Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Surat buat nenda...

Posmen berhenti di hadapan rumah...nenek hanya memandang sahaja tanpa peduli untuk menghampiri. Nenek nampak posmen keluarkan sampul yang agak tebal dan keras serta berwarna kuning keorengan... Nenek hairan..sudah lama posmen tidak menghantar surat ke rumah ni..sape pula yang bagi surat ni..entah-entah silap rumah kot! Sebelum ni pun memang biasa berlaku kejadian alamat silap..nama penerima pun entah sape-sape nenek pun tak kenal.

Tiba-tiba entah dari mane nenek nampak atok sudah tercegat depan posmen..Atok bercakap-cakap sekejab dengan posmen sebelum menulis sesuatu...kemudian posmen bagi sampul oren tu dengan beberapa sampul putih lagi..hmmm...ini tentu nya kad kahwin..anak sape la yang nak kahwin pula ni..dalam minggu ni nenek terima beberapa jemputan kahwin..maklum la..seminggu lagi dah nak cuti sekolah..banyak la orang nak buat kenduri kahwin..bukan setakat kahwin, bertunang, cukur jambul dan doa selamat..

Bila atok datang dekat nenek, atok hulurkan sampul keras warna oren pada nenek..nenek tengok nama pengirim nya..hmmmm..macam aku kenal je...nenek buka dan nampak la beberapa keping surat berwarna putih bertaip kemas...lalu dibacanya...

Kiaraville,
  Changkat Duta Kiara,
Mont Kiara,
50450 Kuala Lumpur.
10 Mei 2012.

Menemui nenda di Batu Kurau yang dikasihi dan disayangi selalu. Apa khabar nenda berdua? Cucunda di sini amat berharap mudah-mudahan nenda berdua sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Kalau nenda rasa tidak sihat, cepat-cepatlah pergi ke klinik berjumpa doktor. Bukan apa, dibimbangi akan melarat sakit itu nanti. Kelak, apabila doktor sudah beri ubat, jangan lupa memakannya.

Nenda yang dikasihi,
Beberapa minggu lagi akan tiba musim cuti sekolah. Kami sekeluarga bercadang untuk pulang bercuti menemui nenda. Menurut ayahanda dan bonda, sekarang ini musim buah-buahan. Jadi kami ambil peluang dan kesempatan ini untuk bercuti lama di kampung kerana teringin menikmati buah-buahan dari dusun nenda. Kata ayahanda, di dusun nenda ada buah rambutan, langsat, manggis dan durian. Menurut cerita ayahanda lagi, buah durian Batu Kurau manis dan lemak-lemak rasanya. Apabila mendengar cerita ayahanda, terliur rasa lidah cucunda ini sebab cucunda memang hantu durian sejak dahulu lagi. Jadi, cucunda berhasrat untuk makan sepuas-puasnya buah durian itu nanti sebab buah durian di sini mahal-mahal belaka. Jika cucunda makan dari dusun nenda tidak perlu berbayar.

Nenda,
Cucunda dapat tahu yang nenda ada buat ternakan ikan keli. Benarkah? Banyakkah untung yang nenda perolehi daripada ternakan tersebut? Kebetulan cucunda gemar makan ikan keli. Jika ikan keli yang nenda ternak itu sudah besar, bolehlah nanti masakkan lauk kegemaran cucunda, masak lemak ikan keli bakar. Untuk pengetahuan nenda, saat cucunda tulis surat ini dan ayat sebentar tadi, air liur cucunda rasa hendak meleleh mengenangkan masakan kegemaran cucunda itu. Pasti lazat dan sedap kalau nenda yang masak sebab di rumah ini cucunda jarang-jarang dapat makan masakan kampung. Kami selalu sahaja dihidangkan dengan masakan berebus dan kukus sebab bonda kata makanan berlemak tidak elok untuk kesihatan, jadi bonda banyak masak masakan rebus dan kukus sahaja. Sayur-sayur yang dihidangkan pun banyak sayur salad. Sesekali hendak juga cucunda merasa lauk-pauk kampung dan ulam-ulaman.

Nenda yang dihormati,
Sudah agak lama kami sekeluarga tidak pulang ke kampung. Pada perkiraan cucunda sudah 5 tahun rasanya. Bagaimana keadaan dan suasana kampung sekarang ini? Kali terakhir cucunda pulang ke sana jalan masuk ke kampung masih tidak berturap dan hanya bertanah merah. Sebelum ini kami ada bercadang beberapa kali untuk pulang ke kampung tetapi apabila mengenangkan keadaan jalan di kampung yang masih tidak berturap, ayahanda dan bonda terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang. Menurut mereka keadaan jalan yang teruk akan menyebabkan kereta yang ayahanda dan bonda baru beli nanti akan cepat haus tayarnya. Lagi pun kereta ayahanda berwarna putih. Jika lalu di kawasan bertanah merah akan nampak jelas kotornya. 

Sebelum cucunda terlupa, cucunda hendak tahu juga adakah di kampung sudah ada liputan telefon mudah alih dan internet? Bagaimana pula dengan siaran Astro, adakah nenda melanggannya? Cucunda ingin memohon maaf sekiranya pertanyaan ini mengguris perasaan nenda. Tujuan cucunda bertanya soalan ini kerana jika cucunda pulang ke kampung nanti cucunda bimbang jika tidak dapat mengisi masa terluang cucunda kerana di sini cucunda selalu menelaah pelajaran melalui internet untuk mencari maklumat-maklumat yang terkini. Malahan dengan internet juga cucunda senang untuk berhubung dengan rakan-rakan melalui 'facebook' atau muka buku dan 'twitter'. Ayahanda pula gemar menonton siaran sukan di Astro. Bonda pula selalu berbual-bual dengan rakan-rakan perniagaan dan persatuannya melalui telefon sahaja.

Nenda yang disanjungi,
Ayahanda dan bonda ada membelikan sesuatu untuk nenda berdua ketika melancong ke Dubai minggu lalu. Untuk pengetahuan nenda, ini adalah kali kedua kami melancong ke sana. Sebelum ini kami pernah melancong ke Australia, Italy, New Zealand, Jepun dan beberapa buah negara lagi. Mungkin kami akan melancong ke Jepun pula pada penghujung tahun ini. Kami sekeluarga selalu meluangkan masa sekurang-kurangnya setahun sekali untuk melancong ke negara luar. Apabila berkunjung ke negara luar kami dapat tahu budaya masyarakat di sana dan melihat pemandangan indah dan cantik-cantik yang tidak terdapat di Malaysia. Bukan tidak mahu melancong di dalam negara tetapi kami fikir di Malaysia ini semua tempat sama sahaja. Jika ke luar negara kita boleh berjumpa dengan pelbagai bangsa dengan warna kulit dan pertuturan bahasa yang berbeza.

Nenda,
Cukup setakat ini daripada cucunda. Harapan cucunda agar nenda sedia menerima kepulangan kami tidak berapa lama lagi. Doakan kesejahteraan kami di sini.

                                                                                                       Yang benar,

Arsha   
(Marsha binti Maliki)


Nenek dan atok mengeluh selepas selesai membaca surat tersebut...apa la nak jadi dengan anak cucu aku ni...
  




Tiada ulasan:

Catat Ulasan