang sejak muda hingga kini (57 tahun) yang suka menderma darah. 

Kali pertama menderma pada tahun 2003 apabila berat saya mencapai 45kg (sebelum itu berat kurang dan darah tak cukup untuk menderma). Sejak itu saya jadikan ini sebagai satu cara beramal. Saya terpaksa berhenti menderma pada 2009-pertengahan 2012 kerana mengandung dan menyusukan anak. Jika orang tanya sakit ke tidak, sukar juga nak nyatakan. Cuma kulit saya jenis mudah lebam dan biru. Jadi, selepas menderma, saya akan sapu dengan vicks di keliling tempat suntikan bagi mengurangkan lebam. Saya suka buat kerja ini sebab berasa puas dapat membantu. Walaupun banyak parut kesan cucuk di lengan kanan dan kiri (paling banyak kiri) tapi saya tak kisah pun.




Aku Pengembara


Foto dari oasis22.blogspot.com


Sejak dua menjak ni, aku rasa berkobar-kobar untuk melihat dunia luar yang lebih luas. Perasaan ini menjadi-jadi sejak pulang dari Hatyai bulan lalu.

Teringin rasanya ingin mengembara seluruh pelusuk alam ini mencari sebuah kehidupan masyarakat pelbagai bangsa budaya. Mengenal erti sebuah kehidupan dalam dunia yang semakin pesat membangun..menyelami hati dan perasaan masyarakat yang masih mundur terpinggir. Menginsafi sebuah kehidupan dan mensyukuri segala kenikmatan.

Apakah ada ruang buat diriku untuk berkelana mencari sebuah makna kehidupan? Semoga Allah memudahkan aku dalam pencarian ini....amin...


Hatyai Lagi?



Lama rasanya tak update blog ni...sifat kemalasan dalam diri buatkan diri ini tidak kuat untuk membuka blog sendiri dan menaip kata-kata dan catatan hari-hari ku sendiri. Terlalu banyak perkara ingin dikongsi tetapi terlalu banyak juga perkara perlu disimpan hanya untuk diriku sendiri yang tak mampu aku kongsi.

Insha Allah, dalam tempoh terdekat ini, aku akan ke Hatyai lagi bersama keluarga. Mungkin terlanjur kenduri ke rumah mak saudara di Sungai Petani, akan terus sahaja bermusafir ke Hatyai untuk membuat percutian keluarga.

Jika berkesempatan, akan aku titipkan perjalanan itu untuk dikongsikan di sini. Insha Allah. Doakan agar perjalanan ini selamat pergi dan balik. Amin...

Cari Makan di Thailand..

Saya baru sahaja balik dari Hat Yai...ikut jiran tempat saya yang bersuamikan orang Thai...kampung jiran saya tu di Chana Thai...

Apa yang menarik nak saya ceritakan di sini tentang makanan mereka yang sempat saya rasa....ada gak yang saya terlupa nak ambil gambar seperti Kuew teow Latna Thai Utara (saya makan di sebuah restoren bernama Halal Restaurant di Khlong Hae) dan keropok udang (beli kat Pasar Terapung Khlong Hae...pasar ni hanya buka dari Jumaat hingga Ahad sahaja).

Malas nak taip banyak-banyak, tengok dan baca captions bawah gambar tu ok..

Halal Restaurant di Khlong Hae...Restoren ni betul-betul di simpang
 masuk jalan ini...ia restoren dua tingkat. Kalau terus ke depan
dalam 500 meter jumpa Masjid Songkla...kat sini la saya makan
Kueh Teow Latna Utara...kuah dia ada rasa masam-masam sikit...
rupa-rupanya ada campur tau chu. Harga makanan saya tu 50 Bath.


Pandangan dari depan restoren...masa kami lalu dan berhenti
depan kedai ni, ingatkan kedai ni tak buka sebab sunyi je...
rupanya terlindung dengan pokok-pokok jadi tak perasan ada orang...
kami makan kat ruang sebelah kiri tu...masuk ikut situ...
harga makanan kat sini tak lah mahal sangat, tapi atas
50 Bath (lebih kurang RM5).

Kuih kerak masih dalam acuan...kuih ni dibuat daripada tepung beras...
menurut kawan saya tu, kuih ni dah moden sikit, dulu tak ada
la letak inti jagung...tak ingat pula inti apa yang dia bagi tahu...mungkin gula kot!


Kuih Kerak berintikan jagung..ini lah rupanya bila dah dikeluarkan
 dalam acuan...saya beli satu pinggan polisterin 20 Bath..ada
dalam 10 keping rasanya (tak kira pun)


Ini adalah Apam Lambung yang dah siap masak...
Masa nak bungkus akan ditabur kelapa parut di atasnya...
20 Bath harganya untuk satu acuan tu..


Acuan Apam Lambung...dipanggil apam lambung sebab
masa keluarkan dari acuan akan dilambung-lambung
 dahulu baru diletakkan dalam tray atau dibungkus...

Pulut Ayam Thai...20 Bath...kenyang makan pulut ni...


Dari kiri atas: Apam Lambung, Kuih Kerak dan Pulut Ayam Thai...
Semua ni beli kat pekan Chana, Thailand


Sarapan pagi saya, Nasi Ayam Thai...(tak ada sup macam kita
 kat sini..Nasi tu guna beras wangi)..tuan rumah dan jiran saya
 suami isteri yang masak...sedap juga..

Pasar Terapung, Khlong Hae..Para peniaga makanan menjual makanan
 atas sampan...masa saya pergi ni tak ramai sangat peniaga
dalam sampan ni sebab mereka banyak berniaga di sebelah atas...jika tidak, penuh peniaga sampai ke seberang sungai..


Satu lagi tarikan di Pasar Terapung...pembeli boleh buat
pilihan sama ada nak beli air minuman dalam bekas biasa
atau dalam tembikar ini...dalam tembikar harganya 25 Bath
(kalau tak silap saya).


Ini pula adalah luk cup (kalau kat Malaysia selalu buat
untuk hantaran kahwin). 


Insya-Allah, dalam masa terdekat ni akan ke sana lagi...dan akan cari lagi makanan halal yang best-best...


Akibat Dadah, Bayi 4 Bulan Diabaikan



Lihatlah gambar-gambar di bawah dan bacalah laporan dari sumber yang saya perolehi di sini.

Keadaan bayi 4 bulan yang amat menyedihkan

Sedih menatap keadaan bayi yang tidak berdosa ini. Akibat terlalu kecewa dan tertekan apabila suaminya ditangkap, si ibu bertindak mengambil dadah sehingga mengabaikan tanggungjawabnya kepada anak kecil yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang. 
Lebih menyedihkan, melihat tubuh bayi ini dengan kesan melecet yang teruk.  Didapati anak ini telah sakit selama dua minggu sebelum seorang penduduk menghubungi pihak Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.   

Tidak dapat membayangkan penderitaan anak ini tanpa mendapat rawatan sepatutnya. Malahan, berat badan anak ini juga menurun kerana tidak diberi susu ibu atau susu formula, hanya air kosong sahaja. Ya Allah, kasihan sungguh...sedih memikirkannya..Saya juga ada anak dan tidak dapat membayangkan bagaimana jika anak saya langsung tidak diberi makan dan minuman berkhasiat.

Kesan melecet yang tidak dirawat

Andainya tiada sesiapa yang peduli, tidak mustahil anak ini mungkin menderita lebih teruk. Saya kira, perumpaan "Jangan jaga tepi kain orang lain" tidak boleh lagi diguna pakai pada zaman ini. Jika kita masyarakat keliling tidak ambil tahu, siapa yang hendak ambil tahu dan membela nasib mereka yang tidak bernasib baik seperti ini?
Semoga kita semua sedar akan fungsi masyarakat hari ini dan lebih peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling..
Saya berdoa, semoga anak ini akan mendapat rawatan terbaik dan kelak dipelihara dengan baik dan membesar menjadi anak yang beriman...amin...


Muhammad Najmi, Kanak-Kanak 4 Tahun Menderita Brain Tumor





Anda yang prihatin!

Mari kita sama-sama menghulurkan bantuan dan berdoa untuk kesihatan dan kesejahteraan buat adik Muhammad Najmi yang berusia 4 tahun. Adik ini menghidap penyakit Brain Tumor (ependymoma) stage 2.

Adik Najmi mendapat rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang dan telah menjalani radioterapi sebanyak 18 kali. Hampir setiap minggu adik Najmi terpaksa berulang-alik dari Kuala Kedah ke Hospital Besar Pulau Pinang. Setiap kali seleas menjalani rawatan, adik Najmi akan demam dan sakit. 

Kesan lain diterima, adik Najmi juga mengalami masalah keguguran rambut.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi 

Puan Salmiah Bt Salleh (ibu) 019-5413632 
En Azlin Bin Zakaria (ayah) 012-4263127 

Bantuan kewangan boleh disalurkan ke:

RHB BANK: 1-02041-0007914-7 En Azlin Bin Zakaria 

Alamat: 102, Penempatan Nelayan, Seberang Kota. 06600 Kuala Kedah, Kedah.

Semoga adik Najmi akan sembuh dari penyakitnya dan membesar dengan baik. Amin...