Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Kanak-kanak 5 Tahun Selamatkan Adik Dari Rentung Terbakar

Artikel yang aku paparkan ini sebenarnya telah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian Edisi Perak pada 12 Ogos 2012 yang lalu. Apa yang membuatkan aku nak sangat paparkan ini adalah kisah keberanian seorang kanak-kanak perempuan yang telah menyelamatkan adiknya dari rentung dalam kebakaran. Bayangkan, seorang kanak-kanak kecil yang baru berumur 5 tahun dapat berfikir dengan pantas bagaimana untuk menyelamatkan diri apabila berada dalam keadaan bahaya. Baca kisahnya di bawah...(Artikel ini aku  dah sunting bagi meringkaskan cerita).

........................................................................................

Tindakan berani seorang kanak-kanak perempuan mendukung adiknya yang baru berumur tiga bulan telah menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa kebakaran di rumah mereka di Kampung Kua, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, kanak-kanak tersebut, Siti Zahara Farhana Nabila Azli,5, segera mendukung adiknya, Nur Airin Nazra, tiga bulan, sambil berlari keluar dari rumah selepas melihat api di bahagian dapur rumah mereka.

Ketika kejadian, ibu mereka, Salwana Asma Aida, 22, baru sahaja keluar ke kedai berdekatan bersama anaknya, Nur Anis Nadila, 4, manakala tiga orang lagi anaknya ditinggalkan di rumah.

"Tidak sampai lima minit di kedai, saya melihat anak sulung saya berlari sambil menangis dan memberitahu rumah terbakar.

"Saya terus bergegas pulang dan mendapati anak bongsu saya berada di beranda rumah kerana diselamatkan kakaknya," katanya.

Menurut Salwana Aida , apabila mendapati seorang lagi anaknya, Nur Adawiyah tidak kelihatan dia nekad masuk ke dalam rumah walaupun api begitu marak di bahagian dapur dan tengah rumah.

"Syukurlah saya sempat menyelamatkannya yang ketika itu berada dalam bilik sambil menangis.

"Tiada kata dapat digambarkan dan saya bersyukur kerana anak sulung saya berani mendukung dan membawa adiknya keluar rumah," katanya.

Menurutnya, walaupun hanya membawa keluar ke beranda lalu meninggalkan adiknya sebelum berlari memberitahunya, namun tindakan itu mampu menyelamatkan mereka.

Tambahnya, beliau berasa sedih berikutan semua kelengkapan menyambut Aidilfitri untuk anak-anak telah musnah dalam kebakaran tersebut. Mereka kini tinggal sehelai sepinggang dan menumpang teduh di rumah ibu Salwana.

"Petang semalam (kelmarin), saya dan suami, Azli Zulkifli,32, sempat ke bandar Kuala Terengganu membeli kelengkapan pakaian raya untuk anak-anak.

"Tidak sangka hari ini (semalam) semuanya telah musnah," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi daripada balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mohd pitter Tengah berkata, pihaknya telah menerima panggilan jam 11.46 pagi.

"Ketika tiba ke lokasi kejadian, kebakaran tersebut telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah.

"Kebakaran dapat dikawal jam 12.30 tengahari. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan