Bolehkah kita menduga saat-saat kematian?
Tentu sekali kita boleh menduga tetapi yang
akan menentukan ajal maut hanya Allah SWT. Ia jelas lagi nyata melalui surah
Al-Munafiqun melalui ayat 11 dan 12.
"Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki
yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut
kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:
“Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau
engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja
lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang
yang soleh."
Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali
akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai
ajalnya dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu
kerjakan."
Tips kami buat bakal jemaah haji, ambillah
masa sejenak untuk merenung dan membayangi saat-saat kematian yang pasti tiba
dalam siri perjalanan manusia menuju ke titik akhir, syurga yang kekal abadi.
Bayangan kematian ini hanyalah satu refleksi betapa kita merupakan manusia yang
lemah, fakir dan kerdil yang akhirnya akan kembali kepada dia dalam keadaan
yang lemah lagi tidak terdaya.
Kami mencatatkan syurga sebagai satu titik
akhir kerana itulah titik nokhtah manusia yang akan kekal selama-lamanya.
Siapakah yang mahu ke neraka? Siapakah yang mahu singgah sebentar, merasai
keperitan yang tidak tertanggung dan barulah beredar memasuki syurga dalam
keadaan dahi bertanda. Atau adakah manusia yang mahu kekal selama-lamanya di
sana?
Membaca kisah-kisah peringatan dan amaran
Allah di dalam al-Quran tentang azab neraka sepatutnya menggoncangkan perasaan.
Kami fikir, tidaklah kami mahu singgah walau sesaat di dalam neraka bagi
menghadapi pembalasan di atas keingkaran dan kerosakan yang dilakukan semasa
hidup di muka bumi. Salah satu peringatan Allah betapa dasyatnya azab neraka
melalui surah Al-Nisaa ayat 56.
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar
kepada ayat-ayat keterangan kami, kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap
kali kulit mereka masak hangus, kami gantikan untuk mereka kulit yang lain
supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
adalah maha kuasa, lagi maha bijaksana."
Tidak kira siapa kita, sultan, raja,
perdana menteri, profesor, pengarah, ahli perniagaan, pemain bola, guru, tukang
masak, pemandu, penulis, suami atau isteri pastinya akan menghadapi saat-saat
nyawanya ditarik perlahan-lahan sehingga akhirnya berpisah dengan jasad.
Bayangkanlah dengan cara yang mudah. Bilakah
majoriti manusia menemui ajalnya? 60 tahun? 70 tahun atau 80 tahun? Menurut
statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, secara purata
rakyat Malaysia meninggal dunia ketika berumur 74 tahun. Lebih spesifik, wanita
lebih panjang usianya (76 tahun) berbanding dengan kaum lelaki (72 tahun).
Baiklah, marilah kita menggunakan angka 74
sebagai umur kematian. Ambillah 50% daripada umur tersebut, iaitu 37 tahun.
Jika kita menunaikan fardhu haji ketika usia tersebut – 37 tahun – maka apabila
pulang daripada Mekah dan Madinah, masa yang tinggal lebih pendek daripada masa
yang telah kita lalui. Maksud kami, saat-saat kematian sebenarnya sangat hampir
berbanding dengan masa yang telah kita lepasi.
Bagaimanapun, angka tersebut hanyalah
dugaan berdasarkan purata umur kematian. Sekali lagi, ajal maut di tangan
Allah. Ia tidak lambat sesaat dan tidak cepat sesaat. Ada orang yang disahkan
mengidap kanser dan dijangka hanya dapat bertahan selama enam bulan terus hidup
bertahun-tahun lamanya. Ada pula yang segar-bugar tiba-tiba tersepak tunggul
kayu, jatuh dan terus meninggal.
Buat bakal jemaah haji, nikmat mana lagi
yang hendak kita dustakan? Allah memberi peluang untuk menunaikan fardhu haji,
kemudian dosa-dosa diampunkan, pahala digandakan dan seolah-olah kita dilahir
sesuci bayi. Bayangan kematian pula nyata sangat-sangat menghampiri. Mahukah
kita kembali melakukan sesuatu yang tidak diredha Allah? Apa lagi motivasi yang
perlu dilontarkan?
Sepanjang perjalanan melakukan ibadat haji,
kita akan melihat pelbagai bayangan tentang kehidupan, kematian, Padang Masyar,
dan tingkat-tingkat manusia di sisi Allah. Ia datang secara semulajadi bagi
mereka yang mahu berfikir tentang kebesaran Allah.
Bayangkan bagaimana manusia bertawaf dan
bersaie, bergerak menuju ke Arafah, bermalam di Mudzalifah, melontar di Mina
dan pelbagai kegiatan harian yang berteraskan amal ibadat kepada Allah
semata-mata. Ia dilakukan bersama jutaan manusia lain. Setiap satunya
mengandungi pelajaran yang perlu ditekuni dan diamati.
Bayangkan cerita-cerita yang dilontar oleh
jemaah yang terdahulu. Ada yang tidak langsung bermasalah, ada yang sesat
berjam-jam lamanya, terdapat yang menderita kesakitan, ada yang segar bugar dan
ada pula yang dengan senang hati sentiasa berada di Masjidil Haram atau Masjid
Nabi. Bagaimana pula yang hanya berehat-rehat di hotel?
Bayangkan pula ada yang diberi peluang
untuk solat di saf pertama. Ada pula yang tempat solatnya sentiasa di atas
tangga. Malah ada jemaah yang sentiasa bersolat di luar masjid, tidak kira di
awal atau di hujung musim haji. Bayangkan pula ada jemaah mampu berada di Hijir
Ismail dan Raudhah hampir setiap hari walaupun ia ruang yang sangat sempit
berbanding dengan jumlah manusia yang hadir.
Segala-galanya merupakan anugerah,
perbandingan, ujian, pengajaran yang mahu disampaikan Allah kepada setiap
jemaah yang mahu berfikir. Barangkali, inilah rupa pembalasan selepas hari
kematian di mana manusia yang dipanggil mengadapnya akan dibicarakan. Sepanjang
pembicaraan tersebut layanan yang diberikan sangat berbeza-beza berdasarkan
hubungan dengan penciptanya sepanjang jemaah diberi peluang bernafas di atas
muka bumi.
Sebelum berangkat ke Tanah Suci, renunglah
sejenak soal kematian. Fikirkan tentang Padang Masyar. Bayangan tersebut –
insyaAllah – akan muncul semula di Mekah dan Madinah tetapi kali ini ia boleh
menusuk hati dan perasaan. Perasaan yang mahu dibawa pulang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan