Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan

Ciri-Ciri Pemimpin Yang Baik



Entri saya kali ini saya perolehi di sini. Saya tertarik dengan entri kali ini disebabkan ia berkaitan dengan pemimpin yang perlu kita pilih dan lantik terutama dalam suasana hampir pilihan raya umum ini.
Saya sebenarnya agak risau juga jika pemimpin yang dipilih kelak adalah pemimpin yang tidak selayaknya memimpin. Saya tidak mahu pemimpin yang saya pilih hanya tahu berjanji sebelum pilihan raya tetapi selepas segalanya selesai dan dia dipilih, segala janji dilupakan. Rakyat mengharap dan terus mengharap namun segala janji tinggal janji.
Saya pernah bertemu dengan seorang Menteri Besar ini dalam satu majlis minum petang di kediaman rasmi beliau bersama peserta PLKN tempat saya bertugas beberapa tahun dahulu. Peserta-peserta amat teruja dengan pertemuan ini. YB ini telah berjanji kepada peserta PLKN bahawa dia akan bagi setiap orang VCD majlis ini sebagai kenangan (majlis ini telah dirakam oleh RTM). Namun, selepas peserta ini tamat latihan, VCD yang dijanjikan tidak kunjung tiba. Peserta-peserta yang telah tamat latihan dan pulang ke kampung halaman ini kerap mesej dan telefon saya dan rakan jurulatih  lain bertanyakan hal ini. Apa yang dapat kami katakan, jangan terlalu mengharap. Memang kecewa..
Itu baru janji kecil, bagaimana janji-janji lain yang disogokkan kepada rakyat? Jika tidak mampu laksanakan, usah berjanji yang bukan-bukan hanya kerana mahu meraih undi. Kesilapan dan rasa kurang tanggungjawab pemimpin kepada rakyat akan merosakkan reputasi pemimpin di mata rakyat. Kepercayaan rakyat kepada pemimpin juga semakin hilang.
Justeru, rakyat perlu bijak dalam memilih pemimpin mereka. Jangan sesuka hati sahaja memangkah calon tanpa menyelidik latar belakang dan kreadibiliti mereka dalam memimpin masyarakat. 
Ciri-ciri pemimpin yang baik yang digariskan dan dijelaskan oleh seorang khatib dalam sebuah khutbah Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam pada 21 Disember 2012 lalu merujuk kepada al-quran, hadis dan pendapat ulama’ muktabar. Ia bukan sahaja merujuk kepada pemimpin politik kepartian tetapi semua jenis pemimpin. Beliau memetik hadis Nabi yang menghendaki supaya dilantik seorang ketua jika bermusafir seramai tiga orang atau lebih.
Menurut khatib dalam pendahuluan khutbahnya sebelum menjelaskan lapan ciri pemimpin yang baik, memilih dan melantik pemimpin adalah wajib. Jika pemimpin tidak dipilih selepas tiga hari jawatan itu dikosongkan atau jawatan itu sepatutnya diwujudkan seperti ketua dalam masa bermusafir, semua orang yang terlibat berdosa. Sebaliknya jika lantikan telah dibuat pahala diperolehi semua orang.
Oleh kerana perkara ini berkaitan dosa dan pahala, khatib mengingatkan agar pemimpin dipilih dengan betul dan berhati-hati supaya pemimpin itu dapat melaksanakan tugas kepemimpinannya dengan jujur, adil, amanah dan berintegriti.
Lapan ciri pemimpin yang baik yang digariskan oleh khatib menurut perspektif Islam adalah seperti berikut:
1.  Berupaya menjaga agama dan menegakkan syariat Allah
2. Memiliki kekuatan atau kesihatan fizikal, spiritual dan mental untuk menanggung kerja dan amanah yang dipikul
3.  Memiliki sifat taqwa dan berintegriti
4.  Amanah, adil dan tidak berlaku zalim atau mengamalkan diskriminasi
5.  Bertanggungjawab dan tidak sombong terutama kepada pengikutnya
6.  Tegas dan berpegang teguh kpd prinsip adil, amanah dan integriti
7.  Berakhlak dan berbudi. pekerti mulia
8.  Menunaikan janji dan tidak berdusta atau berbohong
Khatib menutup khutbahnya dengan ingatan bahawa pemimpin tidak boleh dipilih dgn tangkap muat. Beliau juga mengingatkan agar tidak melantik pemimpin yang tidak takut kepada Tuhan. Pesannya agar pemimpin tidak dilantik untuk dijadikan ejekan sama ada oleh orang yang dipimpin atau orang lain.


PRU-13: Tarikh Mengundi 5 Mei 2013




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan pada 5 Mei 2013 manakala tarikh penamaan calon pada 20 April.

Tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 30 April.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan dalam satu akhbar hari ini.

Seramai 13,268,002 orang layak mengundi dalam pilihan raya umum kali ini.



Bajet Negara: Antara 'Gula' dan 'Rohani'

Oleh: Datuk Dr Ismail Ibrahim
3 Oktober 2012
Dr Ismail Ibrahim
Dr Ismail Ibrahim bekas Ketua Pengarah Ikim

MUNGKIN kita semua akur bahawa terdapat sesetengah masyarakat manusia yang terlalu mewah dengan harta kekayaan akan kurang ketaqwaannya.

Tetapi di sebaliknya,  mungkin juga terdapat sesetengah orang yang mewah dan kaya, mungkin akan bertambah ketaqwaannya, dan dapat melipatgandakan amal baktinya kepada ALLAH, yang dapat mengembalikan pahala yang banyak kepada mereka dibandingkan dengan orang miskin yang tidak berpeluang untuk menunaikan zakat atau sadaqah jariah dan berbakti kepada sesama manusia pada jalan ALLAH, maka golongan miskin ini tidak mendapat sebarang ganjaran dari kemiskinannya.
Adalah diharapkan bahawa bajet terbaru yang banyak menawarkan kebendaan kepada rakyat akan membuka pintu rezekinya yang agak luas, maka rakyat akan bertambah senang dan selesa dengan kehidupannya. Lalu mereka akan bersyukur dan akan mengerjakan amal bakti dan dapat beribadat dengan selesa kepada ALLAH SWT bagi mendapatkan ganjaran-Nya.

Harta dan kekayaan itu pula bukanlah merupakan sesuatu yang dibenci agama, malah harta dan kekayaan itu merupakan sesuatu yang dituntut untuk kesejahteraan manusia, kesenangan keluarga, kemudahan pendidikan dan selain dari itu memudahkan amal ibadat dan kerja-kerja kebajikan seperti yang di tuntut agama.

Mempunyai harta dan kesenangan tidak bererti yang ampunyanya akan menjadi jahat dan lupakan ALLAH, dan demikianlah sebaliknya kadang-kadang tanpa mempunyai harta itu, maka tidak semestinya orang itu menjadi baik dan taat kepada ALLAH SWT. Semuanya ini terhenti kepada diri individu itu sendiri secara peribadi.

Kita tentulah amat mamahami falsafah ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis. “Kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran”, “usahakanlah apa-apa yang dikurniakan ALLAH kepada kamu di negeri akhirat, namun janganlah kamu lupakan nasib kamu di dunia ini”. “Tuhan kami berikanlah kami kebahagiaan di dunia ini, dan berikanlah kami kebahagiaan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari azab neraka”

"Kerohanian" pula haruslah difahami dengan makna dan konsep yang lebih luas iaitu sifat  yang membawa manusia kepada mematuhi ajaran dan perintah ALLAH SWT, mulai dari amal ibadat dan akhlak mulia membawa kepada mempertingkatkan ilmu dan hikmah, dan bermula juga di surau dan masjid membawa kepada sekolah dan universiti, dari amalan membaca dan menghapal al-Quran membawa kepada menguasai bidang-bidang industri dan teknologi seperti yang berlaku pada zaman kecemerlangan Islam dengan kelahiran ahli-ahli falsafah, ilmuan, ahli falak, pelayaran, sains teknologi, sehinggalah kepada para hukamak dan ulamak yang memandu umat manusia kepada jalan ALLAH yang betul. Para ilmuan dan pejuang Islam itu adalah bersifat dengan sifat taqwa yang menguatkan mereka dalam bidang jasmani dan rohani, fizikal dan spiritual.

Rasullah SAW telah menunjukkan contoh sebagai seorang manusia unggul dalam jalan keduniaan dan akhirat. Ketika Baginda berhijrah maka baginda telah menguruskan hal ehwal kebendaan dengan baik, orang Islam membayar Zakat, dan orang bukan Islam membayar jizyah (cukai) kepada pemerintah, orang ansar dan  muhajirin tolong menolong dan bantu membantu untuk kesejahteraan saudara-saudara seagama, dan baginda mendirikan masjid serta memberikan pengajaran kepada semua. Maka semuanya ini adalah merupakan amalan pemimpin dan rakyat bagi mendapatkan keselesaan dalam menjalankan kehidupan mereka rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.
Saya tidak nampak bahawa bajet yang dikemukakan itu adalah merupakan kebendaan yang boleh dibandingkan dengan sogokan kaum musyrikin kepada baginda Rasulullah SAW supaya meninggalkan Islam, kerana dari sudut yang lain rangsangan untuk menegakkan Islam dan ajarannya secara langsung atau tidak langsung adalah dipermudahkan dengan bantuan kepada institusi-institusi masyarakat dan keagamaan untuk memperkuatkan ajaran Islam dan pendidikannya, tempat ibadah dan dakwahnya, sekolah dan universiti Islam, madrasah tahfiz dan al-Quran, perbankan dan kewangan sistem Islam, takaful serta lain-lainnya.

Namun begitu, apa-apa komen dan analisis yang dibuatkan terhadap bajet yang baru dikemukakan itu haruslah diterima dengan hati yang terbuka kerana bagi saya yang pentingnya bukanlah sesuatu yang dikemukakan dalam bajet itu yang mengandungi segala keburukan atau kebaikannya, malahan kumpulan sasar yang diberikan bajet itulah yang sebenarnya dapat menguruskan segala kebaikan yang diberikan di dalam bajet itu, sama ada kebendaan, perumahan, pendidikan dan sebagainya, kerana orang yang menerima itulah akhirnya yang merasakan kesannya dan mengetahui bagaimanakah mengambil kesempatan dari kebaikan bajet itu untuk kepentingan agama, bangsa dan negaranya.

Hal ini saya rasa amat penting difahami dan dihayati oleh masyarakat umum kerana sebarang salah faham yang dibangkitkan untuk mencarikan keburukan bajet ini hanya akan mengelirukan pandangan umum masyarakat kita, terutamanya apa bila isu ini dibangkitkan atas nama agama dan ajarannya yang suci.

Janji Ditepati?

Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Merdeka ke-55 buat seluruh rakyat Malaysia.
 
 
 
Apa tema merdeka kita kali ini? Rasanya ramai yang tahu sebab tema ini telah menjadi 1 perdebatan yang hangat diperkatan oleh seluruh rakyat Malaysia .."Janji Ditepati"...
 
Saya tak mahu mengulas panjang tentang tema ini cuma harapan saya sebagai rakyat Malaysia yang punya hak untuk bersuara, mudahan janji-janji yang diberikan kerajaan dan pemimpin rakyat bukanlah janji-janji kosong sekadar untuk penyedap telinga rakyat yang mendengarnya..Buktikan dengan perbuatan dan laksanakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab..rakyat memilih dengan harapan tampuk pimpinan negara dan masyarakat ini akan membawa perubahan dalam sosio budaya dan ekonomi rakyat...rakyat menanti dan berharap perubahan yang dijanjikan akan membawa impak kebaikan dalam kehidupan mereka..
 
Sebagai seorang rakyat, kita juga punya peranan dalam menyumbang keharmonian dan kesejahteraan negara..sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memelihara keharmonian negara. Justeru, berjanjilah untuk memelihara kemerdekaan yang kita kecapi hasil pengorbanan masyarakat dan pejuang terdahulu...jangan dibiarkan keamanan yang kita kecapi hari ini dicemari dengan pelbagai insiden yang boleh mencemarkan nama baik Malaysia.
 
P/S: Tanya pada diri, bagaimana janji kita dengan Allah, adakah "Janji Ditepati"?