Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Kesilapan Umat Islam Dalam bulan Ramadhan


Perkataan asal bagi puasa adalah saum yang bererti menahan diri daripada makan dan minum dan apa sahaja yang membetalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Tapi masih ramai di antara kita yang masih bemum betul-betul memahami erti puasa yang sebenarnya. Maka, berlakulah beberapa kesilapan yang tidak kita sedari atas kealpaan atau kejahilan diri-sendiri.

Berikut adalah beberapa kesilapan yang kerap berlaku di kalangan kita berdasarkan apa yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin.

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).

Sesiapa yang telah batal puasanya dengan sebab sengaja tanpa uzur seperti keluar air mani secara sengaja, merokok, makan dan minum, ia dilarang untuk makan dan minum atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-siyam, Al-Qaradawi, hlmn 112).

"Sesungguhnya, sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu". (Riwayat al-Bukhari).

 2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.

Bersahur bukanlah dilakukan di waktu malam tetapi ia dilakukan di awal pagi iaiu waktu yang amat hampir dengan waktu Subuh. Bersahur juga akan memberi kesegaran kepada kita untuk menghabiskan waktu berpuasa di siang hari.

Dari Anas bin Malik r.a., Rasululullah SAW bersabda: "Bersahurlah kerana pada  sahur itu terdapat keberkatan. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya:

 Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur. (HR: Muslim)

 3) Bersahur dengan hanya makan dan minum sahaja tanpa ibadah lain.

Kesilapan kita yang terjadi adalah menyambung kembali tidur selepas selesai bersahur. Hakikatnya, pada waktu tersebut adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya," Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar." (Az-Zariyyat:18)

"Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah, waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT). Jawab Nabi, pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu." (Riwayat At-Tirmidzi)

 4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

 Adakah sah puasa seseorang yang tidak solat? Jawapannya sah puasa itu kerana solat bukanlah antara perkara yang membatalkan puasa. Walau bagaimanapun, solat itu adalah keutamaan yang perlu dititikberatkan oleh setiap orang Islam. Ia merupakan amalan pertama yang akan dihitung di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

 5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.

 Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat Subuh berjemaah. Rasulullah SAW menyebut bahawa dengan mendirikan solat Subuh berjemaah, maka akan beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

 6) Menunaikan Solat Terawih di masjid dengan niat inginkan kemeriahan.

 Malanglah mereka kerana setiap perbuatan dan amalan dikira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (sama ada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadis riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat." (Riawayat Al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari.

 Ramai yang memberi alasan berpuasa untuk bermalas-malasan dan tidak produktif dalam melakukan kerja di siang hari. Sedangkan kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat beribadat kepada Allah pastinya akan menambahkan pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya mengaktifkan diri mereka dan bukan mengurangkannya di bulan Ramadhan ini.

 8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.

Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-sogir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

 9) Menganggap waktu Imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur.

Ini adalah kerana waktu Imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk Imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (Subuh). (As-Syam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

 10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

 Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat merka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

 11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram.

 Harta haram itu sama ada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya. Tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

 Dalam Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sohih), Nabi Muhammad SAW menceritakan : tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: "Wahai tuhanku...wahai Tuhanku...",sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya..

 Bagaimana allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan kereta, rumah, kad kredit, insuran, simpanan bank dan pendapatannya deari dumber yang haram?

 Kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan menurut kata Imam Hasan Al-Basri.

 12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.

 Ini satu lagi kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW menyebut yang bermaksud:

 "Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi." (Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir: Sohih)

Selain itu, doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadis yang bermaksud:

 "sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (tau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolk." (Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya Sohih)

 
Disusun semula: Ayna Halim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan