3 Oktober 2012
MUNGKIN kita semua akur bahawa terdapat sesetengah masyarakat manusia
yang terlalu mewah dengan harta kekayaan akan kurang ketaqwaannya.
Tetapi di sebaliknya, mungkin juga terdapat sesetengah orang yang
mewah dan kaya, mungkin akan bertambah ketaqwaannya, dan dapat
melipatgandakan amal baktinya kepada ALLAH, yang dapat mengembalikan
pahala yang banyak kepada mereka dibandingkan dengan orang miskin yang
tidak berpeluang untuk menunaikan zakat atau sadaqah jariah dan berbakti
kepada sesama manusia pada jalan ALLAH, maka golongan miskin ini tidak
mendapat sebarang ganjaran dari kemiskinannya.
Adalah diharapkan bahawa bajet terbaru yang banyak menawarkan kebendaan
kepada rakyat akan membuka pintu rezekinya yang agak luas, maka rakyat
akan bertambah senang dan selesa dengan kehidupannya. Lalu mereka akan
bersyukur dan akan mengerjakan amal bakti dan dapat beribadat dengan
selesa kepada ALLAH SWT bagi mendapatkan ganjaran-Nya.
Harta dan kekayaan itu pula bukanlah merupakan sesuatu yang dibenci
agama, malah harta dan kekayaan itu merupakan sesuatu yang dituntut
untuk kesejahteraan manusia, kesenangan keluarga, kemudahan pendidikan
dan selain dari itu memudahkan amal ibadat dan kerja-kerja kebajikan
seperti yang di tuntut agama.
Mempunyai harta dan kesenangan tidak bererti yang ampunyanya akan
menjadi jahat dan lupakan ALLAH, dan demikianlah sebaliknya
kadang-kadang tanpa mempunyai harta itu, maka tidak semestinya orang itu
menjadi baik dan taat kepada ALLAH SWT. Semuanya ini terhenti kepada
diri individu itu sendiri secara peribadi.
Kita tentulah amat mamahami falsafah ajaran Islam berdasarkan al-Quran
dan Hadis. “Kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran”,
“usahakanlah apa-apa yang dikurniakan ALLAH kepada kamu di negeri
akhirat, namun janganlah kamu lupakan nasib kamu di dunia ini”. “Tuhan
kami berikanlah kami kebahagiaan di dunia ini, dan berikanlah kami
kebahagiaan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari azab neraka”
"Kerohanian" pula haruslah difahami dengan makna dan konsep yang lebih
luas iaitu sifat yang membawa manusia kepada mematuhi ajaran dan
perintah ALLAH SWT, mulai dari amal ibadat dan akhlak mulia membawa
kepada mempertingkatkan ilmu dan hikmah, dan bermula juga di surau dan
masjid membawa kepada sekolah dan universiti, dari amalan membaca dan
menghapal al-Quran membawa kepada menguasai bidang-bidang industri dan
teknologi seperti yang berlaku pada zaman kecemerlangan Islam dengan
kelahiran ahli-ahli falsafah, ilmuan, ahli falak, pelayaran, sains
teknologi, sehinggalah kepada para hukamak dan ulamak yang memandu umat
manusia kepada jalan ALLAH yang betul. Para ilmuan dan pejuang Islam itu
adalah bersifat dengan sifat taqwa yang menguatkan mereka dalam bidang
jasmani dan rohani, fizikal dan spiritual.
Rasullah SAW telah menunjukkan contoh sebagai seorang manusia unggul
dalam jalan keduniaan dan akhirat. Ketika Baginda berhijrah maka baginda
telah menguruskan hal ehwal kebendaan dengan baik, orang Islam membayar
Zakat, dan orang bukan Islam membayar jizyah (cukai) kepada pemerintah,
orang ansar dan muhajirin tolong menolong dan bantu membantu untuk
kesejahteraan saudara-saudara seagama, dan baginda mendirikan masjid
serta memberikan pengajaran kepada semua. Maka semuanya ini adalah
merupakan amalan pemimpin dan rakyat bagi mendapatkan keselesaan dalam
menjalankan kehidupan mereka rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.
Saya tidak nampak bahawa bajet yang dikemukakan itu adalah merupakan
kebendaan yang boleh dibandingkan dengan sogokan kaum musyrikin kepada
baginda Rasulullah SAW supaya meninggalkan Islam, kerana dari sudut yang
lain rangsangan untuk menegakkan Islam dan ajarannya secara langsung
atau tidak langsung adalah dipermudahkan dengan bantuan kepada
institusi-institusi masyarakat dan keagamaan untuk memperkuatkan ajaran
Islam dan pendidikannya, tempat ibadah dan dakwahnya, sekolah dan
universiti Islam, madrasah tahfiz dan al-Quran, perbankan dan kewangan
sistem Islam, takaful serta lain-lainnya.
Namun begitu, apa-apa komen dan analisis yang dibuatkan terhadap bajet
yang baru dikemukakan itu haruslah diterima dengan hati yang terbuka
kerana bagi saya yang pentingnya bukanlah sesuatu yang dikemukakan dalam
bajet itu yang mengandungi segala keburukan atau kebaikannya, malahan
kumpulan sasar yang diberikan bajet itulah yang sebenarnya dapat
menguruskan segala kebaikan yang diberikan di dalam bajet itu, sama ada
kebendaan, perumahan, pendidikan dan sebagainya, kerana orang yang
menerima itulah akhirnya yang merasakan kesannya dan mengetahui
bagaimanakah mengambil kesempatan dari kebaikan bajet itu untuk
kepentingan agama, bangsa dan negaranya.
Hal ini saya rasa amat penting difahami dan dihayati oleh masyarakat
umum kerana sebarang salah faham yang dibangkitkan untuk mencarikan
keburukan bajet ini hanya akan mengelirukan pandangan umum masyarakat
kita, terutamanya apa bila isu ini dibangkitkan atas nama agama dan
ajarannya yang suci.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan