Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Sajak: Bukan Ku Pinta (Buat Adik Ahmad Adam Syukri)


















Bukan aku pinta lahir begini 
ibu bapaku jua pasti tidak pernah pinta aku lahir begini
ibu bapa mana sanggup lihat anak dinanti lahir begini
kesempurnaan yang pasti
namun Allah jua Maha Mengetahui
mengapa aku dilahirkan begini

Aku juga ingin jadi seperti anak-anak yang lain
hidup sempurna dan ceria
jalani hidup bagai insan biasa
bebas ke sana sini
bermain dan bergembira
jadi penghibur dalam keluarga

Aku tidak pernah mahu membebankan sesiapa
apatah lagi buat ibu bapa tercinta
namun apalah daya
aku tidak upaya
untuk nyatakan derita ditanggung
kesakitan yang bergabung

Mereka yang memandang rasa simpati
kata semangat diberi
buat perisai kekuatan diri
meneruskan hidupku di bumi Ilahi

Aku yang menanggung segala
sukar meluahkan apa dirasa
hanya tangisan dan air mata
mampu digambarkan pengganti bicara
bercerita tentang derita
bercerita tentang lara

Buat mama
dikau insan penyabar
tidak jemu melayaniku dan mengurusiku
dalam senyummu tersembunyi pilu
dalam tawamu terkandung tangismu
dikau insan pengasih tidak pernah gentar
menerima ujian Allah iman disandar
sebagai pegangan agar tidak tersasar

Buat bapa
dikau insan cekal
tidak kenal erti lelah
tidak kenal erti kalah
biar pun jauh kakimu melangkah
tetap kau redah mencari nafkah
tidak kau biar anak isterimu gundah
tidak tega melihat anak isterimu susah

Mama bapa
andai aku mampu berbicara
ingin aku katakan
betapa aku kasihkan kalian
betapa aku beruntung beribu bapakan kalian
insan berjasa begitu istimewa

Mama bapa
ketahuilah
Dia mengutuskanku kepadamu
bukan mahu menyeksa
bukan jua mahu kalian merana
namun
kalian insan terpilih
untuk diuji keimanan dan kesabaran
di situ tersembunyi hikmah tidak ketahuan

Mama bapa
terima kasih atas doa
yang tidak pernah putus
mengharap sinar harapan buatku
pulih dari sengsara
melihatku bahagia dan ceria

Namun
andai aku tidak bisa bertahan
janganlah ditangisi pemergian
kerna janji Allah sudah tersedia
ganjaran syurga buat kalian
di atas pengorbanan tanpa batasan
pengorbanan tidak minta balasan.


Nukilan: Ayna Najla
12 Oktober 2012 14:10H
Sungkai, Perak
 

2 ulasan:

  1. ya Allah... ayna, sebak bila baca sajak ni...dh janji xmo nangis tapi akak ternangis gak....huhuhu...semoga adik adam akan sembuh....insya Allah...marilah kita doakan sama2 ye....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam...sedih mengenangkn nasib ank kecil yg baru ingin melihat dunia diuji dgn penderitaan dn kesengsaraan...kita yg dwsa pun x mampu nk hdpi, ini kan pula mereka yg masih kecil utk mengenal dunia...apa lah daya seorg ank kecil..mrka tdk mampu bbicara menyatakan sengsara ditanggung...kita hanya mampu melihat dn mbantu sekadarnya...smga doa kita utk meliht kesembuhan adik adam syukri dn ank2 lain yg mderita dikabulkanNya...Insya-Allah...(saya cuba mbayangkn diri berada dlm diri adik Adam dn juga ank2 kecil lain saat mencipta sajak ini...betapa perit derita yg mereka tanggung...Ya Allah..ringankanlah beban mereka ini..permudahkanlah jln hidup mereka..semoga ada sinar kbahagian buat mereka...Amin)

      Padam