Entri
saya kali ini saya perolehi di sini.
Saya tertarik dengan entri kali ini disebabkan ia berkaitan dengan pemimpin
yang perlu kita pilih dan lantik terutama dalam suasana hampir pilihan raya
umum ini.
Saya sebenarnya agak risau juga jika pemimpin yang dipilih kelak
adalah pemimpin yang tidak selayaknya memimpin. Saya tidak mahu pemimpin yang
saya pilih hanya tahu berjanji sebelum pilihan raya tetapi selepas segalanya
selesai dan dia dipilih, segala janji dilupakan. Rakyat mengharap dan terus
mengharap namun segala janji tinggal janji.
Saya pernah bertemu dengan seorang Menteri Besar ini dalam satu
majlis minum petang di kediaman rasmi beliau bersama peserta PLKN tempat saya
bertugas beberapa tahun dahulu. Peserta-peserta amat teruja dengan pertemuan
ini. YB ini telah berjanji kepada peserta PLKN bahawa dia akan bagi setiap
orang VCD majlis ini sebagai kenangan (majlis ini telah dirakam oleh RTM).
Namun, selepas peserta ini tamat latihan, VCD yang dijanjikan tidak kunjung
tiba. Peserta-peserta yang telah tamat latihan dan pulang ke kampung halaman
ini kerap mesej dan telefon saya dan rakan jurulatih lain bertanyakan hal
ini. Apa yang dapat kami katakan, jangan terlalu mengharap. Memang kecewa..
Itu baru janji kecil, bagaimana janji-janji lain yang disogokkan
kepada rakyat? Jika tidak mampu laksanakan, usah berjanji yang bukan-bukan
hanya kerana mahu meraih undi. Kesilapan dan rasa kurang tanggungjawab pemimpin
kepada rakyat akan merosakkan reputasi pemimpin di mata rakyat. Kepercayaan
rakyat kepada pemimpin juga semakin hilang.
Justeru, rakyat perlu bijak dalam memilih pemimpin mereka.
Jangan sesuka hati sahaja memangkah calon tanpa menyelidik latar belakang dan
kreadibiliti mereka dalam memimpin masyarakat.
Ciri-ciri pemimpin yang baik yang
digariskan dan dijelaskan oleh seorang khatib dalam sebuah khutbah Jumaat di
Masjid Negeri Shah Alam pada 21 Disember 2012 lalu merujuk kepada al-quran,
hadis dan pendapat ulama’ muktabar. Ia bukan sahaja merujuk kepada pemimpin
politik kepartian tetapi semua jenis pemimpin. Beliau memetik hadis Nabi yang
menghendaki supaya dilantik seorang ketua jika bermusafir seramai tiga orang
atau lebih.
Menurut khatib dalam pendahuluan
khutbahnya sebelum menjelaskan lapan ciri pemimpin yang baik, memilih dan
melantik pemimpin adalah wajib. Jika pemimpin tidak dipilih selepas tiga hari
jawatan itu dikosongkan atau jawatan itu sepatutnya diwujudkan seperti ketua
dalam masa bermusafir, semua orang yang terlibat berdosa. Sebaliknya jika lantikan
telah dibuat pahala diperolehi semua orang.
Oleh kerana perkara ini berkaitan dosa
dan pahala, khatib mengingatkan agar pemimpin dipilih dengan betul dan
berhati-hati supaya pemimpin itu dapat melaksanakan tugas kepemimpinannya
dengan jujur, adil, amanah dan berintegriti.
Lapan ciri pemimpin yang baik yang
digariskan oleh khatib menurut perspektif Islam adalah seperti berikut:
1. Berupaya menjaga agama dan
menegakkan syariat Allah
2. Memiliki kekuatan atau kesihatan
fizikal, spiritual dan mental untuk menanggung kerja dan amanah yang dipikul
3. Memiliki sifat taqwa dan
berintegriti
4. Amanah, adil dan tidak berlaku
zalim atau mengamalkan diskriminasi
5. Bertanggungjawab dan tidak
sombong terutama kepada pengikutnya
6. Tegas dan berpegang teguh kpd
prinsip adil, amanah dan integriti
7. Berakhlak dan berbudi. pekerti
mulia
8. Menunaikan janji dan tidak
berdusta atau berbohong
Khatib menutup khutbahnya dengan ingatan
bahawa pemimpin tidak boleh dipilih dgn tangkap muat. Beliau juga mengingatkan
agar tidak melantik pemimpin yang tidak takut kepada Tuhan. Pesannya agar
pemimpin tidak dilantik untuk dijadikan ejekan sama ada oleh orang yang
dipimpin atau orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan