Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Ciri-Ciri Pemimpin Yang Baik



Entri saya kali ini saya perolehi di sini. Saya tertarik dengan entri kali ini disebabkan ia berkaitan dengan pemimpin yang perlu kita pilih dan lantik terutama dalam suasana hampir pilihan raya umum ini.
Saya sebenarnya agak risau juga jika pemimpin yang dipilih kelak adalah pemimpin yang tidak selayaknya memimpin. Saya tidak mahu pemimpin yang saya pilih hanya tahu berjanji sebelum pilihan raya tetapi selepas segalanya selesai dan dia dipilih, segala janji dilupakan. Rakyat mengharap dan terus mengharap namun segala janji tinggal janji.
Saya pernah bertemu dengan seorang Menteri Besar ini dalam satu majlis minum petang di kediaman rasmi beliau bersama peserta PLKN tempat saya bertugas beberapa tahun dahulu. Peserta-peserta amat teruja dengan pertemuan ini. YB ini telah berjanji kepada peserta PLKN bahawa dia akan bagi setiap orang VCD majlis ini sebagai kenangan (majlis ini telah dirakam oleh RTM). Namun, selepas peserta ini tamat latihan, VCD yang dijanjikan tidak kunjung tiba. Peserta-peserta yang telah tamat latihan dan pulang ke kampung halaman ini kerap mesej dan telefon saya dan rakan jurulatih  lain bertanyakan hal ini. Apa yang dapat kami katakan, jangan terlalu mengharap. Memang kecewa..
Itu baru janji kecil, bagaimana janji-janji lain yang disogokkan kepada rakyat? Jika tidak mampu laksanakan, usah berjanji yang bukan-bukan hanya kerana mahu meraih undi. Kesilapan dan rasa kurang tanggungjawab pemimpin kepada rakyat akan merosakkan reputasi pemimpin di mata rakyat. Kepercayaan rakyat kepada pemimpin juga semakin hilang.
Justeru, rakyat perlu bijak dalam memilih pemimpin mereka. Jangan sesuka hati sahaja memangkah calon tanpa menyelidik latar belakang dan kreadibiliti mereka dalam memimpin masyarakat. 
Ciri-ciri pemimpin yang baik yang digariskan dan dijelaskan oleh seorang khatib dalam sebuah khutbah Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam pada 21 Disember 2012 lalu merujuk kepada al-quran, hadis dan pendapat ulama’ muktabar. Ia bukan sahaja merujuk kepada pemimpin politik kepartian tetapi semua jenis pemimpin. Beliau memetik hadis Nabi yang menghendaki supaya dilantik seorang ketua jika bermusafir seramai tiga orang atau lebih.
Menurut khatib dalam pendahuluan khutbahnya sebelum menjelaskan lapan ciri pemimpin yang baik, memilih dan melantik pemimpin adalah wajib. Jika pemimpin tidak dipilih selepas tiga hari jawatan itu dikosongkan atau jawatan itu sepatutnya diwujudkan seperti ketua dalam masa bermusafir, semua orang yang terlibat berdosa. Sebaliknya jika lantikan telah dibuat pahala diperolehi semua orang.
Oleh kerana perkara ini berkaitan dosa dan pahala, khatib mengingatkan agar pemimpin dipilih dengan betul dan berhati-hati supaya pemimpin itu dapat melaksanakan tugas kepemimpinannya dengan jujur, adil, amanah dan berintegriti.
Lapan ciri pemimpin yang baik yang digariskan oleh khatib menurut perspektif Islam adalah seperti berikut:
1.  Berupaya menjaga agama dan menegakkan syariat Allah
2. Memiliki kekuatan atau kesihatan fizikal, spiritual dan mental untuk menanggung kerja dan amanah yang dipikul
3.  Memiliki sifat taqwa dan berintegriti
4.  Amanah, adil dan tidak berlaku zalim atau mengamalkan diskriminasi
5.  Bertanggungjawab dan tidak sombong terutama kepada pengikutnya
6.  Tegas dan berpegang teguh kpd prinsip adil, amanah dan integriti
7.  Berakhlak dan berbudi. pekerti mulia
8.  Menunaikan janji dan tidak berdusta atau berbohong
Khatib menutup khutbahnya dengan ingatan bahawa pemimpin tidak boleh dipilih dgn tangkap muat. Beliau juga mengingatkan agar tidak melantik pemimpin yang tidak takut kepada Tuhan. Pesannya agar pemimpin tidak dilantik untuk dijadikan ejekan sama ada oleh orang yang dipimpin atau orang lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan