Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Allah Makbulkan Doa Acik..




Assalamualaikum.

Buat Alang...

Acik mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan buat Alang bersama keluarga tersayang.

Acik ambil kesempatan ini ingin memohon ampun maaf di atas segala kata-kata Acik yang telah membuat Alang tersinggung selama ini. Kita ini bila bercakap bukan sedar yang sebenarnya percakapan kita itu telah menyebabkan ada hati yang tersinggung dan terasa dengan kata-kata kita. Kita ni tak sempurna, pasti ada salah dan silapnya, termasuklah diri Acik sendiri.

Alang...

Baguslah jika Alang hendak berubah. Mula-mula Acik rasa pelik tengok Alang pakai tudung dalam rumah. Acik ingatkan Alang pakai tudung sebab Alang potong rambut terpendek atau pakai inai di rambut.

Kalau Alang hendak tahu, sebenarnya  Acik juga ingin berubah. Baru sahaja Acik bersembang dengan Ateh Jumaat lepas. Acik cakap pada Ateh kita wajib pakai tudung dan menutup aurat sepenuhnya macam mana Mak Su dan Mak Teh (adik abah) buat walau pun berada di dalam rumah, jika ada lelaki yang bukan mahram kita wajib tutup aurat. Selama ini kita bertudung tapi tak cukup sempurna.

Acik nak berubah. Tapi Acik takut buat sekerat jalan. Kalau keluarga kita mungkin boleh terima perubahan ini tapi, macam mana pula dengan penerimaan keluarga di sebelah suami Acik? Bolehkah mereka terima perubahan Acik nanti?

Untuk pengetahuan Alang, Acik mula rasa nak berubah bila mengandungkan Nuha tahun lalu. Masa tu Acik berdoa nak bersalin normal, tak mahu operate lagi macam ketika bersalinkan Aiman dulu. Kemudian nak duduk hospital sekejab saja, tak nak lama-lama seperti dulu. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa yang Acik pinta.

Allah permudahkan Acik saat bersalinkan Nuha. Acik masih bekerja pada hari Acik bersalinkan Nuha. Tetapi, kesakitan hendak bersalin mula terasa pada waktu tengahari. Namun, Acik gagahkan juga diri untuk terus bekerja.

Ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, hujan turun lebat. Acik dan Amar kebasahan dalam hujan kerana kami hanya bermotorsikal saat itu. Acik mula terasa kontraksi yang amat kerap. Acik tetap bertahan sehingga sampai ke rumah. 

Sampai di rumah, Acik sempat mandi dan solat. Kemudian Acik dan Amar bergegas ke HUKM. Acik sempat melirik ke arah jam di dinding, 6:30 petang. Mujur Aiman telah kami hantar ke kampung beberapa hari yang lalu. 

Kami sampai di hospital sekitar jam 6:50 petang. Mujur jarak hospital tak begitu jauh dari rumah. Selepas mendaftar, Acik disuruh duduk di tempat menunggu kerana mereka hendak uruskan pesakit lain. Saat tu Acik dah rasa sakit sangat. Acik mula gelisah dan tidak senang duduk. Nurse perasan keadaan Acik dan bertanya jika Acik sudah benar-benar sakit. Acik mengiakan.

Terus Acik diperiksa dan dibawa ke Dewan Bersalin. Tak berapa lama kemudian, Acik pun selamat bersalin. Masa tu Acik nampak jam di dinding berhampiran menunjukkan jam 7:15 petang. Alhamdulillah...selamat segalanya.

Selepas Nuha lahir, Acik teringin pula nak anak kembar..terfikir nak kembar tiga atau empat. Tapi, takut pula. Macam mana nak jaga anak kembar selepas bersalin nanti. Anak-anak yang dua orang lagi tu pun kecil lagi. Kalau kembar dua tak apa lah lagi. Tapi, mustahil. Keluarga kita mana ada keturunan kembar pun! Keluarga Amar pun. Mustahillah!!

Entah kenapa, Acik layari juga internet sebab nak cari artikel macam mana nak dapat anak kembar. Rupanya ada doa dan amalannya. Doa tu bermaksud:

"Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun."
(Surah As-Syafaat ayat 120)

 "Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak lelaki dan perempuan, dan la juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. " 
(Surah As Syura: 50)

Benarlah firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.” 
(Surah Yassin : 82)

Selepas beberapa bulan, Acik sedar yang Acik tak datang bulan lagi selepas habis nifas. Pernah Acik suarakan pada mak. Masa tu Nuha baru berumur 6 bulan.

Mak ada cakap, entah-entah Acik mengandung lagi sebab sejarah lepas membuktikannya. Acik mengandungkan Nuha masa Aiman berusia 4 bulan. Tapi, Acik menidakkannya walau pun kata mak bentuk badan Acik macam orang mengandung.

Masa Acik pergi klinik untuk check, dalam hati ni berkata, "Entah-entah betul aku mengandung. Kalau kembar macam mana?"

Tapi, Acik tetap berkata tak mungkinlah nak dapat kembar sebab dalam sejarah keluarga mana ada yang kembar.

Selepas jalani pregnant test, doktor sahkan yang Acik mengandung. Ya Allah, seronoknya Acik masa tu. Terima kasih Ya Allah.

Kemudian doktor scan kandungan Acik. Doktor tunjuk di ruang dalam rahim Acik. Doktor beritahu Acik yang janin dalam kandungan Acik dah kelihatan denyut jantungnya.

Tiba-tiba doktor itu berkata, "Eh! Ada satu lagi ni...tengok! Ada dua denyutan jantung ni.."

Terkejut Acik masa tu. Biar betul.

Ya, betul. Doktor maklumkan yang Acik mengandung anak kembar. Subhanallah...Rupa-rupanya Allah makbulkan lagi doa yang Acik minta. Alhamdulillah...

Ya Allah...Acik bukanlah alim dan warak. Sembahyang pun kadang-kadang tertinggal. Kadang-kadang bercakap kasar dengan mak dan abah. Malah dengan suami pun pernah terkasar bahasa. Acik pernah pukul Aiman sebab marah dengan suami. Marah suami anak yang jadi mangsa. Kasihan Aiman.

Tapi, kenapa Allah masih memakbulkan doa Acik?

Sejak itu Acik rasa Allah bagi hidayah kepada Acik supaya Acik berubah.Bila Acik teringat apa yang berlaku, Acik menangis mengenang segala dosa-dosa Acik. Acik mohon ampun kepada Allah setiap kali usai solat.

Ya Allah, Kau makbulkan doa hambaMu ini tapi aku masih lagi tidak bersyukur dengan apa yang Kau kurniakan. Ampunilah hambaMu ini Ya Allah.

Sama juga baru-baru ni. Ada jamuan raya di pejabat Amar. Orang bagi bungkusan makanan pada dia untuk di bawa pulang.

Bila sampai  ke rumah,  Acik tengok makanan yang orang bagi tadi ada nasi beriani dan sambal tapi, tak ada lauk. Ada nasi himpit dan lemang tapi, tak ada pula kuah kacang dengan rendang. Acik cari lagi dalam bungkusan tu dan jumpa biskut dan kuih-muih.

Sebelum Amar keluar untuk ke kelas insurans malam tu, Amar ada bertanya, sama ada nak beli lauk atau tidak?

Acik cakap, tak payah sebab yang ada pun dah cukup.

Kasihan pula kalau nak suruh Amar beli, membazir pula nanti.

Tak lama selepas Amar keluar, Acik terasa nak makan. Masa tu Acik kata pada diri Acik, macam mana nak makan nasi beriani ni, lauk pun tak ada. Takkan nak makan nasi je kot! Nak makan nasi himpit dengan lemang pun tak ada rendang dengan kuah kacang.

Acik rasa macam nak je pergi ke gerai makan kat depan rumah tu suruh buatkan rendang. Tapi kat gerai depan rumah tu jual makanan ala carte je. Mana ada lauk rendang malam-malam macam ni. Kalau beli lauk masa tengahari mungkin ada. Rasa menyesal lah pula bila tolak tawaran Amar nak belikan lauk tadi.

Acik rasa macam nak je telefon kawan Acik minta tolong buatkan rendang. Minta tolong dia bawa ke tempat kerja esok. Tapi takkanlah kawan Acik tu rajin sangat nak masak rendang malam-malam macam ni.

Acik rasa lapar sangat-sangat. Tak apalah, makan kuih pun jadi lah.

Acik rasa sedih sangat masa tu. Maklumlah, dalam keadaan tengah sarat mengandung ni Acik agak emosional. Perasaan Acik mudah sangat tersentuh.

Acik pujuk hati ni. Tak mengapa Raudhah, makan saja apa yang ada.

Baru je nak makan, tiba-tiba ada orang bagi salam. Rupa-rupanya jiran sebelah rumah Acik. Acik tengok di tangannya ada bungkusan. Rupanya dia datang bawa makanan. Katanya makanan itu lebihan jamuan raya di tempat kerja mak dia. Alhamdulillah, rezeki Allah buat Acik dan suami dan juga anak dalam kandungan Acik ni.

Acik buka bungkusan tu. Wah! Banyaknya. Hati rasa berbunga-bunga, seronok sangat. Harap-harap adalah makanan yang Acik idam-idamkan.

Bila Acik buka je satu bungkusan makanan tu, Acik terkedu. Rasa macam tak percaya.

Ya Allah...Kau kabulkan doaku. Apa yang aku pinta sebentar tadi kini terhidang depan mataku. Kau titipkan seseorang untuk memenuhi permintaanku. Kau Maha Mendengar doa hambaMu ini. Syukur padaMu Ya Allah...

Sambil menjamah lauk rendang ayam pemberian jiran, air mata mengalir ke pipi. Acik terharu, sebak di dada bila mengenangkan kekuasaan Allah. Rupanya, doa orang yang mengandung ni cepat sungguh dikabulkanNya.

Ya Allah..walaupun diri ini tak sempurna dalam mengenangMu, namun Kau tetap dekat denganku. Kini aku sedar, Kau tak pernah tinggalkan aku walau sesaat pun dalam suka dukaku. Kau Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kau Tuhan Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosaku.

Alang...

Masa Acik cerita kisah Acik ini kepada Alang sekarang dan ketika bercerita kepada rakan-rakan Acik, Acik menangis kerana teringat betapa selama ini Acik bukanlah hambaNya yang benar-benar menurut perintahNya. Namun Dia tetap kabulkan doa-doa yang Acik pohon.

Acik tertanya-tanya, adakah Allah masih akan makbulkan doa Acik lagi? 

Acik memohon kepadaNya agar diri ini dipermudahkan ketika bersalin kelak. Acik nak bersalin normal. Acik nak anak ramai lagi. Adakah Allah akan makbulkan doa Acik ini?

Acik teringat kejadian yang hampir meragut nyawa Acik dan Amar baru-baru ini. Ketika itu kami dalam perjalanan ke tempat kerja dengan bermotorsikal. Ketika lampu isyarat bertukar hijau, Amar meneruskan perjalanan.

Secara tiba-tiba ada sebuah van dari arah kanan dipandu laju melepasi lampu isyarat merah. Hampir sahaja melanggar kami. Mujur Amar cepat sedar kehadiran van tersebut dan berhenti di pertengahan jalan. Mujur juga kenderaan di belakang juga sempat berhenti. Jika tidak sudah pasti kami akan dirempuh dan terjatuh. Mengucap panjang Acik ketika berdepan situasi tersebut. Berdebar-debar hati ini mengenangkan baru sahaja terlepas dari malapetaka. Amar juga seperti orang yang baru sedar dari lena. Dia juga bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku. Saat itu yang Acik fikirkan adalah kandungan Acik. Syukurlah, Allah melindungi kami dan memanjangkan usia kami.

Selepas kejadian tu, setiap kali pergi dan pulang dari kerja, pasti Acik akan berdoa banyak-banyak kepada Allah agar melindungi kami dari malapetaka di sepanjang perjalanan kami. Setiap kali itu Acik tertanya-tanya, adakah aku akan terus bernafas dan menghirup udara di bumi Allah ini sehingga petang nanti, esok dan hari-hari seterusnya?

Bila pulang ke kampung baru-baru ini untuk bertemu anak-anak yang ditinggalkan kepada mak abah, Acik akan tatap wajah Aiman dan Nuha lama-lama. Akan bertemu lagi kah ibu dengan anak-anak ibu ini minggu depan? Atau adakah ini pertemuan terakhir kita? Masa tu Acik menangis bila mengenangkan nasib anak-anak jika Acik dan Amar tiada lagi. Bagaimana mereka akan meruskan hidup ini tanpa kami sedang mereka belum mengerti apa-apa. Mereka masih mendambakan kasih sayang dan belaian kami.

Kalau ikutkan hati, memang Acik nak jaga sendiri anak-anak, biar susah macam mana pun. Tak sanggup sebenarnya hendak berjauhan dengan anak-anak. Tapi apalah daya Acik.

Alang...

Acik mohon pada Alang dan seluruh keluarga kita, setiap kali selepas solat tolong doakan kesejahteraan Alang dan anak dalam kandungan ini. Doakanlah agar anak dalam kandungan ini sihat walafiat dan sempurna sifat. Doakanlah agar Acik  dipermudahkan Allah saat hendak melahirkan kelak. Dan doakanlah agar Acik dapat menunaikan segala janji-janji Acik kepada Allah yang belum terlaksana.

Sekali lagi Acik mohon ampun dan maaf jika selama ini Acik ada menyakiti Alang dan keluarga kita. Mudah-mudahan kita sekeluarga akan dipermudahkan Allah untuk menerima hidayahNya dan menuju jalan yang diredhaiNya, Insya-Allah. 

Acik sayangkan kalian...

Wassalam..



                                                                                  Ikhlas dari adikmu,
                                                                                      
                                                                                      Raudah    



Nukilan: Ayna Najla   
            27 Sept 2012 15:56
            Sungkai, Perak                                                            


Tiada ulasan:

Catat Ulasan