Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Zakat dan sedekah..

Salam....

Aku terpanggil untuk berkongsi maklumat dan info dengan pembaca blog aku ni mengenai tajuk di atas...Aku pasti dan penuh yakin yang anda semua pasti tahu apa itu zakat dan sedekah kan? Tapi ramai juga di kalangan kita (aku pun) masih belum betul-betul tahu secara mendalam makna di sebalik zakat dan juga sedekah...

Hari ni aku malas nak taip panjang-panjang...aku cuma copy paste dari blog orang lain je...jom baca..


Artikel 1





Zakat itu rukun

“Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Agama Islam ditegakkan atas lima perkara, iaitu mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan sembahyang fardhu, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah (jika mampu), dan berpuasa pada bulan Ramadhan.” (al-Bukhari dan Muslim)


Zakat membersihkan


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.” Riwayat Bukhari

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.” (Abu Daud)

Orang yang lebih layak diberikan zakat

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)” (Imam Ahmad)

Ancaman enggan berzakat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tidak ada seorang pun yang mempuyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk, dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya.” Riwayat Muslim

Berkerja agar dapat memberi

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah. Para sahabat bertanya: ‘Jika tidak mampu ya Rasulullah?’ Baginda menyatakan: ‘Maka hendaklah dia berusaha sendiri (bekerja dengan tangannya) yang dapat memberi faedah kepada dirinya dan dengan yang demikian dia dapat bersedekah.’ Mereka bertanya lagi: ‘Jika dia masih tidak sanggup (tidak mampu bekerja)? Jawab nabi: ‘Maka hendaklah dia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan.’ Tanya sahabat lagi: ‘Jika sekiranya dia tidak dapat berbuat demikian?’ Jawab nabi: ‘Maka hendakah dia (mengerjakan kebaikan dan) menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika dia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah dia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah juga dianggap sedekah.” (Riwayat Bukhari)

Imej dari Google

 
Bersedekah tapi jangan aniaya mereka…

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya.” Riwayat Bukhari dan Muslim

Dari Hakim bin Hizam r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang memohon dipelihara (agar dia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan siapa yang memohon dicukupkan (agar tidak ada ketergantungan selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.” (Bukhari)

Bermacam-macam jenis sedekah

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya baginda menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun dari kami yang benar-benar mempunyai kelebihan” Riwayat Muslim

Rahsia di sebalik sedekah

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Bukhari)

Sedekah miskin dan kaya

Dari Abu Dzar r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:”Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Rasulullah SAW:”Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.” Mereka bertanya:”Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah SAW “ Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.” (al-Bukhari)

Sedekah ikut kemampuan

Dari ‘Asma binti Abu Bakar as-Siddiq r.a katanya, dia datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu dia bertanya:”Ya nabi Allah! Aku tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan selain yang diberikan Zuber (suamiku) kepaku (untuk belanja rumahtangga). Berdosakah aku apabila wang belanja itu kusedekahkan ala kadarnya ?”Jawab nabi s.a.w :”Sedekahkanlah ala kadarnya sesuai dengan kemampuanmu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu dan akan kedekut kepadamu.” (Muslim)

Sedekah tidak mengurangi harta

Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Kembangkan sedekah

Dari Salim bin Abdillah bin Umar dari ayahnya r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : “Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku.” Nabi bersabda: “Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu.” (Muslim)

Sedekah daripada usaha yang baik

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Sesiapa bersedekah seberat biji kurma dari usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung.” (al-Bukhari dan Muslim)

Antara 2 tangan

Hakim Ibnu Hizam berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan berilah lebih dahulu kepada orang yang engkau tanggungi. Dan sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang sesudah kita berikan masih ada sisa yang cukup bagi kita. Sesiapa yang memelihara diri daripada yang haram dan meminta-minta, nescaya Allah menjadikannya orang yang terpelihara. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah supaya diberi kecukupan, nescaya Allah memberikan kecukupan untuknya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Sedekah ketika sihat dan sayang

Abu Hurairah r.a berkata : “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW maka bertanyalah ia: “Ya Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Nabi menjawab: “Sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau dalam keadaan sihat dan sangat sayang kepada harta, engkau takut kepapaan dan engkau harapkan kekayaan. Dan janganlah engkau menangguhkan pemberian sedekah sehingga apabila roh engkau telah hampir ke kerongkong berkatalah engkau : “Untuk si anu begini, untuk si anu begini. Sesungguhnya si polan itu telah memilikinya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Pintu sedekah di syurga

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah. Maka berkatalah Abu Bakar: “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.” (al-Bukhari dan Muslim)

Niat sedekah yang tetap diterima

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “ Seorang lelaki berkata : “Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “ Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya : “Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Sedekah mesti halal sumbernya

Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)” (Muslim)

Jangan suka berkira dalam sedekah

Dari ‘Asma binti Abu Bakar as-Siddiq r.a katanya, dia datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu dia bertanya:”Ya nabi Allah! Aku tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan selain yang diberikan Zuber (suamiku) kepaku (untuk belanja rumahtangga). Berdosakah aku apabila wang belanja itu kusedekahkan ala kadarnya ?”Jawab nabi s.a.w :”Sedekahkanlah ala kadarnya sesuai dengan kemampuanmu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu dan akan kedekut kepadamu.” (Muslim)

Kejar akhirat bukan dunia

Rasulullah SAW ini: “Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai cita-citanya, maka Allah akan mencukupkan semua urusan dunianya; dan sesiapa yang keinginannya hanyalah kepada dunia (sebagai cita-citanya), maka Allah akan tidak akan memperdulikannya di lembah mana dia akan binasa (menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya; hanya sebatas yang telah ditakdirkan ke atas dirinya).” (Mafhum hadis riwayat Ibn Majah).

Kredit kepada Hamizul


Artikel 2
Banyak sekali dalil-dalil dari Al-quran dan Ss-sunnah yang menjelaskan tentang keutamaan zakat, infaq dan sedekah. Sebagaimana firman Allah swt mafhumnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, men -dirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada keraguan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.(Al Baqarah : 277 ).
Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada keraguan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Al Baqarah : 274 ) .
Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (At Taubah : 103).
Adapun hadis-hadis Nabi yang menjelaskan akan keutamaannya antara lain mafhumnya : Dari Abu Hurairah r.a bahawa seorang Arab Badui mendatangi Nabi s.a.w seraya berkata, Wahai Rasulullah! beritahu aku suatu amalan, bila aku mengerjakannya, aku masuk syurga?, Beliau bersabda : Beribadahlah kepada Allah dan jangan berbuat syirik kepadaNya, dirikan solat, tunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadhan, ia berkata, Aku tidak akan menambah amalan selain di atas, tatkala orang itu berlalu keluar, Nabi s.a.w bersabda : Siapa yang ingin melihat seorang lelaki dari penghuni syurga maka lihatlah orang ini. Muttafaq ’alaih. [1]
Allah SWT, adalah Zat yang Maha Suci dan tidak akan menerima kecuali hal-hal yang suci dan baik, demikian juga sedekah kecuali dari harta yang suci dan halal. Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya :
Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : Siapa yang bersedekah dengan sebiji kurma yang berasal dari usahanya yang halal lagi baik, maka sesungguhnya Allah menerima sedekah tersebut dengan tangan kananNya kemudian Allah menjaga dan memeliharanya untuk pemiliknya seperti seseorang di antara kamu yang menjaga dan memelihara anak kudanya. Hingga sedekah tersebut menjadi sebesar gunung. Muttafaq ’alaih. [2]
Zakat, infaq dan sedekah memiliki faedah yang sangat banyak, bahkan sebagian ulama telah menyebutkan lebih dari dua puluh faedah, diantaranya:
1. Ia dapat memadam kemurkaan Allah, Rasulullah s.a.w, bersabda:
Sesungguhnya sedekah secara sembunyi-sembunyi boleh memadamkan kemurkaan Rabb (Allah) (Sahih At-targhib)
2. Menghapus kesalahan seorang hamba, beliau bersabda: Dan Sedekah dapat menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api (Sahih At-targhib)
3. Orang yang besedekah dengan ikhlas akan mendapatkan perlindungan dan naungan Arsy di hari kiamat. Rasulullah saw bersabda: Tujuh kelompok yang akan mendapat naungan dari Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya diantaranya, seseorang yang menyedekahkan hartanya secara rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. (Muttafaq 'alaih)
4. Sebagai ubat bagi berbagai macam penyakit baik penyakit jasmani maupun rohani. Rasulullah saw, bersabda: Ubatilah orang-orang yang sakit diantaramu dengan sedekah. (Sahih At-targhib) beliau juga bersabda kepada orang yang mengeluh tentang keras hatinya: Jika engkau ingin lembutkan hatimu maka berilah makan pada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim. (Ahmad)
5. Sebagai penolak berbagai macam bencana dan musibah.
6. Orang yang berinfaq akan didoakan oleh malaikat setiap hari sebagaimana sabda Rasulullah saw: Tidaklah datang suatu hari kecuali akan turun dua malaikat yang salah satunya mengatakan, "Ya, Allah berilah orang-orang yang berinfaq itu balasan, dan yang lain mengatakan, "Ya, Allah berilah pada orang yang bakhil kebinasaan (hartanya). (Muttafaq 'alaihi)
7. Orang yang berzakat dan bersedekah itu akan Allah berkati harta nya, Rasulullah saw bersabda: Tidaklah sedekah itu mengurangi harta. (Muslim)
8. Allah akan melipatgandakan pahala orang yang bersedekah, Sesiapa yang menginfaqkan hartanya di jalan Allah dengan harta yang baik maka Allah melipat -gandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNyalah kamu dikembalikan.(Al-Baqarah: 245)
9. Sedekah merupakan petunjuk kebenaran iman seseorang, Rasulullah saw bersabda, Sedekah merupakan bukti (keimanan). (Muslim)
10. Sedekah merupakan pembersih harta dan mensucikannya dari kotoran, sebagaimana wasiat beliau kepada para pedagang, Wahai para pedagang sesung -guhnya jual beli ini dicampuri dengan perbuatan sia-sia dan sumpah oleh itu bersih -kanlah ia dengan sedekah. (Ahmad, Nasai dan Ibnu Majah juga dlm Sahih Al-Jami').


Nota:

{1} Mutaffaq 'alaih diriwayatkan oleh Bukhari no hadis 1397  dan Muslim no hadis 14.
{2} Mutaffaq 'alaih diriwayatkan oleh Bukhari no hadis 1410 dan Muslim no hadis 1014.

Kredit kepada Aminuddin Harun.

Bayi jadi tempat belasahan orang dewasa..

Dua bulan lepas kita telah dikejutkan dengan kisah seorang bayi perempuan berusia 8 bulan (ketika kejadian) yang dibelasah ibu kandungnya sendiri kerana tekanan perasaan...cerita ini tersebar luas selepas video hampir berdurasi lebih 4 minit itu memaparkan aksi seorang ibu yang membelasah anaknya tanpa belas kasihan..perkara ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia, malah masyarakat luar juga..walau pun ibu bayi tersebut telah dihukum (tangkapan dibuat pada hari sama kejadian berlaku selepas rakan serumah wanita berkenaan melaporkan kepada polis dan menunjukkan bukti rakaman tersebut), ramai yang merasakan hukuman penjara selama 18 bulan itu tidak setimpal dengan perbuatan wanita tersebut terhadap anak kandungnya sendiri.

Hari ini pula, pagi-pagi lagi aku terdengar berita di stesen radio Sinar FM tentang seorang bayi lelaki di Penampang, Sabah yang berusia setahun yang kelaparan dibelasah bapa sendiri sehingga mencederakan tulang belakangnya...bukan baru sekali bayi malang itu dibelasah. Berdasarkan pemeriksaan doktor mendapati badan bayi tersebut turut terdapat kesan kecederaan pada telinga dan kemaluannya. Malah terdapat juga beberapa kesan luka serta melecur di tapak kaki dipercayai akibat dicucuh puntung rokok. Untuk lebih lanjut klik sini.

Keratan akhbar Metro 29 Jun 2012.

Berita luar negara pula mengenai bayi perempuan berusia 10 bulan yang didera oleh ibu kandung sendiri. Malah, aksi rakaman penderaan itu turut dirakam si ibu...wanita berkenaan Kellie Park, 20, dari West Haven, Connecticut telah ditahan selepas menerima laporan daripada bapa bayi berkenaan yang telah menerima 55 khidmat pesanan ringkas (sms) berupa ugutan dan juga video rakaman perbuatan wanita itu mendera anaknya. Berita lanjut klik sini.

Bayi perempuan berusia 10 bulan yang didera ibu sendiri.
Amat menyedihkan apabila orang dewasa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mereka yang tidak berupaya bertindak sedemikian rupa ke atas anak-anak kecil yang tidak berdosa. Apa guna mereka ini diberi akal fikiran jika tidak digunakan untuk memikirkan baik buruk satu-satu tindakan yang diambil.

Anak-anak ini apa sangatlah yang mereka tahu...mereka hanya tahu menangis dan merengek apabila lapar dan sakit..kita sebagai orang dewasa, cubalah fahami rengekan anak dan beri lah kasih sayang kepada mereka.

Ikutkan hati aku ni...tak sanggup sebenarnya nak baca dan dengar cerita-cerita sebegini..sakit hati sungguh dengan sikap segelintir orang dewasa yang memperlakukan anak-anak kecil sedemikian rupa demi melepaskan amarah dan geram...

Wahai orang dewasa...bersabarlah dengan karenah anak-anak kecil ini..mereka hanya perlukan kasih sayang dan perhatian..tunjukkanlah kasih sayang anda kepada mereka kerana kelak mereka juga akan menyayangi anda..

Di sini aku sertakan doa bagi mengurangkan rasa marah...


Maksudnya : "Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk. Ya Allah, ampunilah dosaku dan hilangkanlah kepanasan hatiku dan lepaskanlah aku dari gangguan syaitan yang terkutuk."

Semoga doa ini berguna buat kita semua dan diriku jua...





Putri Mia Adriana perlu penderma hati..


Salam...

Baru-baru ni ketika buka facebook aku terbaca satu artikel yang menyentuh perasaan...kisah adik Putri Mia Adriana (Mia) yang mengalami penyakit missed biliary atresia disebabkan hatinya tidak dapat berfungsi dengan baik akibat saluran hempedu tersumbat.

Mia baru berusia 6 bulan. Menurut ibunya, Nurhashimah Tasim,27, ketika dilahirkan Mia dilahirkan normal seperti anak-anak yang lain tetapi ketika berusia 4 bulan mata putihnya semakin kekuningan, perut makin membesar dan najisnya berwarna pucat.

Lebih sayu lagi apabila menangis Mia akan memegang badannya seperti menggambarkan kesakitan yang dialaminya..

Sungguh kasihan mengenangkan penderitaan yang dihadapi oleh anak sekecil Mia yang tidak mengerti apa-apa..untuk menyatakan rasa sakit pun tidak mampu..

Nurhashimah berharap ada penderma hati sesuai dari darah jenis 'O' untuk anaknya bagi mengurangkan penderitaan anaknya itu. Sementara itu, bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh la berbuat demikian ke akaun Maybank Nurhashimah Tasim 162107039647.

Berita lanjut boleh klik sini atau di sini atau sini.

Aku sendiri pun ada anak kecil yang kini berusia 2 tahun...melihat Mia, aku terkenangkan anak aku...Menitis air mata ni...aku amat sedih apabila membaca kisah penderitaan anak-anak kecil...apa yang mampu aku lakukan hanyalah doa serta sedikit sumbangan buat Mia...mudahan Mia menjadi anak yang kuat dan tabah...semoga ada penderma hati sesuai untuk Mia dan mudahan Mia akan pulih dan sihat...Insya-Allah..

Semoga sumbangan yang dihulurkan dapat meringankan beban ibu bapa adik Mia dan menyelamatkan nyawanya....hari ini mungkin hari mereka, esok lusa kita tak tahu bagaimana pula nasib kita ...

Dari ‘Asma binti Abu Bakar as-Siddiq r.a katanya, dia datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu dia bertanya:”Ya nabi Allah! Aku tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan selain yang diberikan Zuber (suamiku) kepadaku (untuk belanja rumahtangga). Berdosakah aku apabila wang belanja itu ku sedekahkan ala kadarnya ?” Jawab nabi s.a.w :”Sedekahkanlah ala kadarnya sesuai dengan kemampuanmu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu dan akan kedekut kepadamu.” (Muslim)

Tips Merangsang Minda Bayi


Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. Jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) .
50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1. BERTENTANG MATA. Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adlah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2. BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA. Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

 


3. JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN. Lakikan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi Iqnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.

4. JELIRKAN LIDAH. Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5. HASILKAN BUKU BINATANG. Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, ‘bacalah’ buku itu bersama-sma sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6. GELETEKLAH BAYI ANDA. Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti ‘cak cekur’ dan ‘labah-labah panjat perigi’ dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.
7. TUNJUKKAN PERBEZAAN. Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dam pembacaan apabila dia besar kelak.
8. BERKONGSI PANDANGAN. Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. “Tengok anak kucing tu” atau “Besarkan pokok ni!” atau “ Dengar tak bunyi bomba tu?” – untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.
9. NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA. Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri (“mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin….”). Mainkan lagu Beethoven atau Beatles… Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10. GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA. Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.
11. SENTUH DAN RASA. Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12. PERGI MEMBELI-BELAH. Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.
13. BERI KATA KUNCI. Jika anda berkata “Mak nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14. BERI KEJUTAN. Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.
15. SEDIAKAN BANYAK TISU. Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16. BACA BUKU. Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan – ia dipercayai membantunya belajar bahasa.
17. MAIN CAK-CAK. Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18. JANGAN LUPA REHAT. Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda – tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.


19. MAIN DENGAN WARNA. Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya
20. BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA. Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza – termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21. ANGKATKAN SAHAJA. Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22. BIAR DIA MEMBEBEL. Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23. LATIHAN MENEKA. Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.\

24. BINA LALUAN HALANGAN. Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atu permainan dia tas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bagaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25. IKUT RENTAKNYA. Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.

26. BUAT MUKA LAWAK. Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27. RASA SEKELILING ANDA. Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me’label’ barangan tersebut.

28. CERITAKAN KISAH DONGENG. Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29. BAYANGAN WAJAH. Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi “yang lagi satu” senyum dan melambai padanya.
30. (KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS. Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira – dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31. GOYANGKAN BADAN. Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina. Boleh juga menggoyangkan badannya dengan berzikir contohnya LAILAHAILALLAH..LAILAHILALLAH .

32. JADILAH TAMAN PERMAINAN. Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

  

33. KIRA SEMUANYA. Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34. GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA. Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan Tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak (“adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?”) sehinggalah ke soalan konkrit (“Pernah tak adik nampak kucing putih?”)

35. TUTUP TV. Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan drngan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya
36. TUKAR PEMANDANGAN. Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37. MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA. Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dlam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar – dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .

38. RAKAM VIDEO UNTUKNYA. Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39. MAIN HUJAN. Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40. MENANGKAP SERANGGA. Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41. BERGURAU-SENDA. Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakana “Ini Ibu.” Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan ‘gurauan’ anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42. MAIN DENGAN PAKAIAN. Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43. AJAR TENTANG ISIPADU. Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44. HASILKAN ALBUM KELUARGA. Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.

45. SURUH ANAK MEMBUAT KERJA. Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.

46. PERGI KE PERPUSTAKAAN. Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47. CONTOHI CARA SESAME STREET. Khaskan satu minggu untuk satu abjad. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.

48. MAIN BERULANG-ULANG. Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

49. MAIN “TIRU-MENIRU”. Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50. BERCAKAP TENTANG PERASAAN. Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.


Sumber:http://www.abinajwan.com