Bagi memahami dan mempraktikkan al-Quran dan as-Sunnah, tidak lain dan tidak bukan mestilah sesuai dengan petunjuk sahabat Nabi SAW. Mereka adalah manusia yang lebih memahami tentang agama, mereka lebih faham tentang hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran. Sebab itu Ibn Mas'ud RA ketika menceritakan tentang sahabat Nabi, katanya;
"Sesiapa sahaja yang mencari contoh untuk diikuti, maka contohilah para sahabat Rasulullah SAW kerana mereka adalah yang paling baik hatinya di kalangan umat ini, paling mendalam ilmu agamanya, umat yang paling sedikit dalam berlebih-lebihan, paling lurus bimbingannya dan paling baik keadaannya. Allah telah memilih mereka untuk mendampingi Nabi SAW dan menegakkan agamanya. Ketahuilah keutamaan mereka, dan ikutilah jalan mereka kerana mereka semua berada pada shiratal mustaqim (jalan yang lurus lagi benar)." (Tafsir Al-Qurthubi)
Di sini dibawakan satu teori iaitu teori K.U.M.A.N.. Maka apabila datang sahaja apa-apa ibadat atau perbuatan, semak dahulu lima perkara ini.
K- KITAB: Apabila kita bercerita tentang hadis Nabi atau apa-apa ibadah contohnya ibadah Ramadhan yang menurut sunnah, orang menolaknya dengan membawakan alasan dalam kitab itu bilang begini. Mereka berdalilkan kitab dan membelakangkan al-Quran dan hadis yang sesuai dengan kefahaman sahabat Nabi SAW.
U- USTAZ atau ULAMA: Ustaz dan ulama lebih diutamakan berbanding al-Quran dan hadis. Menurut mereka mustahil ustaz dan ulama tidak mengetahui al-Quran dan hadis, mustahil ustaz dan ulama tidak merujuk kitab, mustahil ustaz itu silap.
M- MAJORITI: Mereka melihat bilangan. Jika ramai orang amalkan sesuatu maka itulah yang akan diikuti sedangkan kebenaran bukanlah terletak kepada pengikutnya. Sebab itu Nabi SAW menyebut di dalam hadis, ertinya; " Islam bermula dalam keadaan asing dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing itu." (Riwayat Imam Muslim no.208.)
A- AKAL: Apabila kita mengatakan Nabi tidak pernah buat seperti ini, mereka menjawab apa masalahnya, amalan ini kelihatan baik. Mereka mengira sesuatu itu baik berdasarkan akalnya. Akalnya didahulukan daripada al-Quran dan as-sunnah.
N- NENEK MOYANG: Apabila kita memberikan dalil, mereka bertanya pula, jika dalil ini benar, adakah orang tua-tua dahulu masuk neraka? Ini masalah. Lupakah kita ALLAH SWT mencerca golongan-golongan Arab Jahiliyah di dalam firman-Nya ;
Ertinya, " Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa yang telah diturunkan ALLAH', mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari nenek moyang kami." "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?" (surah Al-Baqarah, 2: 170)
Maka dari sini kita fahami alasan nenek moyang tidak relevan dan tidak boleh diterima. Hanya dengan prinsip ini sahajalah kita boleh membezakan antara adat dengan ibadat, perkara yang disyariat dan perkara yang direkacipta oleh manusia. Dengan prinsip ini barulah kita dapat membezakan antara bid'ah dengan sunnah.
Oleh: Ustaz Fathul Bari Mat Jaya
Sinar Harian, 12 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan