Hari ini
Kilat sabung-menyabung
disusuli tempikan guruh. Hujan yang
turun sejak selepas Isyak tadi bagai satu rahmat tidak
terhingga bagi makhluk bumi di kawasan taman perumahan yang majoritinya
berbangsa Melayu. Sudah seminggu hujan tidak turun. Rupanya panas yang
membahang petang tadi membawa petanda hujan.
Di sebuah rumah berkembar semi – D dua tingkat kawasan
perumahan itu, ketika penghuni lain begitu enak diulit mimpi dan menarik kejab
selimut kerana kedinginan angin malam, Muna pula berteleku di tikar sembahyang.
Kelihatan kusyuk tanpa mempedulikan hujan yang turun mencurah-curah di luar
rumah. Sesekali terdengar esak tangisnya yang cukup sayu. Air mata yang
mengalir di pipi bagai tidak dapat ditahan-tahan. Dibiarkan sahaja membasahi
telekung dipakainya itu. Air matanya terus
mengalir laju seiring lebatnya hujan di luar sana. Menyesali dosa-dosa nan
lalu.
Imbas
Kembali
“Abang,
tolonglah Muna. Muna minta tolong kali ini je…” Muna merayu
kepada lelaki di hadapannya itu.
“Maaf Muna.
Berapa kali Abang nak cakap, Abang tak boleh, tak bolehlah!”
Balas Airil lagi.
“Abang…Muna
rayu sangat-sangat. Janganlah buat Muna macam ni. Abang kata Abang sayangkan
Muna,” rayu Muna lagi.
Airil diam. Matanya memandang terus ke hadapan. Dia berasa
cukup tidak selesa dirayu berkali-kali. Dia jadi rimas. Mahu sahaja dia segera
pergi meninggalkan wanita itu di situ. Hanya perkara yang sama sahaja
diulang-ulang dan diminta.
Muna menggenggam erat tangan Airil seperti tidak mahu dilepaskan.
Airil hanya membiarkan sahaja perlakuan Muna itu. Muna masih memandangnya.
Kelihatan sayu wajah wanita itu. Ada bunyi esakan kecil kedengaran dari Muna.
Airil menjeling sekilas. Kelihatan Muna sedang mengesat tubir matanya. Langsung
tiada keinginan di hatinya untuk memujuk. Dibiarkan Muna begitu. Biarlah. Dia
tidak kuasa hendak melayan karenah wanita itu.
Lama kesunyian itu berlalu. Sesekali terdengar batukan
kecil Airil. Muna masih menggenggam tangan Airil. Dia tetap seperti tadi, mengharap
jawapan Airil. Dia mahukan kepastian dari mulut Airil. Dia mahukan pembelaan
Airil. Muna sudah terdesak.
“Muna,
cukuplah. Lupakan sahaja Abang. Kita bawa diri masing-masing,”
Airil memecah kesunyian.
“Tapi…Abang
dah janji…mana janji Abang? Kenapa Abang buat Muna macam ni?” Muna
membentak. Dia kembali menangis. Ada perasaan tidak puas hati dari
kata-katanya.
“Abang dah
cukup banyak masalah, Muna! Sudah-sudahlah. Abang tak nak masalah Muna ni
akan jadi masalah Abang lagi. Berapa kali abang nak cakap. Ikut je apa yang Abang
suruh. Habis cerita!” tegas Airil tanpa memandang Muna. Dia mula berasa marah
apabila terus didesak.
“Abang…senangnya
Abang cakap. Yang menanggungnya Muna. Abang senang-senang nak lepas tangan
begitu je?” Kesal Muna dengan sikap lepas tangan Airil.
“Aahh!! Sudahlah!
Aku malas nak cakap pasal ni lagi. Ingat, kalau kau tak buat apa yang aku
suruh, selepas ni aku tak akan ambil tahu lagi pasal kau, faham?”
Airil segera meleraikan jari-jemari Muna yang menggenggam jari-jarinya lalu
keluar dari kereta. Muna terkejut dengan tindakan Airil. Lekas Muna membuka
pintu kereta di sebelah tempat duduknya.
“Abang!”
Jerit Muna yang telah pun keluar dari kereta. Airil tidak mengendahkan panggilan
Muna. Muna cuba menghalang Airil yang mahu menaiki kereta yang diparking di sebelah keretanya. Tanpa
sengaja Airil tertolak Muna sehingga wanita itu terundur ke belakang. Hampir
sahaja terjatuh. Airil yang telah berada di dalam kereta lekas sahaja menutup
pintu. Dibiarkan sahaja Muna yang mengetuk-ngetuk cermin keretanya minta
dibuka. Tanpa mempedulikan rayuan Muna, Airil terus sahaja berlalu meninggalkan
pusat membeli-belah tersebut. Berdecit bunyi tayar keretanya ketika membelok.
Muna yang cuba mengejar terjelupuk melutut. Dia menangis. Langsung tidak
dihiraukan orang keliling yang memerhati aksi air mata itu.
Masjid itu sentiasa sahaja dikunjungi orang ramai. Tidak
pernah sunyi. Orang bersilih ganti datang mengimarahkan masjid yang terletak di
pinggir jalan utama itu. Walau pun Solat Asar telah masuk hampir sejam yang lalu, namun, masih ada jemaah
yang terus datang. Kebanyakan mereka berkereta. Radzi memahami keadaan mereka
itu. Mungkin mereka adalah di kalangan para musafir yang sedang melalui tempat
ini lalu singgah di masjid ini untuk menunaikan kewajiban mereka kepada Allah.
Radzi memandang wanita yang berwajah duka di hadapannya
kini. Radzi yang menyarankan kepada Muna agar pertemuan itu dibuat di taman rekreasi
yang terletak berdekatan masjid itu. Muna hanya menurut sahaja.
Radzi sedar, Muna sedang menanggung beban masalah yang
cukup berat. Perpisahan bersama kekasih yang dipuja selama ini memberi tamparan
hebat buat dirinya. Sungguh pun Muna belum bersedia berkongsi sepenuhnya masalah
itu dengannya, Radzi yakin masalah yang dihadapi Muna sekarang ini jika tidak
ditangani dengan baik bakal mengundang masalah yang cukup besar di kemudian
hari. Itu pun jika Muna tidak dapat bertahan. Justeru, hari ini dia bertemu
dengan Muna untuk menyelami perasaan wanita tersebut.
“Muna…awak
dengar tak apa yang saya cakap tadi,” Tanya Radzi setelah menyedari
yang dia hanya bercakap seorang diri sejak duduk di bangku batu itu 15 minit
yang lalu. Dilihatnya Muna seperti berkhayal. Langsung tidak memberi perhatian
dengan apa yang diperkatakannya. Terlalu asyik memandang ke arah jalan. Tidak
pasti ke mana fikiran itu dibawa.
“Muna!”
Panggil Radzi agak keras apabila panggilannya tadi tidak bersahut.
Muna tersentak sedikit lalu memandang ke arah Radzi.
“Erm…ye..ye..”
tergagap Muna. Dia melihat Radzi sedang merenungnya.
“Awak fikir
apa Muna?” Tanya Radzi. Muna diam. Wajah ditundukkan. Dia berasa
malu kerana diperhatikan Radzi sebegitu. Entah kenapa, dia berasa segan dengan
Radzi yang berperwatakan alim dan warak itu.
“Muna,
sudahlah. Usah difikirkan sangat masalah awak tu. Kita cuba cari penyelesaian. Insya-Allah,
pasti ada jalan,” kata Radzi lagi.
“Jalan apa
Radzi. Saya tak nampak apa-apa jalan pun. Apa yang saya nampak kegelapan je...”
Muna mula sebak. Beban ditanggung tidak dapat ditahan lagi. Maka tumpah air
mata yang cuba ditahan-tahan. Dia menangis. Betapa dia sensitif saat ini. Radzi
memandang keliling. Risau perlakuan Muna yang tiba-tiba itu jadi perhatian
orang yang sedang beriadah di taman itu. Mujur juga mereka duduk di tempat yang
agak jauh dari tempat pejalan kaki di taman itu.
“Saya benci
dia tapi saya perlukan dia. Dia perlu tunaikan janji dia pada saya. Radzi,
katakanlah kepada saya, apa perlu saya buat sekarang?” Muna
bertanya. Masih mengharap kepada cinta Airil.
Radzi tidak segera membalas pertanyaan Muna. Dia
memandang kejauhan lalu memejamkan mata. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya
lalu dilepaskan perlahan-lahan. Dia tahu, bukan mudah melupakan seseorang yang
begitu dikasihi setelah bertahun menyemai cinta.
“Muna, awak
sahaja yang dapat menolong diri awak sendiri. Bukan orang lain. Saya hanya
boleh menasihati awak dan mendoakan kebaikan buat awak. Itu sahaja yang saya
mampu,” Radzi memandang Muna yang sedang mengesat air matanya.
Muna sudah buntu jalan penyelesaian untuk masalah yang
dihadapinya. Sedang Airil yang diharapkan telah memberi kata dua kepadanya
cara untuk menyelesaikan masalah ini,
namun dia tidak sanggup. Dia tidak sanggup lagi menanggung dosa berganda dan
rasa terhina. Cukuplah dia pernah melakukannya sekali. Itu pun kerana pujukan
Airil juga. Jika ikutkan hatinya, dia memang tidak sanggup saat itu. Tetapi,
Airil menjanjikan yang manis-manis buatnya lalu dia terpujuk. Dia mengikut
kehendak Airil. Semuanya kerana sayang. Demi Airil, dia sanggup buat apa
sahaja.
“Muna, jika
awak berterusan menangis dan bersedih, tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat
buat diri awak, awak hanya akan menyeksa diri. Saya sedih tengok awak begini
Muna. Awak bukan seperti Muna yang saya kenali. Muna yang saya kenal orangnya
selalu sahaja ceria, aktif dan sentiasa bersemangat. Di mana Muna yang pernah saya
kenal dahulu?” Soal Radzi.
Muna hanya diam mendengar bicara Radzi. Dia tidak mahu
berkata apa-apa. Jiwanya sakit. Sakit akibat dikhianati. Dia tidak kuat untuk
meneruskan hidup ini tanpa Airil. Airil lelaki pertama yang bertakhta di
hatinya. Tetapi, kenapa Airil sanggup menyakiti hatinya sebegini. Mereka pernah
berjanji untuk bersama-sama dalam susah senang. Namun kini, hanya dia seorang yang
melalui kesusahan ini. Airil pergi begitu sahaja meninggalkan dia sendirian
dalam dilema.
“Muna, awak
perlu berfikiran positif. Yakinlah kepada Allah. Apa yang berlaku ke atas awak
sekarang ini adalah ujian dariNya buat hamba-hambaNya. Dia mahu lihat sejauh
mana tahap keimanan kita berhadapan ujian ini. Jika kita tidak sabar, mungkin kita
akan kecundang namun, andai kita sabar dan menerima ini sebagai ujian hidup,
Insya-Allah, pasti kita dapat melihat hikmah di sebalik musibah yang menimpa.
Bersangka baiklah dengan Allah,” nasihat Radzi buat Muna.
“Tetapi,
kenapa Allah menguji saya dengan ujian seberat ini? Kenapa Allah turunkan
musibah ini kepada saya? Kenapa saya?” Muna mula
mempersoalkan.
“Astaqfirullahal’azim...Iistiqfar
Muna. Banyakkan mengingati Allah. Jangan mudah bersangka buruk dengan apa yang
berlaku. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah tersembunyi. Hanya Allah yang
tahu,” lekas Radzi berkata. Dia tidak mahu Muna terus-terusan
mempersoalkan takdir yang telah berlaku.
“Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat
216 yang bermaksud: “[Boleh jadi kamu membenci
sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai
sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak
mengetahui.]” Radzi berhenti sebentar selepas
membacakan firman Allah itu.
“Awak beruntung Muna. Dia uji
awak supaya awak segera sedar dengan kesilapan yang telah awak lakukan. Bayangkan
jika Allah tidak turunkan musibah kepada hamba-hambaNya. Pasti kita akan terus
terleka dan terbuai dengan keseronokan dunia. Kita akan terus melakukan
kemungkaran di muka bumi ini. Musibah yang berlaku adalah sebagai peringatan
dan amaranNya agar kita segera kembali ke jalan yang diredhai Allah.” Radzi sedaya upaya memberi
penjelasan.
“Ada orang yang diuji dengan
kenikmatan. Contohnya mereka diberi kemewahan dan kekayaan, mereka memiliki kepintaran dan kepakaran,
hidup bahagia dan memiliki pekerjaan yang membanggakan. Jika mereka sedar semua
itu adalah nikmat daripada Allah, maka mereka akan bersyukur. Mereka akan sujud
kepada Allah sebagai tanda terima kasih di atas segala nikmat yang dikurniakan.
Mereka akan memanfaatkan kenikmatan yang diperolehi itu untuk orang lain yang turut
memerlukan. Namun, bagi mereka yang tidak bersyukur dengan kenikmatan itu, hati
mereka akan tertutup untuk melihat
kebaikan. Nauzu billahi min zalik…mudah-mudahan
kita ini adalah terdiri daripada hamba-hambaNya yang sentiasa bersyukur…Aamiin,”
panjang
penjelasan Radzi. Dia berharap agar Muna sedar hakikat sebenar ujian itu
diturunkan Allah kepadanya. Dia melihat Muna mengangguk-anggukkan kepala
seperti memahami maksud yang cuba disampaikan.
“Radzi, saya tak tahu nak buat apa.Tolonglah beritahu saya
bagaimana caranya saya mahu kembali kepadaNya” Muna bertanya.
Perlahan sahaja tuturnya di telinga Radzi.
Radzi tersenyum. Dia melihat ada tindak balas positif
daripada Muna. “Banyakkanlah berdoa
kepada Allah. Jika kita menyedari yang diri kita telah melakukan dosa,
segeralah bertaubat dan menyesali segala dosa yang telah dilakukan. Minta ampun
kepadaNya dengan bersungguh-sungguh di atas segala dosa-dosa yang telah
dilakukan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.Mudah-mudahan Allah mengampuni
dosa hamba-hambaNya.”
“Tapi…dosa saya
terlalu banyak. Masihkah Allah akan mengampuni saya?” Muna
sedar yang dirinya telah banyak berdosa kepada Allah, ibu bapa dan keluarga.
Dia meninggalkan segala perintahNya dan melakukan perkara terlarang dalam agama.
Dia lupa halal haram, dosa pahala. Bukan ibu bapanya tidak pernah mengajar dan
menghantarnya belajar agama, tetapi kerana mengejar nikmat duniawi dia lupa
segala yang pernah dipelajari dahulu. Dia seronok apabila diri diulit kemewahan
dan keseronokan yang sementara.
“Yakinlah kepada
Allah. Dia Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Selama hamba itu bertaubat, meminta ampunan dan menyesali
perbuatannya, maka Allah akan mengampuninya,” Radzi meyakinkan Muna. Muna hanya mengangguk.
Mudahan dia mengerti, bisik Radzi dalam
hati.
Muna terlupa yang selama ini dia masih ada Allah,
pencipta yang Maha Agung. Allah yang memberinya nyawa. Allah tempat untuknya
mengadu. Allah yang Maha Mendengar. Kenapa dia boleh lupa semua itu.
Ya Allah, Kau ampunilah hambaMu ini. Aku melupakanMu di
saat aku sedang suka namun, di saat aku berduka, baru aku kembali kepadaMu. Aku
leka dan sering lupa untuk mengingatiMu. Saat aku diuji, baru aku
terkenangkanMu. Ya Tuhanku, sungguhpun aku sering melupakanMu, namun Kau tidak
pernah melupakan hambaMu yang tidak sempurna ini. Aku hambaMu yang berdosa. Masa
berlalu namun Kau tetap bersamaku. Walau aku makin menjauhiMu namun Kau tetap bersamaku.
Ya Tuhanku, kini aku sedar, Kau tidak pernah tinggalkan aku walau sesaat dalam
suka dukaku. Kau Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kau Tuhan Maha
Pengampun. Ampunilah dosa-dosaku.
“Muna, saya
dah fikir masak-masak soal ni,” ujar Radzi sambil meletakkan
kembali gelas minuman berisi jus tembikai ke atas meja makan itu. Mereka baru
sahaja selesai menikmati makan malam di sebuah restoren terkenal di daerah itu.
Radzi telah menempah ruangan khas di restoren tersebut untuk mereka berdua bagi
mengelak sebarang gangguan.
“Saya harap,
apa yang akan saya katakan ini, Muna dapat terima dengan hati terbuka,”
Radzi memandang kepada Muna selepas selesai berkata-kata.
Sebelum datang ke sini tadi, Radzi telah menjemput Muna
yang baru selesai menjalani sesi kaunseling bersama Ustazah Fatimah iaitu
Kauselor wanita di masjid tersebut. Sebenarnya, Ustazah Fatimah adalah seorang
Kaunselor di Pejabat Agama Daerah itu. Di masjid itu, Ustazah Fatimah
memberikan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada sesiapa sahaja yang
ingin mendapatkan khidmatnya. Sejak menjalani sesi kaunseling bersama Ustazah
Fatimah, ada sedikit perubahan dilihat pada diri Muna. Dia kembali bertudung
seperti ketika zaman persekolahan dan di universiti. Manis dan sejuk mata
memandang. Jika dahulu dia kelihatan terlalu lemah dan tidak bermaya, tetapi
kini dia kelihatan lebih kuat berhadapan dengan masalah yang dihadapi.
Sungguhpun Radzi menyedari masih ada kedukaan di wajah itu, namun Muna tidaklah
selemah dahulu.
Muna memandang Radzi. Dia hanya diam menunggu kata-kata
Radzi seterusnya. Selepas ini, apa yang berlaku, dan perlu dilakukannya, dia
hanya berserah kepada Allah. Dia lebih optimis sekarang. Selepas pertemuan
seminggu lalu, Muna terus menyerah diri kepadaNya. Segalanya atas nasihat Radzi
yang sedikit sebanyak telah membuka pintu hatinya untuk melihat hikmah di
sebalik kejadian dan musibah yang menimpanya. Muna yang turut dibimbing Ustazah
Fatimah telah menemukannya dengan ketenangan yang dicari-cari..
“Muna, saya
tahu awak telah melalui terlalu banyak kesukaran dalam beberapa waktu ini.
Walau pun bukan saya yang melaluinya, namun, saya juga dapat merasakan
kesukaran itu. Jika dengan kehadiran saya ini mampu mengurangkan bebanan awak,
saya sanggup terus berada di sisi awak selama-lamanya. Saya tak sanggup melihat
awak begini.” Radzi berkias.
“Muna,
sudikah jika awak menjadi suri hati saya,” tanya Radzi
di penghujung kata-katanya.
Muna terkedu. Langsung tidak menyangka perkara itu yang
akan keluar dari mulut Radzi. Radzi melamarnya? Benarkah apa yang didengarnya
sebentar tadi? Atau dia hanya bermimpi? Dicubit tangannya yang tersembunyi di
bawah meja batu itu. Dia terasa sakit. Dia tidak bermimpi. Ya, benar. Ini bukan
mimpi. Muna menggeleng-gelengkan kepala tidak percaya. Satu tindakan yang di
luar kawalannya apabila mendengar persoalan itu.
“Radzi, awak
jangan main-main dengan saya!” Muna sedikit menjerit. Marah kerana beranggapan Radzi
cuba mempermain-mainkannya. Radzi sedikit kesal dengan tanggapan salah Muna
terhadapnya.
“Saya bukan
main-main, Muna. Apa yang saya katakan, itu yang saya maksudkan. Saya serius
ketika menyatakannya. Saya benar-benar maksudkannya. Saya mahu menjadikan awak
sebagai isteri saya, sudikah awak?” Radzi mengulangi pertanyaan itu bagi
menyatakan pendiriannya sebentar tadi.
“Ini tentang
hidup saya, Radzi. Awak tak perlu buat semua ni hanya kerana kasihankan saya.
Awak ada kehidupan sendiri, Radzi. Awak
boleh cari perempuan yang lebih hebat, yang lebih baik di luar sana. Saya tak
layak untuk awak. Saya perempuan hina, Radzi” Muna menyatakan
bantahannya. Dia tidak bersetuju dengan lamaran itu. Dia tidak mahu Radzi
mengorbankan masa depannya semata-mata untuk dirinya yang hina itu. Radzi
terlalu baik buat dirinya yang penuh noda.
“Muna, saya
buat ini bukan kerana kasihankan awak. Tetapi saya buat semua ini kerana Allah.
Saya tahu, awak mungkin tak suka dengan
lamaran saya. Tapi, bagilah saya peluang ini,” Radzi tidak
berputus asa menyatakan lamarannya.
“Saya buat
semua ini untuk selamatkan awak dan...” Radzi tidak
meneruskan kata-katanya. Dia tidak mahu kelak kata-katanya akan menyinggung
perasaan Muna.
Muna menanti ayat selanjutnya yang akan diperkatakan
Radzi. Dia lihat Radzi seperti mati kata. Diam dan hanya menatap wajahnya. Dari
sinar matanya seperti ingin menyatakan sesuatu, tetapi apa?
“Dan...” Radzi
cuba menyatakannya tetapi dia tergagap lagi.
“Dan apa
Radzi?” Tanya Muna tidak sabar. Dia hendak tahu apa yang hendak
diperkatakan Radzi sebenarnya.
Radzi serba-salah. Dia menyapu wajahnya dengan kedua-dua
tangan. Kemudian, dia memicit batang hidung di antara kedua-dua matanya sambil
memejamkan mata. Kelihatan seperti orang yang sedang menanggung masalah.
Seketika kemudian, Radzi menarik nafas dalam lalu menghembusnya. Agak kuat
bunyi hembusan nafas itu. Radzi memandang Muna. Muna menyedari riak wajah Radzi
sedikit berubah. Radzi nampak sedih, matanya seperti digenangi air mata. Hidungnya
nampak merah. “Apakah Radzi menangis?”
Soal Muna di dalam hati.
Dalam keadaan sukar, Radzi kembali memulakan bicara yang
terhenti tadi, “Muna, kita perlu segera
berkahwin....segera...untuk selamatkan bayi dalam kandungan awak.”
Apa? Bulat mata Muna mendengar kata-kata Radzi. Sedikit
terbuka mulutnya kerana tidak percaya yang Radzi mengetahui rahsia ini. “Siapa beritahu? Aku tak pernah bercerita
dengan sesiapa pun. Hanya Airil yang tahu rahsia ini sebab bayi yang aku
kandung ini anak Airil,” Muna berkata pada dirinya sendiri.
“Mungkin
awak tertanya-tanya bagaimana saya tahu perkara ini,” Radzi dapat
membaca persoalan yang bermain-main di fikiran Muna ketika ini.
“Tentu awak
masih ingat, saya yang telah membawa awak ke hospital ketika menjumpai awak
terbaring di jalan hari tu?” Beritahu Radzi mengingatkan kejadian dua minggu lalu.
“Ketika di
hospital, doktor yang memeriksa awak telah menyatakan yang awak mengalami
tekanan perasaan. Doktor beranggapan
yang saya adalah suami awak lalu dia memaklumkan kepada saya yang awak
mengandung 4 minggu. Pada mulanya...saya ingat awak telah berkahwin. Ketika
memeriksa telefon bimbit awak, saya menemui nama ‘Hubby’. Saya juga dapati dari
panggilan keluar masuk, nama yang sama kerap digunakan lalu saya terus menelefon
orang tersebut. Saya maklumkan dia tentang awak dan melalui perbualan itu, saya
sedar apa yang telah berlaku. Maafkan saya Muna. Saya tak bermaksud nak ambil
tahu semua ini. Segalanya saya ketahui tanpa disengajakan,”
Radzi cuba menjelaskan keadaan sebenar. Dia tidak mahu Muna memikirkan perkara yang
bukan-bukan tentang dirinya.
Muna sedar siapa ‘Hubby’ yang dimaksudkan oleh Radzi itu.
Airil, kekasih hati yang melukakan hatinya. Lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Lelaki itu menggunakan dirinya untuk memuaskan nafsu lelakinya semata-mata.
Selepas menyedari yang Muna mengandung, lelaki itu cuba lepas tangan. Airil
tidak mahu mengakui anak yang dikandung itu adalah anaknya malah menyalahkan
dirinya sehingga boleh hamil. Dia menuduh Muna berselingkuh dengan lelaki lain
yang pernah menjadi clientnya. Malah,
Airil meminta dia menggugurkan sahaja kandungan itu sebagaimana pernah
dilakukan suatu ketika dahulu. Tetapi, Muna tidak sanggup menggugurkan anak
yang dikandung. Dia bertekad untuk membesarkannya kerana takut jika sesuatu
berlaku ke atasnya ketika atau selepas proses pengguguran itu dilakukan. Dia
takut jika selepas ini dia tidak dapat mengandung dan menimang cahaya mata
lagi. Kedegilannya untuk meneruskan kandungan itu menyebabkan Airil
meninggalkannya.
“Muna, saya
tak nak anak itu kelak dipandang hina masyarakat. Anak itu tidak berdosa,
Muna. Izinkanlah saya untuk menjadi bapa
kepada anak yang awak kandung. Iizinkanlah saya membimbing awak ke jalan yang
diredhainya. Saya ikhlas untuk
memperisterikan awak,” jelas Radzi penuh yakin. Dia nampak jujur dan ikhlas
dalam berkata-kata. Sebolehnya dia cuba buat Muna mengerti tujuan murninya itu.
“Saya tak
mahu awak tersasar jauh, Muna. Saya tak sanggup membiarkan awak berseorangan
menanggung semua ini. Biarlah saya membantu awak, meringankan beban yang awak
tanggung. Tanggung jawab saya untuk memastikan awak berada di jalan yang
diredhaiNya. Saya tak mahu dipersoalkanNya di sana kelak kerana membiarkan awak
hanyut. Saya sayangkan awak, Muna,” Radzi menyatakan pendiriannya.
Muna mulai sebak. Dia hanya tunduk. Cuba ditahan air mata
daripada keluar. Dia langsung tidak menyangka keaiban dirinya diketahui Radzi,
lelaki yang pernah menjadi sahabat baiknya suatu ketika dahulu. Dia tidak
menyangka Radzi akan melamar dirinya walaupun mengetahui hakikat dirinya yang sebenar,
insan hina yang penuh dosa.
“Awak...sayangkan
saya?” Muna bertanya sambil menahan sendu. Dia memandang Radzi
sekilas sebelum tunduk kembali.
Radzi mengangguk mengiakan soalan Muna, “Ya..saya sayang awak.”
“Sejak
bila?” Soal Muna lagi.
Radzi menarik nafas dalam. Dilepaskan kembali seraya
berkata, “Sejak dulu lagi. Sejak kita di
Tingkatan 6 Atas.”
“Kenapa awak
tak pernah beritahu saya. Kenapa awak diamkan, Radzi,” Tanya Muna
kesal. Jika dia tahu begini jadinya, pasti cinta Radzi bersambut.
“Awak
mungkin sudah lupa. Saya pernah nyatakannya melalui kiriman surat kepada awak,”
Radzi cuba mengingatkan Muna kisah silam mereka.
Dahulu, Muna agak terkenal di sekolah. Dia mempunyai raut
wajah yang agak cantik dan manis. Orangnya
kelihatan ceria dan sentiasa cergas dan aktif. Malah dia juga peramah dan
disenangi guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah. Cuma satu sikap buruk Muna.
Dia mudah panas dan merajuk. Hanya Radzi yang tahan dengan sikap Muna. Radzi
tidak banyak bercakap dan dia juga seorang yang penyabar. Hanya bercakap bila
benar-benar perlu. Dia agak pendiam tetapi sebenarnya amat mudah didekati.
Tutur katanya berhikmah dan sentiasa berhati-hati dalam memberikan pendapat. Radzi
agak warak dan sopan orangnya. Mungkin berkat didikan agama yang diterima sejak
kecil. Radzi juga suka membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya.
Radzi amat disenangi sesiapa sahaja. Muna dan Radzi amat serasi apabila
digandingkan bersama dalam apa jua aktiviti yang diadakan di sekolah. Lantaran
kerap digandingkan bersama-sama, mereka menjadi rapat dan bersahabat baik.
Selepas tamat alam persekolahan, mereka kemudiannya
melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia, Penang. Walau pun berlainan
jurusan, tetapi mereka tetap rapat dan berkawan baik. Ramai yang ingat mereka
adalah pasangan kekasih kerana kelibat mereka yang sering kelihatan
bersama-sama hinggakan digelar sebagai belangkas oleh rakan-rakan.
Satu hari, ketika Hari Terbuka di desasiswa tempat penginapan,
Muna telah menerima tiga kuntum bunga mawar merah berserta coklat kesukaannya.
Ini bukanlah kali pertama dia menerima hadiah mahu pun kata-kata cinta dari
peminat-peminatnya yang terdiri dari senior
dan rakan-rakan dari pusat pengajiannya. Namun, semuanya tidak dilayan. Tetapi,
berlainan pula kali ini. Bunga dan coklat yang diterimanya kali ini datangnya
dari sahabatnya sendiri, Radzi. Radzi menitipkan surat yang menyatakan cinta
yang terpendam.
Muna tidak dapat menerima kenyataan yang sahabat sendiri
akan jatuh cinta kepadanya. Muna tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan
Radzi. Dia tidak boleh menerima hakikat ini. Baginya, sahabat adalah sahabat.
Tiada istilah lain selain sahabat. Tidak pernah terdetik sekali pun di hatinya
untuk bercinta dengan Radzi. Dia malu untuk menerima hakikat ini.
Sejak itu, Muna sering melarikan diri dari Radzi. Bila
bertembung di mana-mana, lekas-lekas Muna pergi ke arah lain bagi mengelakkan
bertemu dengan Radzi. Radzi yang menyedari sikap Muna mula mengerti kenapa Muna
bersikap sedemikian. Dia tidak pula mempersoalkan semua itu. Walaupun panggilan
telefon dan SMS dihantar, Radzi pasti yang Muna pasti tidak akan membalasnya.
Radzi sedar akan perkara itu kerana sudah mengenali sikap sebenar Muna.
Kerenggangan hubungan mereka disedari rakan-rakan yang
lain dan mereka beranggapan yang Muna dan Radzi telah menamatkan perhubungan
cinta mereka. Situasi ini amat disenangi Airil, pelajar senior yang terpaksa
mengulang dua semester kerana gagal dalam beberapa kertas wajib universiti. Dia
mula mendekati Muna. Hubungan mereka berkekalan selama beberapa ketika sebelum
terputus selepas Airil tamat pengajian.
Apabila tamat pengajian universiti dan memasuki alam
pekerjaan, Muna dan Radzi terpisah tanpa khabar berita. Masing-masing membawa
haluan sendiri. Muna mendapat peluang pekerjaan dalam industri perhotelan
sebagai Eksekutif Pemasaran dan Jualan. Kekerapan bertemu pelanggan di luar
mempertemukan kembali Muna dengan Airil yang terpisah ketika syarikat tempat
Airil bekerja ingin mengadakan kursus di hotel tempat Muna bekerja. Airil yang
dipertanggungjawabkan oleh majikannya untuk menguruskan tempat kursus dan
penginapan telah berurusan dengan Muna. Maka, cinta lama kembali berputik.
Mereka kembali menyulam kasih tanpa mengenal halal haram sehinggalah kejadian
yang menimpa Muna yang berakhir dengan Airil meninggalkan Muna.
Di saat Muna tercari-cari tempat berpaut, Radzi hadir.
Adakah ia kebetulan atau suratan takdir? Muna yang terbaring di tengah jalan
hampir sahaja dilanggar teksi yang dinaiki Radzi yang ketika itu baru pulang
dari mengerjakan umrah. Pada mulanya Radzi tidak cam susuk tubuh yang terbaring
itu adalah wanita yang pernah menghuni hatinya kerana wanita yang ditemui itu
tidak bertudung. Rambutnya pula diwarnakan dan pakaian yang dipakai juga agak menjolok
mata. Dia hanya menyedari itu adalah Muna ketika meletakkan Muna ke dalam teksi
untuk di bawa ke hospital.
Muna tidak dapat menahan air matanya apabila mengingati
kisah silam. Dia cuba menahan air matanya daripada mengalir keluar. Namun, air
matanya terlalu murah akhir-akhir ini. Dikesatnya air mata itu dengan tudung
yang dipakainya. Pertama kali dalam hidupnya ada lelaki yang benar-benar ikhlas
menerimanya. Pertama kali dalam hidupnya ada lelaki yang mengasihinya. Dan lelaki
itu adalah Radzi yang pernah ditolak cintanya dahulu.
Sebenarnya, Muna sengaja mengelak untuk menyintai Radzi
hanya kerana Radzi anak yang tidak diketahui asal-usulnya. Radzi pernah
menceritakan siapa dirinya yang sebenar ketika mereka berkawan baik dahulu.
Radzi pernah mengadu kepadanya bagaimana pandangan sinis rakan-rakan
terhadapnya bila mengetahui yang dia adalah anak terbuang yang ditemui di tangga
masjid. Tiada pengenalan diri ditemui. Hanya dirinya dibaluti kain batik dan
diletakkan dalam kotak. Radzi yang ditemui kariah masjid tersebut telah di
tempatkan di rumah kebajikan kanak-kanak sebelum diambil sebagai anak angkat
oleh sepasang suami isteri yang mengasaskan tempat perlindungan untuk anak-anak
senasib dengannya. Di situlah dia membesar dan menjalani usia kanak-kanak dan
remajanya. Di situ jugalah dia menerima didikan agama dan kasih sayang dari Abi
dan Umi yang mengasihinya dan anak-anak yang lain seumpama anak sendiri.
“Maafkan
Muna, Radzi. Muna pernah menolak cinta Radzi dulu. Muna terlalu memandang jijik
kepada Radzi hanya kerana siapa diri Radzi. Sekarang, Allah uji Muna begini. Muna terlalu banyak
berdosa. Muna terlalu menurut cinta nafsu tanpa memikirkan dosa pahala. Muna
lupa yang Muna masih ada Allah yang sentiasa memerhatikan tindak-tanduk Muna,”
ujar Muna sambil menangis. Dia mula membahasakan dirinya Muna sebagaimana
ketika mereka bersahabat baik dahulu. Sesekali dia mengesat-ngesat pipi dan
hidung dengan tisu yang baru dikeluarkan dari beg tangannya.
“Radzi dah
maafkan Muna sejak dulu lagi. Radzi selalu mendoakan kebaikan dan kesejahteraan
Muna setiap kali usai solat. Ketika di Tanah Suci baru-baru ini, Radzi berdoa di
hadapan Kaabah agar Allah mempertemukan kembali Radzi dengan Muna walau dalam
keadaan bagaimana sekali pun. Allah dengar doa Radzi. Allah makbulkan
permintaan Radzi. Dia telah mempertemukan kita malam itu,”
ucap Radzi sambil mengucapkan syukur kepada Allah atas pertemuan itu.
Hari ini
Muna melipat telekung dan sejadah yang dipakainya
sebentar tadi. Usai solat Qiamullail sebentar tadi, Muna meneruskan dengan
membaca Al-Quran. Tinggal beberapa juzuk sahaja lagi untuk khatam. Muna
mengusap-usap perutnya yang kelihatan memboyot. Pejam celik, pejam celik,
rupanya sudah 9 bulan usia kandungannya itu. Dia hanya menunggu hari untuk
bersalin sahaja lagi. Serasa cepat sungguh masa berlalu. Muna berharap sebelum
dia bersalin, dia sempat menghabiskan bacaan Al-Qurannya itu.
Hujan di luar masih terus turun walaupun tidak selebat
tadi. Muna memandang susuk tubuh yang sedang lena di atas katil. Dia tersenyum.
Lena sungguh dia. Itulah penawar hatinya yang banyak menceriakan hari-hari yang
dilaluinya sejak peristiwa silam yang kelam. Dia hadir membawa sinar bahagia
dalam hidup Muna kini.
Muna menjeling ke arah jam loceng di meja sisi. Jam
menunjukkan pukul 3.25 pagi. Muna bersandar di kepala katil. Tubuh di
sebelahnya bergerak berkalih arah mungkin terganggu sedikit dengan henyakan
tubuhnya ke tilam itu. Muna senyum. Diperkemaskan sedikit selimut yang melurut
ke kaki. Kemudian, dia menatap wajah itu sebelum mengucup dahinya.
Diusap-usapnya wajah mulus itu penuh kasih sayang.
“I love you,
Sayang...” Bisik Muna perlahan sekadar dengar di pendengarannya
sahaja.
“Tanpamu
siapalah diri ini. Kau hadir membawa bahagia. Allah mengutuskanmu kepadaku
untuk membawa bahagia. Kehadiranmu membawa sinar dalam hidupku yang dulu pernah
sirna. Aku beruntung memilikimu, Sayang....” Berkata Muna
seolah-olah si pemilik tubuh itu mendengar apa yang diperkatakan.
Muna mencapai novel di sisi katil. Dia tidak berhasrat
untuk tidur kembali. Novel Ramlee Awang Murshid, Sunan Musafir kini dalam tatapannya. Dia mahu segera menamatkan
pembacaannya hari ini juga. Buku itu diolah dengan jalan penceritaan yang cukup
menarik. Muna terbuai sebentar dalam pembacaannya bagi menghayati watak dalam
novel tersebut. Dia benar-benar asyik. Langsung tidak sedar masa berlalu begitu
pantas.
Tiba-tiba telefon bimbit yang diletakkan di atas meja
sisi melagukan lagu Rapuh nyanyian
Opick. Lekas Muna melihat ke skrin. Dia tersenyum girang melihat nombor yang
terpapar. Sudah tahu siapa yang menelefonnya.
“Assalamualaikum
duhai Imamku...” lekas Muna mengucap salam selepas punat accept call ditekan.
“Waalaikumussalam
duhai makmumku...” jawab suara di sana sambil ketawa. Muna turut ketawa.
“Makmum Abang
ni tengah buat apa?” Soal suara itu.
“Erm....duduk-duduk..sambil
baca novel ni,” Muna memberitahu perkara sebenar. Muna bangkit
perlahan-lahan dari katil menuju ke kerusi rehat yang diletakkan di tepi
tingkap. Dia tidak mahu perbualannya mengganggu tubuh yang sedang lena tidur
itu.
“Dekat sana
bukan ke dah nak Subuh? Buat apa baca novel time ni? Kenapa tak tidur je?
Atau...Sayang tunggu Abang kot?” Teka pemilik suara itu. Banyak
betul soalan yang ditanya. Muna ketawa gelihati.
“Ish! Tak de
lah...Muna terjaga tadi sebab terkejut dengan bunyi petir. Terlanjur dah bangun
terus solat malam dan mengaji. Lepas tu rasa dah tak boleh nak tidur. Erm...tu
yang Muna baca novel ni..” Rindu sungguh dia kepada pemilik suara itu. Rasa sudah
cukup lama mereka tidak bertemu. Muna tahu, pemilik suara itu juga pasti merinduinya.
“Oh...jadi
bukan tunggu Abang lah ni?” Ada nada kecewa di sana.
“Hehehe...tunggu
juga lah...” Akui Muna. Suara di sana ketawa mendengar pengakuan itu.
“Kenapa baru
sekarang Abang telefon,” tanya Muna sebab berasa pelik. Kebiasaannya si pemanggil
akan menelefonnya antara jam 7:00 malam ke 11:00 malam. Tetapi kali ini
menelefon ketika hampir Subuh.
“Maaf Sayang...Abang sibuk sikit tadi. Banyak urusan
perlu Abang selesaikan di sini. Oh ya, esok Muna tak perlulah jemput Abang di
airport, ya? Nanti kawan Abang akan jemput Abang,” ujar suara
itu lagi.
“Ye lah! Tapi
jangan lupa tau belikan barang yang Muna nak tu...” Muna
mengingatkan.
Radzi di hujung talian mengiakan permintaan isterinya itu.
Orang mengandung ni ada sahaja
keinginannya. Sejak berkahwin, dia sudah cukup masak perangai isteri
tercinta.
Mereka bersembang agak lama. Macam-macam perkara
dibualkan. Sesekali Muna tertawa mendengar celoteh suaminya. Bukan selalu Radzi
dapat menelefonnya sejak dihantar bertugas ke Turki 3 bulan lalu oleh majikan
tempatnya bekerja. Mereka hanya kerap berhubung melalui emel sahaja. Jadi,
apabila Radzi berpeluang menelefon isterinya di tanah air, banyak perkara
hendak diceritakan. Muna juga banyak perkara yang hendak dikhabarkan tentang kerjanya
dan juga perkembangan anak dalam kandungannya itu. Dia mahu berkongsi cerita
bagaimana menjadi ibu yang terpaksa mengurus segala perkara sendirian dalam
keadaan sedang sarat mengandung itu.
“Abang tak
boleh cakap panjang la sayang...Esok, bila Abang dah balik Malaysia, kita
sembang panjang ye...sampaikan salam sayang Abang pada si comel kita
tu..rindunya abang pada Afifah. Tak sabar nak balik dah ni..” Radzi
memaklumkan dalam nada keterujaan.
“Kami pun
rindukan Abang juga...”
beritahu Muna sambil menjeling anaknya yang sedang lena tidur di atas katil
empuk. Langsung tidak bergerak di pembaringan sejak tadi. Mungkin penat sangat
sebab sepanjang siang semalam tidak tidur. Malamnya pula agak terlewat tidur. Tidak
sampai 5 minit sahaja meletak kepala atas bantal sambil menyusu susu botol, terus
terlena. Anaknya itu yang kini berusia 3 tahun semakin aktif dan lincah. Tutur
katanya juga semakin teratur dan petah berkata-kata. Muna sampai tak terlayan
dengan karenah anaknya itu sementelah dia yang semakin sarat dengan kandungan.
Mujur juga, anaknya yang kini mula menggelar diri sebagai ‘Kakak’ mula memahami
kesukaran Uminya itu. Bolehlah hendak disuruh-suruh apabila diminta.
Muna mematikan punat telefon bimbitnya selepas menjawab
salam Radzi. Telefon itu diletakkan kembali ke atas meja sisi di tepi katil.
Saat meletakkan telefonnya itu, Muna terpandang gambar perkahwinan mereka di
dalam frame gambar di atas meja tersebut.
Dia terkenang saat pernikahannya dahulu. Syukurlah ibu bapanya merestui
perkahwinan mereka. Radzi sendiri menemui mereka menjelaskan perkara sebenar
yang berlaku. Ibu bapa mana tidak marah dan sedih apabila mengetahui apa yang
berlaku ke atas anaknya. Namun, Radzi banyak menyabarkan ibu bapanya. Atas
keperibadian yang tinggi yang terdapat dalam diri Radzi, ibu bapanya melepaskan
Muna kepada Radzi dengan rela hati. Mereka kemudiannya dinikahkan dalam majlis
perkahwinan yang sederhana tetapi meriah.
Perkahwinan dibina dilayari penuh bahagia.
Sedikit-sebanyak, dia mula melupakan kisah pahit yang menyiat-nyiat ulu hatinya
satu ketika dahulu. Kelahiran Afifah, bayi comel yang pernah tidak diingini si
bapa kandung memberi sinar bahagia dalam kehidupan berumahtangga antara Muna
dan Radzi. Anak itu merapatkan hubungan mereka suami isteri dan terlahirlah
cinta di hati Muna buat sang suami yang banyak berbudi.
Melihat kesabaran Radzi menjaga dan melayani karenah bayi
kecil yang baru lahir menggambarkan keikhlasannya dalam menerima kehadiran
Afifah. Pertama kali mendengar Radzi membahasakan dirinya Abi kepada Afifah yang baru dilahirkan membuatkan air
matanya terus sahaja mengalir ke pipi. Bacaan Iqamat ke telinga anaknya oleh
Radzi membuatkan Muna menjadi begitu sebak dan terharu.
“Ya
Allah...beruntungnya aku dikurniakan seorang suami sebaik dia. Kau suburkanlah
perasaan cinta di hati kami ini biar berkekalan hingga ke syurgaMu. Kau
kurniakanlah kami zuriat yang soleh dan solehah sebagai penyambung keturunan
kami. Ya Allah, aku bersyukur dengan pemberianMu ini,” doa Muna di
dalam hati melihat Radzi yang sedang mengacah anak yang baru lahir. Mulianya
hatimu, Radzi.
Kini, selepas hampir empat tahun peristiwa pahit yang
hampir memusnahkan hidupnya itu berlalu, Muna dikhabarkan oleh seorang rakan
mengenai Airil yang telah bercerai dengan isteri yang baru dikahwini selama
setahun. Menurut sumber itu, isteri Airil telah menuntut fasakh ke atasnya
akibat kekurangan diri Airil yang tidak mampu memberi zuriat selepas terlibat
kemalangan apabila terjatuh dari kuda ketika beriadah di Pusat Equastrian dua
tahun lalu.
Apabila perkara itu dikhabarkan kepada Radzi, suaminya
hanya meminta agar dia mendoakan kebaikan buat Airil malah memaafkan segala
yang telah berlaku dahulu. Setelah difikirkan sedalam-dalamnya, akhirnya Muna memaafkan
segala kesalahan Airil. Bukan mudah mahu melupakan apa yang telah dilakukan
Airil dahulu. Setiap kali menatap wajah Afifah, dia teringat apa yang pernah
dikatakan Airil.
“Aku tak
perlukan anak yang kau kandung. Aku tak pernah inginkannya sampai bila-bila.
Entah betul itu anak aku atau kau sekadar membuat cerita,”
kata-kata Airil yang diingati Muna hingga kini. Ketika itu dia puas merayu
minta Airil bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.
“Mungkin ini
nasib yang perlu kau lalui Airil di atas segala dosa-dosa kau. Jika kau hadir
menuntut Afifah sebagai anak kau, tidak sekali-kali aku izinkan kerana selama
ini Radzi adalah Abi kepada Afifah. Radzi sanggup menerima segala kekurangan
diriku ini demi menyelamatkan aku dari terus hanyut dan tersasar,” Gumam
Muna perlahan. Dia menghela nafas dan melepaskan keluhan yang panjang.
“Aku sudah
lama menerima takdirku begini. Aku bahagia dengan jalan yang ku pilih ini. Aku
bahagia...bahagia dengan orang-orang
yang kukasihi dan orang-orang yang mengasihiku.” Muna
berkata penuh pasrah. Dia berdoa agar hari-hari mendatang akan terus
memancarkan sinar bahagia buat dirinya, suami dan anak-anaknya.
Nukilan: Ayna Najla
4
Oktober 2012 12:10H
Sungkai, Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan