Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Allah Makbulkan Doa Acik..




Assalamualaikum.

Buat Alang...

Acik mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan buat Alang bersama keluarga tersayang.

Acik ambil kesempatan ini ingin memohon ampun maaf di atas segala kata-kata Acik yang telah membuat Alang tersinggung selama ini. Kita ini bila bercakap bukan sedar yang sebenarnya percakapan kita itu telah menyebabkan ada hati yang tersinggung dan terasa dengan kata-kata kita. Kita ni tak sempurna, pasti ada salah dan silapnya, termasuklah diri Acik sendiri.

Alang...

Baguslah jika Alang hendak berubah. Mula-mula Acik rasa pelik tengok Alang pakai tudung dalam rumah. Acik ingatkan Alang pakai tudung sebab Alang potong rambut terpendek atau pakai inai di rambut.

Kalau Alang hendak tahu, sebenarnya  Acik juga ingin berubah. Baru sahaja Acik bersembang dengan Ateh Jumaat lepas. Acik cakap pada Ateh kita wajib pakai tudung dan menutup aurat sepenuhnya macam mana Mak Su dan Mak Teh (adik abah) buat walau pun berada di dalam rumah, jika ada lelaki yang bukan mahram kita wajib tutup aurat. Selama ini kita bertudung tapi tak cukup sempurna.

Acik nak berubah. Tapi Acik takut buat sekerat jalan. Kalau keluarga kita mungkin boleh terima perubahan ini tapi, macam mana pula dengan penerimaan keluarga di sebelah suami Acik? Bolehkah mereka terima perubahan Acik nanti?

Untuk pengetahuan Alang, Acik mula rasa nak berubah bila mengandungkan Nuha tahun lalu. Masa tu Acik berdoa nak bersalin normal, tak mahu operate lagi macam ketika bersalinkan Aiman dulu. Kemudian nak duduk hospital sekejab saja, tak nak lama-lama seperti dulu. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa yang Acik pinta.

Allah permudahkan Acik saat bersalinkan Nuha. Acik masih bekerja pada hari Acik bersalinkan Nuha. Tetapi, kesakitan hendak bersalin mula terasa pada waktu tengahari. Namun, Acik gagahkan juga diri untuk terus bekerja.

Ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, hujan turun lebat. Acik dan Amar kebasahan dalam hujan kerana kami hanya bermotorsikal saat itu. Acik mula terasa kontraksi yang amat kerap. Acik tetap bertahan sehingga sampai ke rumah. 

Sampai di rumah, Acik sempat mandi dan solat. Kemudian Acik dan Amar bergegas ke HUKM. Acik sempat melirik ke arah jam di dinding, 6:30 petang. Mujur Aiman telah kami hantar ke kampung beberapa hari yang lalu. 

Kami sampai di hospital sekitar jam 6:50 petang. Mujur jarak hospital tak begitu jauh dari rumah. Selepas mendaftar, Acik disuruh duduk di tempat menunggu kerana mereka hendak uruskan pesakit lain. Saat tu Acik dah rasa sakit sangat. Acik mula gelisah dan tidak senang duduk. Nurse perasan keadaan Acik dan bertanya jika Acik sudah benar-benar sakit. Acik mengiakan.

Terus Acik diperiksa dan dibawa ke Dewan Bersalin. Tak berapa lama kemudian, Acik pun selamat bersalin. Masa tu Acik nampak jam di dinding berhampiran menunjukkan jam 7:15 petang. Alhamdulillah...selamat segalanya.

Selepas Nuha lahir, Acik teringin pula nak anak kembar..terfikir nak kembar tiga atau empat. Tapi, takut pula. Macam mana nak jaga anak kembar selepas bersalin nanti. Anak-anak yang dua orang lagi tu pun kecil lagi. Kalau kembar dua tak apa lah lagi. Tapi, mustahil. Keluarga kita mana ada keturunan kembar pun! Keluarga Amar pun. Mustahillah!!

Entah kenapa, Acik layari juga internet sebab nak cari artikel macam mana nak dapat anak kembar. Rupanya ada doa dan amalannya. Doa tu bermaksud:

"Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun."
(Surah As-Syafaat ayat 120)

 "Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak lelaki dan perempuan, dan la juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. " 
(Surah As Syura: 50)

Benarlah firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.” 
(Surah Yassin : 82)

Selepas beberapa bulan, Acik sedar yang Acik tak datang bulan lagi selepas habis nifas. Pernah Acik suarakan pada mak. Masa tu Nuha baru berumur 6 bulan.

Mak ada cakap, entah-entah Acik mengandung lagi sebab sejarah lepas membuktikannya. Acik mengandungkan Nuha masa Aiman berusia 4 bulan. Tapi, Acik menidakkannya walau pun kata mak bentuk badan Acik macam orang mengandung.

Masa Acik pergi klinik untuk check, dalam hati ni berkata, "Entah-entah betul aku mengandung. Kalau kembar macam mana?"

Tapi, Acik tetap berkata tak mungkinlah nak dapat kembar sebab dalam sejarah keluarga mana ada yang kembar.

Selepas jalani pregnant test, doktor sahkan yang Acik mengandung. Ya Allah, seronoknya Acik masa tu. Terima kasih Ya Allah.

Kemudian doktor scan kandungan Acik. Doktor tunjuk di ruang dalam rahim Acik. Doktor beritahu Acik yang janin dalam kandungan Acik dah kelihatan denyut jantungnya.

Tiba-tiba doktor itu berkata, "Eh! Ada satu lagi ni...tengok! Ada dua denyutan jantung ni.."

Terkejut Acik masa tu. Biar betul.

Ya, betul. Doktor maklumkan yang Acik mengandung anak kembar. Subhanallah...Rupa-rupanya Allah makbulkan lagi doa yang Acik minta. Alhamdulillah...

Ya Allah...Acik bukanlah alim dan warak. Sembahyang pun kadang-kadang tertinggal. Kadang-kadang bercakap kasar dengan mak dan abah. Malah dengan suami pun pernah terkasar bahasa. Acik pernah pukul Aiman sebab marah dengan suami. Marah suami anak yang jadi mangsa. Kasihan Aiman.

Tapi, kenapa Allah masih memakbulkan doa Acik?

Sejak itu Acik rasa Allah bagi hidayah kepada Acik supaya Acik berubah.Bila Acik teringat apa yang berlaku, Acik menangis mengenang segala dosa-dosa Acik. Acik mohon ampun kepada Allah setiap kali usai solat.

Ya Allah, Kau makbulkan doa hambaMu ini tapi aku masih lagi tidak bersyukur dengan apa yang Kau kurniakan. Ampunilah hambaMu ini Ya Allah.

Sama juga baru-baru ni. Ada jamuan raya di pejabat Amar. Orang bagi bungkusan makanan pada dia untuk di bawa pulang.

Bila sampai  ke rumah,  Acik tengok makanan yang orang bagi tadi ada nasi beriani dan sambal tapi, tak ada lauk. Ada nasi himpit dan lemang tapi, tak ada pula kuah kacang dengan rendang. Acik cari lagi dalam bungkusan tu dan jumpa biskut dan kuih-muih.

Sebelum Amar keluar untuk ke kelas insurans malam tu, Amar ada bertanya, sama ada nak beli lauk atau tidak?

Acik cakap, tak payah sebab yang ada pun dah cukup.

Kasihan pula kalau nak suruh Amar beli, membazir pula nanti.

Tak lama selepas Amar keluar, Acik terasa nak makan. Masa tu Acik kata pada diri Acik, macam mana nak makan nasi beriani ni, lauk pun tak ada. Takkan nak makan nasi je kot! Nak makan nasi himpit dengan lemang pun tak ada rendang dengan kuah kacang.

Acik rasa macam nak je pergi ke gerai makan kat depan rumah tu suruh buatkan rendang. Tapi kat gerai depan rumah tu jual makanan ala carte je. Mana ada lauk rendang malam-malam macam ni. Kalau beli lauk masa tengahari mungkin ada. Rasa menyesal lah pula bila tolak tawaran Amar nak belikan lauk tadi.

Acik rasa macam nak je telefon kawan Acik minta tolong buatkan rendang. Minta tolong dia bawa ke tempat kerja esok. Tapi takkanlah kawan Acik tu rajin sangat nak masak rendang malam-malam macam ni.

Acik rasa lapar sangat-sangat. Tak apalah, makan kuih pun jadi lah.

Acik rasa sedih sangat masa tu. Maklumlah, dalam keadaan tengah sarat mengandung ni Acik agak emosional. Perasaan Acik mudah sangat tersentuh.

Acik pujuk hati ni. Tak mengapa Raudhah, makan saja apa yang ada.

Baru je nak makan, tiba-tiba ada orang bagi salam. Rupa-rupanya jiran sebelah rumah Acik. Acik tengok di tangannya ada bungkusan. Rupanya dia datang bawa makanan. Katanya makanan itu lebihan jamuan raya di tempat kerja mak dia. Alhamdulillah, rezeki Allah buat Acik dan suami dan juga anak dalam kandungan Acik ni.

Acik buka bungkusan tu. Wah! Banyaknya. Hati rasa berbunga-bunga, seronok sangat. Harap-harap adalah makanan yang Acik idam-idamkan.

Bila Acik buka je satu bungkusan makanan tu, Acik terkedu. Rasa macam tak percaya.

Ya Allah...Kau kabulkan doaku. Apa yang aku pinta sebentar tadi kini terhidang depan mataku. Kau titipkan seseorang untuk memenuhi permintaanku. Kau Maha Mendengar doa hambaMu ini. Syukur padaMu Ya Allah...

Sambil menjamah lauk rendang ayam pemberian jiran, air mata mengalir ke pipi. Acik terharu, sebak di dada bila mengenangkan kekuasaan Allah. Rupanya, doa orang yang mengandung ni cepat sungguh dikabulkanNya.

Ya Allah..walaupun diri ini tak sempurna dalam mengenangMu, namun Kau tetap dekat denganku. Kini aku sedar, Kau tak pernah tinggalkan aku walau sesaat pun dalam suka dukaku. Kau Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kau Tuhan Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosaku.

Alang...

Masa Acik cerita kisah Acik ini kepada Alang sekarang dan ketika bercerita kepada rakan-rakan Acik, Acik menangis kerana teringat betapa selama ini Acik bukanlah hambaNya yang benar-benar menurut perintahNya. Namun Dia tetap kabulkan doa-doa yang Acik pohon.

Acik tertanya-tanya, adakah Allah masih akan makbulkan doa Acik lagi? 

Acik memohon kepadaNya agar diri ini dipermudahkan ketika bersalin kelak. Acik nak bersalin normal. Acik nak anak ramai lagi. Adakah Allah akan makbulkan doa Acik ini?

Acik teringat kejadian yang hampir meragut nyawa Acik dan Amar baru-baru ini. Ketika itu kami dalam perjalanan ke tempat kerja dengan bermotorsikal. Ketika lampu isyarat bertukar hijau, Amar meneruskan perjalanan.

Secara tiba-tiba ada sebuah van dari arah kanan dipandu laju melepasi lampu isyarat merah. Hampir sahaja melanggar kami. Mujur Amar cepat sedar kehadiran van tersebut dan berhenti di pertengahan jalan. Mujur juga kenderaan di belakang juga sempat berhenti. Jika tidak sudah pasti kami akan dirempuh dan terjatuh. Mengucap panjang Acik ketika berdepan situasi tersebut. Berdebar-debar hati ini mengenangkan baru sahaja terlepas dari malapetaka. Amar juga seperti orang yang baru sedar dari lena. Dia juga bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku. Saat itu yang Acik fikirkan adalah kandungan Acik. Syukurlah, Allah melindungi kami dan memanjangkan usia kami.

Selepas kejadian tu, setiap kali pergi dan pulang dari kerja, pasti Acik akan berdoa banyak-banyak kepada Allah agar melindungi kami dari malapetaka di sepanjang perjalanan kami. Setiap kali itu Acik tertanya-tanya, adakah aku akan terus bernafas dan menghirup udara di bumi Allah ini sehingga petang nanti, esok dan hari-hari seterusnya?

Bila pulang ke kampung baru-baru ini untuk bertemu anak-anak yang ditinggalkan kepada mak abah, Acik akan tatap wajah Aiman dan Nuha lama-lama. Akan bertemu lagi kah ibu dengan anak-anak ibu ini minggu depan? Atau adakah ini pertemuan terakhir kita? Masa tu Acik menangis bila mengenangkan nasib anak-anak jika Acik dan Amar tiada lagi. Bagaimana mereka akan meruskan hidup ini tanpa kami sedang mereka belum mengerti apa-apa. Mereka masih mendambakan kasih sayang dan belaian kami.

Kalau ikutkan hati, memang Acik nak jaga sendiri anak-anak, biar susah macam mana pun. Tak sanggup sebenarnya hendak berjauhan dengan anak-anak. Tapi apalah daya Acik.

Alang...

Acik mohon pada Alang dan seluruh keluarga kita, setiap kali selepas solat tolong doakan kesejahteraan Alang dan anak dalam kandungan ini. Doakanlah agar anak dalam kandungan ini sihat walafiat dan sempurna sifat. Doakanlah agar Acik  dipermudahkan Allah saat hendak melahirkan kelak. Dan doakanlah agar Acik dapat menunaikan segala janji-janji Acik kepada Allah yang belum terlaksana.

Sekali lagi Acik mohon ampun dan maaf jika selama ini Acik ada menyakiti Alang dan keluarga kita. Mudah-mudahan kita sekeluarga akan dipermudahkan Allah untuk menerima hidayahNya dan menuju jalan yang diredhaiNya, Insya-Allah. 

Acik sayangkan kalian...

Wassalam..



                                                                                  Ikhlas dari adikmu,
                                                                                      
                                                                                      Raudah    



Nukilan: Ayna Najla   
            27 Sept 2012 15:56
            Sungkai, Perak                                                            


Rapuh





Detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu

Video klik sini

Sebaik-Baik Manusia...




Sabda Rasulullah SAW. kepada Saidina Ali k.w yang bermaksud :

"Wahai Ali ! Sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT. adalah yang memberi kemanfaatan bagi manusia. Adapun seburuk-buruknya di sisi Allah adalah orang yang berumur panjang tetapi buruk amal perbuatannya."

"Wahai Ali ! Sebaik-baiknya manusia adalah orang yang berumur panjang serta baik amal perbuatannya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang mukmin itu ada tiga :
1.Tidak suka kepada harta dunia.
2.Tidak suka kepada wanita (maksudnya tidak suka melakukan maksiat dan mengikut hawa nafsu syahwat)
3.Tidak suka mengumpat ‘aib orang lain."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang ‘alim itu ada tiga :
1.Jujur dalam berbicara.
2.Menjauhi yang haram
3.Tawaduk (rendah hati)"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang yang bertakwa itu ada tiga :
1.Takut berdusta dan berbuat keji.
2.Menjauhi kejahatan.
3.Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang benar itu ada tiga :
1.Merahsiakan ibadah.
2.Merahsiakan sedekah.
3.Merahsiakan dugaan yang menimpa dirinya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda ahli ibadah itu ada tiga :
1.Selalu membatasi diri.
2.Selalu menghisab (menghitung-hitung) dirinya.
3.Selalu memperbanyakkan ibadah"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang soleh itu ada tiga :
1.Selalu memperbaiki hubungan dengan Allah s.w.t. melalui amal soleh.
2.Selalu memperbaiki agamanya dengan beramal soleh.
3.Selalu redha terhadap manusia dari apa yang diredai dirinya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang bahagia itu ada tiga :
1.Makanannya halal.
2.Duduk bersama para ulama’
3.Solat lima waktu bersama imam (berjemaah)"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang dermawan itu ada tiga :
1.Memberi maaf ketika berkuasa (membalas).
2.Mengeluarkan zakat dengan benar.
3.Senang mengeluarkan sedekah."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang tasamuh (toleransi) itu tiga :
1.Menyambung silaturahim pada orang yang memutuskannya.
2.Memberi kepada orang yang menghalang-halanginya
3.Memaafkan orang yang menganiayanya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang sabar itu ada tiga :
1.Sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT
2.Sabar atas dugaan (musibah) yang dideritainya.
3.Sabar atas qadak (ketetapan) Allah SWT"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang taubat itu tiga :
1.Menjauhi segala yang haram.
2.Senang menuntut ilmu untuk ibadahnya kepada Allah.
3.Tidak kembali berbuat dosa, sebagaimana tidak kembalinya susu yang sudah diperas kedalamnya."


Sumber

Aku Ingin Berubah..

 

Akhir-akhir ini perasaan ini kuat mengatakan
kau harus segera berubah
berubah menuju kebaikan
sebagai wanita Islam sebenar yang menurut syariat beragama.

Jika mahu berubah
biar dengan tekad sepenuh hati
bersegera menyambut hidayah Ilahi
usah bertangguh usah berpaling lagi.


Yakinlah! Mohon pada Ilahi
agar dikuatkan iman
berpegang teguh pada jalan Ilahi
yang dibuka luas untuk direntasi.

Ya! Aku perlu mulakan sekarang
tak perlu rasa sangsi
Allah beri aku peluang ini
masanya sudah tiba
untuk menyucikan hati dan nurani
andai dilepaskan
mungkin masih adakah peluang lagi
atau aku akan terus berterusan di persimpangan ini?
 
Ya Allah...
Aku ingin berubah
menuju jalan yang Kau redhai
pandulah aku ke jalan itu..
bimbinglah aku bersama mereka yang Kau kasihi
agar aku menjadi hambaMu yang mencintaiMu setulus hati..

Aaamiin...

Anna A.H.
21 Sept 2012 12:58 Jumaat
FRT

Kematian



Bolehkah kita menduga saat-saat kematian?
 
Tentu sekali kita boleh menduga tetapi yang akan menentukan ajal maut hanya Allah SWT. Ia jelas lagi nyata melalui surah Al-Munafiqun melalui ayat 11 dan 12.



"Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:

“Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh."

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan."

Tips kami buat bakal jemaah haji, ambillah masa sejenak untuk merenung dan membayangi saat-saat kematian yang pasti tiba dalam siri perjalanan manusia menuju ke titik akhir, syurga yang kekal abadi. Bayangan kematian ini hanyalah satu refleksi betapa kita merupakan manusia yang lemah, fakir dan kerdil yang akhirnya akan kembali kepada dia dalam keadaan yang lemah lagi tidak terdaya.

Kami mencatatkan syurga sebagai satu titik akhir kerana itulah titik nokhtah manusia yang akan kekal selama-lamanya. Siapakah yang mahu ke neraka? Siapakah yang mahu singgah sebentar, merasai keperitan yang tidak tertanggung dan barulah beredar memasuki syurga dalam keadaan dahi bertanda. Atau adakah manusia yang mahu kekal selama-lamanya di sana?

Membaca kisah-kisah peringatan dan amaran Allah di dalam al-Quran tentang azab neraka sepatutnya menggoncangkan perasaan. Kami fikir, tidaklah kami mahu singgah walau sesaat di dalam neraka bagi menghadapi pembalasan di atas keingkaran dan kerosakan yang dilakukan semasa hidup di muka bumi. Salah satu peringatan Allah betapa dasyatnya azab neraka melalui surah Al-Nisaa ayat 56.

"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah maha kuasa, lagi maha bijaksana."

Tidak kira siapa kita, sultan, raja, perdana menteri, profesor, pengarah, ahli perniagaan, pemain bola, guru, tukang masak, pemandu, penulis, suami atau isteri pastinya akan menghadapi saat-saat nyawanya ditarik perlahan-lahan sehingga akhirnya berpisah dengan jasad. 

Bayangkanlah dengan cara yang mudah. Bilakah majoriti manusia menemui ajalnya? 60 tahun? 70 tahun atau 80 tahun? Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, secara purata rakyat Malaysia meninggal dunia ketika berumur 74 tahun. Lebih spesifik, wanita lebih panjang usianya (76 tahun) berbanding dengan kaum lelaki (72 tahun).

Baiklah, marilah kita menggunakan angka 74 sebagai umur kematian. Ambillah 50% daripada umur tersebut, iaitu 37 tahun. Jika kita menunaikan fardhu haji ketika usia tersebut – 37 tahun – maka apabila pulang daripada Mekah dan Madinah, masa yang tinggal lebih pendek daripada masa yang telah kita lalui. Maksud kami, saat-saat kematian sebenarnya sangat hampir berbanding dengan masa yang telah kita lepasi.

Bagaimanapun, angka tersebut hanyalah dugaan berdasarkan purata umur kematian. Sekali lagi, ajal maut di tangan Allah. Ia tidak lambat sesaat dan tidak cepat sesaat. Ada orang yang disahkan mengidap kanser dan dijangka hanya dapat bertahan selama enam bulan terus hidup bertahun-tahun lamanya. Ada pula yang segar-bugar tiba-tiba tersepak tunggul kayu, jatuh dan terus meninggal.

Buat bakal jemaah haji, nikmat mana lagi yang hendak kita dustakan? Allah memberi peluang untuk menunaikan fardhu haji, kemudian dosa-dosa diampunkan, pahala digandakan dan seolah-olah kita dilahir sesuci bayi. Bayangan kematian pula nyata sangat-sangat menghampiri. Mahukah kita kembali melakukan sesuatu yang tidak diredha Allah? Apa lagi motivasi yang perlu dilontarkan?

Sepanjang perjalanan melakukan ibadat haji, kita akan melihat pelbagai bayangan tentang kehidupan, kematian, Padang Masyar, dan tingkat-tingkat manusia di sisi Allah. Ia datang secara semulajadi bagi mereka yang mahu berfikir tentang kebesaran Allah.

Bayangkan bagaimana manusia bertawaf dan bersaie, bergerak menuju ke Arafah, bermalam di Mudzalifah, melontar di Mina dan pelbagai kegiatan harian yang berteraskan amal ibadat kepada Allah semata-mata. Ia dilakukan bersama jutaan manusia lain. Setiap satunya mengandungi pelajaran yang perlu ditekuni dan diamati.

Bayangkan cerita-cerita yang dilontar oleh jemaah yang terdahulu. Ada yang tidak langsung bermasalah, ada yang sesat berjam-jam lamanya, terdapat yang menderita kesakitan, ada yang segar bugar dan ada pula yang dengan senang hati sentiasa berada di Masjidil Haram atau Masjid Nabi. Bagaimana pula yang hanya berehat-rehat di hotel?

Bayangkan pula ada yang diberi peluang untuk solat di saf pertama. Ada pula yang tempat solatnya sentiasa di atas tangga. Malah ada jemaah yang sentiasa bersolat di luar masjid, tidak kira di awal atau di hujung musim haji. Bayangkan pula ada jemaah mampu berada di Hijir Ismail dan Raudhah hampir setiap hari walaupun ia ruang yang sangat sempit berbanding dengan jumlah manusia yang hadir.

Segala-galanya merupakan anugerah, perbandingan, ujian, pengajaran yang mahu disampaikan Allah kepada setiap jemaah yang mahu berfikir. Barangkali, inilah rupa pembalasan selepas hari kematian di mana manusia yang dipanggil mengadapnya akan dibicarakan. Sepanjang pembicaraan tersebut layanan yang diberikan sangat berbeza-beza berdasarkan hubungan dengan penciptanya sepanjang jemaah diberi peluang bernafas di atas muka bumi.

Sebelum berangkat ke Tanah Suci, renunglah sejenak soal kematian. Fikirkan tentang Padang Masyar. Bayangan tersebut – insyaAllah – akan muncul semula di Mekah dan Madinah tetapi kali ini ia boleh menusuk hati dan perasaan. Perasaan yang mahu dibawa pulang! 


Duhai Anak..

Bahagia sungguh rasanya bila bersama yang tersayang...

Baru saja aku berpergian...
sudah terkenang wajah nan manja...
terbayang-bayang senyum nakal yang selalu buat aku tertawa...
terbayang-bayang wajah comel yang suka buat muka rajuk bikin hati jadi tak tentu hala..
terbayang-bayang pelukan dari tangan kecil nan lembut mulus merangkul tubuhku..
terbayang-bayang kala si kecilku menangis minta dipujuk kala diacah sepupunya yang nakal...

Duhai anakku...
cepat sungguh masa berlalu...
bagai tak terasa..
kini kau sudah makin membesar..si dara suntiku..
lincah bergerak ke sana ke mari
mulut mu tak henti berceloteh
ada saja yang hendak kau katakan..
banyak yang kau ingin belajar
lelah mama melayan karenahmu 
baru kau seorang sayang..

Duhai sayangku..
bila malam tidurmu pasti mahu dalam pelukan mama
jika tidak pasti kau merengek manja
minta tangan mama di atas badanmu
membelai rambutmu menepuk lembut pinggulmu
sambil mendendangkan selawat dan zikir memuji yang Esa.

Anak mama yang seorang..
Senyum mama kerana kamu
permata hati yang menceriakan diriku..
kau penawar duka di saat aku sengsara
kau penawar rindu hatiku yang sayu
mama bahagia memilikimu sayang
kau anugerah dari Allah yang cukup berharga
pasti akan ku pelihara amanahNya
menjadikan dirimu muslimah solehah
serikandi Islam permata terbilang..
Insya-Allah..

Mama
18 Sept. 2012 13:16
FRT, Sungkai


Rajuk



Tersentuh di pinggir nurani
mengheret hingga tertebuk lubuk hati
sakit menangis
nanah menghiris
luka mengguris.

Tidak terlerai dalam ungkapan
walau berjauhan jasad
walau kecewa hangat menghambat
masih terlekat.

Setitip senda mesra
segantang senyum menguntai
pernah berkilau
yang kini alih arah
hilang hala tuju.

biar kuundur diri
bersama tangkai hati
layu dan kering
diapit keredhaan memanjang.

Berita Harian
Sastera & Budaya
14 Jun 1998

Mimpi, Angan dan Harapan



Hidup tak seindah mimpi..
terimalah kenyataan itu.

Mimpi sekadar mainan dalam lena yang panjang
menghimpun segala angan yang terpendam
hadir bersama harapan
mudahan menjadi kenyataan.

Namun
mimpi padam bila terjaga dari lena
hilang segala harapan
yang tercipta bawah sedar.

Benarkah itu?
Mungkin kerana terlalu memasang angan
hingga ada masanya aku kecewa menanggung perasaan
mengharap mimpi yang tak akan jadi kenyataan.

Tetapi...
Aku tetap ingin memasang angan
mudah-mudahan harapan kubina menjadi kenyataan
bukan sekadar mimpi disaluti angan.

Tak salahkan
kalau aku berangan-angan?

Indah, USM
17 Jun 2001
12:55pm

Adakah Aku Masih Punya Waktu?

 

Ya Tuhanku...
Adakah aku masih punya waktu
adakah masih ada peluang
dan kesempatan buatku
menebus kesilapan dan dosa-dosaku nan lalu?

Ya Tuhanku...
Adakah aku masih punya waktu
adakah masih ada peluang
dan kesempatan buatku
melaksanakan tanggungjawabku
menabur jasa dan bakti
kepada orang tuaku?

Ya Tuhanku...
Adakah aku masih punya waktu
adakah masih ada peluang
dan kesempatan buatku
memenuhi amanahMu
mendidik dan membesarkan anak kecilku
menjadi muslimah solehah taat padaMu?

Ya Tuhanku...
Adakah aku masih punya waktu
adakah masih ada peluang
dan kesempatan buatku
menggapai impian dan harapan
mengecap bahagia kudamba
di setiap langkah ku atur di bumiMu?

Ya Tuhanku...
Adakah aku masih punya waktu
adakah masih ada peluang
dan kesempatan buatku
menunaikan janji terpateri
janjiku padaMu?

Ya Tuhanku...
Aku mohon padaMu
Kau berilah aku waktu
Kau berilah aku peluang dan kesempatan
untuk menebus kesilapan dan dosa-dosaku
untukku penuhi tanggungjawabku terhadap ibu bapaku
untukku laksanakan amanahMu mendidik anakku
untukku gapai impian dan cita-citaku
dan untukku penuhi janji-janjiku padaMu.

Ya Allah...
Dengarkanlah...
bisikan hambaMu
hanya padaMu aku memohon
hanya pdaMu aku meminta

Kau panjangkanlah usiaku
Kau murahkanlah rezekiku
Kau permudahkanlah perjalanan hidupku
rahmatilah aku
kasihanilah aku
 
Tiada Tuhan yang aku sembah kecuali padaMU Ya Allah..

Nukilan:
 8 September 2012
 Besout