Enjoyscrap.com Get ISLAMIC-Graphics


Jalan-Jalan Syurga



Pada setiap pagi Jumaat, sebelum menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di sebuah kota dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu pagi Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun dengan lebatnya.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata, "Ayah! Saya sudah bersedia."

Ayahnya terkejut dan berkata, "Bersedia untuk apa wahai anakku?"

"Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah."

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat."

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turu.n"

Ayahnya menambah, "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini."

Dengan merintih anaknya merayu, "Benarkan saya pergi dulu wahai ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah." Sambil memeluk dan mencium pipi ayahnya.

Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan waktu itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya itu.

Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun dia gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah tersebut. Apabila sampai sahaja di rumah itu, lantas memberi salam dan ditekannya loceng rumah tersebut. Dia tunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.

Diketuk pula pintu lalu memberi salam, namun sekali lagi tiada jawapan. Bagai ada sesuatu yang memegang tubuhnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi.

Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang lelaki dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih.

"Nak, apa yang pakcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

"Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan pakcik adalah orang yang paling bertuah."

Dia senyum dan tunduk wajahnya sebagai tanda hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu wahai anak," katanya dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya, "Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu."

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah lelaki separuh umur itu.

"Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ilmu ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan semua, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Isteri saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini." Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila sampai masa saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi terdengar panggilan salam yang amat merdu dari suara anak kecil. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi beserta dengan salam. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada sesiapa pun yang menekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu.

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak kecil yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat."

"Pakcik, maaf saya mengganggu. Saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik." 

"Itulah kata-kata yang paling indah yang pernah saya dengar. Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan yang amat lebat. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asalnya. Saya tak perlukan itu lagi.

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang muslim yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang taat pada yang satu DIA adalah ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan tersesat berada selama-lamanya di dalam neraka."

Tiada satu pun anak mata di masjid waktu itu dalam keadaan kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini adalah Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.

Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang.



Sajak: Bukan Ku Pinta (Buat Adik Ahmad Adam Syukri)


















Bukan aku pinta lahir begini 
ibu bapaku jua pasti tidak pernah pinta aku lahir begini
ibu bapa mana sanggup lihat anak dinanti lahir begini
kesempurnaan yang pasti
namun Allah jua Maha Mengetahui
mengapa aku dilahirkan begini

Aku juga ingin jadi seperti anak-anak yang lain
hidup sempurna dan ceria
jalani hidup bagai insan biasa
bebas ke sana sini
bermain dan bergembira
jadi penghibur dalam keluarga

Aku tidak pernah mahu membebankan sesiapa
apatah lagi buat ibu bapa tercinta
namun apalah daya
aku tidak upaya
untuk nyatakan derita ditanggung
kesakitan yang bergabung

Mereka yang memandang rasa simpati
kata semangat diberi
buat perisai kekuatan diri
meneruskan hidupku di bumi Ilahi

Aku yang menanggung segala
sukar meluahkan apa dirasa
hanya tangisan dan air mata
mampu digambarkan pengganti bicara
bercerita tentang derita
bercerita tentang lara

Buat mama
dikau insan penyabar
tidak jemu melayaniku dan mengurusiku
dalam senyummu tersembunyi pilu
dalam tawamu terkandung tangismu
dikau insan pengasih tidak pernah gentar
menerima ujian Allah iman disandar
sebagai pegangan agar tidak tersasar

Buat bapa
dikau insan cekal
tidak kenal erti lelah
tidak kenal erti kalah
biar pun jauh kakimu melangkah
tetap kau redah mencari nafkah
tidak kau biar anak isterimu gundah
tidak tega melihat anak isterimu susah

Mama bapa
andai aku mampu berbicara
ingin aku katakan
betapa aku kasihkan kalian
betapa aku beruntung beribu bapakan kalian
insan berjasa begitu istimewa

Mama bapa
ketahuilah
Dia mengutuskanku kepadamu
bukan mahu menyeksa
bukan jua mahu kalian merana
namun
kalian insan terpilih
untuk diuji keimanan dan kesabaran
di situ tersembunyi hikmah tidak ketahuan

Mama bapa
terima kasih atas doa
yang tidak pernah putus
mengharap sinar harapan buatku
pulih dari sengsara
melihatku bahagia dan ceria

Namun
andai aku tidak bisa bertahan
janganlah ditangisi pemergian
kerna janji Allah sudah tersedia
ganjaran syurga buat kalian
di atas pengorbanan tanpa batasan
pengorbanan tidak minta balasan.


Nukilan: Ayna Najla
12 Oktober 2012 14:10H
Sungkai, Perak
 

Bajet Negara: Antara 'Gula' dan 'Rohani'

Oleh: Datuk Dr Ismail Ibrahim
3 Oktober 2012
Dr Ismail Ibrahim
Dr Ismail Ibrahim bekas Ketua Pengarah Ikim

MUNGKIN kita semua akur bahawa terdapat sesetengah masyarakat manusia yang terlalu mewah dengan harta kekayaan akan kurang ketaqwaannya.

Tetapi di sebaliknya,  mungkin juga terdapat sesetengah orang yang mewah dan kaya, mungkin akan bertambah ketaqwaannya, dan dapat melipatgandakan amal baktinya kepada ALLAH, yang dapat mengembalikan pahala yang banyak kepada mereka dibandingkan dengan orang miskin yang tidak berpeluang untuk menunaikan zakat atau sadaqah jariah dan berbakti kepada sesama manusia pada jalan ALLAH, maka golongan miskin ini tidak mendapat sebarang ganjaran dari kemiskinannya.
Adalah diharapkan bahawa bajet terbaru yang banyak menawarkan kebendaan kepada rakyat akan membuka pintu rezekinya yang agak luas, maka rakyat akan bertambah senang dan selesa dengan kehidupannya. Lalu mereka akan bersyukur dan akan mengerjakan amal bakti dan dapat beribadat dengan selesa kepada ALLAH SWT bagi mendapatkan ganjaran-Nya.

Harta dan kekayaan itu pula bukanlah merupakan sesuatu yang dibenci agama, malah harta dan kekayaan itu merupakan sesuatu yang dituntut untuk kesejahteraan manusia, kesenangan keluarga, kemudahan pendidikan dan selain dari itu memudahkan amal ibadat dan kerja-kerja kebajikan seperti yang di tuntut agama.

Mempunyai harta dan kesenangan tidak bererti yang ampunyanya akan menjadi jahat dan lupakan ALLAH, dan demikianlah sebaliknya kadang-kadang tanpa mempunyai harta itu, maka tidak semestinya orang itu menjadi baik dan taat kepada ALLAH SWT. Semuanya ini terhenti kepada diri individu itu sendiri secara peribadi.

Kita tentulah amat mamahami falsafah ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis. “Kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran”, “usahakanlah apa-apa yang dikurniakan ALLAH kepada kamu di negeri akhirat, namun janganlah kamu lupakan nasib kamu di dunia ini”. “Tuhan kami berikanlah kami kebahagiaan di dunia ini, dan berikanlah kami kebahagiaan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari azab neraka”

"Kerohanian" pula haruslah difahami dengan makna dan konsep yang lebih luas iaitu sifat  yang membawa manusia kepada mematuhi ajaran dan perintah ALLAH SWT, mulai dari amal ibadat dan akhlak mulia membawa kepada mempertingkatkan ilmu dan hikmah, dan bermula juga di surau dan masjid membawa kepada sekolah dan universiti, dari amalan membaca dan menghapal al-Quran membawa kepada menguasai bidang-bidang industri dan teknologi seperti yang berlaku pada zaman kecemerlangan Islam dengan kelahiran ahli-ahli falsafah, ilmuan, ahli falak, pelayaran, sains teknologi, sehinggalah kepada para hukamak dan ulamak yang memandu umat manusia kepada jalan ALLAH yang betul. Para ilmuan dan pejuang Islam itu adalah bersifat dengan sifat taqwa yang menguatkan mereka dalam bidang jasmani dan rohani, fizikal dan spiritual.

Rasullah SAW telah menunjukkan contoh sebagai seorang manusia unggul dalam jalan keduniaan dan akhirat. Ketika Baginda berhijrah maka baginda telah menguruskan hal ehwal kebendaan dengan baik, orang Islam membayar Zakat, dan orang bukan Islam membayar jizyah (cukai) kepada pemerintah, orang ansar dan  muhajirin tolong menolong dan bantu membantu untuk kesejahteraan saudara-saudara seagama, dan baginda mendirikan masjid serta memberikan pengajaran kepada semua. Maka semuanya ini adalah merupakan amalan pemimpin dan rakyat bagi mendapatkan keselesaan dalam menjalankan kehidupan mereka rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.
Saya tidak nampak bahawa bajet yang dikemukakan itu adalah merupakan kebendaan yang boleh dibandingkan dengan sogokan kaum musyrikin kepada baginda Rasulullah SAW supaya meninggalkan Islam, kerana dari sudut yang lain rangsangan untuk menegakkan Islam dan ajarannya secara langsung atau tidak langsung adalah dipermudahkan dengan bantuan kepada institusi-institusi masyarakat dan keagamaan untuk memperkuatkan ajaran Islam dan pendidikannya, tempat ibadah dan dakwahnya, sekolah dan universiti Islam, madrasah tahfiz dan al-Quran, perbankan dan kewangan sistem Islam, takaful serta lain-lainnya.

Namun begitu, apa-apa komen dan analisis yang dibuatkan terhadap bajet yang baru dikemukakan itu haruslah diterima dengan hati yang terbuka kerana bagi saya yang pentingnya bukanlah sesuatu yang dikemukakan dalam bajet itu yang mengandungi segala keburukan atau kebaikannya, malahan kumpulan sasar yang diberikan bajet itulah yang sebenarnya dapat menguruskan segala kebaikan yang diberikan di dalam bajet itu, sama ada kebendaan, perumahan, pendidikan dan sebagainya, kerana orang yang menerima itulah akhirnya yang merasakan kesannya dan mengetahui bagaimanakah mengambil kesempatan dari kebaikan bajet itu untuk kepentingan agama, bangsa dan negaranya.

Hal ini saya rasa amat penting difahami dan dihayati oleh masyarakat umum kerana sebarang salah faham yang dibangkitkan untuk mencarikan keburukan bajet ini hanya akan mengelirukan pandangan umum masyarakat kita, terutamanya apa bila isu ini dibangkitkan atas nama agama dan ajarannya yang suci.

Ahmad Adam Syukri Perlu Bantuan dan Doa Kita

Adam dan mama Adam
SALAM...
Buat sesiapa sahaja yang terbaca entri ini, saya ingin menyeru dan merayu kepada anda agar kita dapat bersama-sama menyumbang sesuatu untuk seorang anak kecil yang tidak mengerti apa-apa bagi meneruskan kehidupannya di dunia ini. 
Kecekalan seorang ibu..
Naluri seorang ibu membuat hati saya cukup terharu dan sebak menatap wajah kecil adik Ahmad Adam Syukri yang mengalami barain damaged (severe hie) atau kerosakan pada saraf otak. 
Betapa adik Adam begitu kuat dan cekal melalui hari-harinya walau pun dalam kepayahan dan penderitaan. Mujurlah adik Adam memiliki seorang ibu yang amat sabar dan tabah dalam menerima ujian Allah ini.
Adam tidak boleh memakai baju kerana kulit sensitif.
Sedikit maklumat tentang adik Adam yang pernah ditulis dalam page lama Adam...
"Adam dilahirkan pada 4 Mac 2012 secara vacum. Sewaktu dilahirkan Adam keluar dalam keadaan flat dan kekurangan oksigen. Melalui scan MRI pada 9 Mac 2012 telah menunjukkan otak Adam mengalami kerosakan yang amat teruk. Adam tidak pandai menelan air liur dan bergantung kepada mesin oksigen untuk terus hidup. Adam juga perlu bergantung kepada mesin suction  untuk menyedut air liur dalam rongga hidung dan mulutnya. Mata kanan Adam mengalami kecederaan. Begitu juga dengan telinga sebelah kanan yang tidak dapat mendengar kerana kerosakan pada bahagian dalam telinganya.
Doktor pakar otak mengesahkan Adam akan terlantar seumur hidup dan peluang untuk berjalan dan hidup seperti kanak-kanak normal memang amat tipis. Doktor pakar otak mengklasifikasikan kerosakan otak Adam sebagai kematian saraf otak."
Ya Allah...kasihannya adik Adam..Pertama kali membaca kisahnya seingat saya beberapa bulan yang lalu melalui FB...segera saya like page adik Adam untuk mengetahui butiran lanjut tentangnya. Menatap foto-foto Ahmad Adam membuatkan hati tersentuh dan menangis mengenangkan bayi sekecil Adam terpaksa menanggung penderitaan ini. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.
Hanya doa dari kejauhan dapat saya pohon ke hadrat Allah mudahan adik Adam dapat dipulihkan dan dapat hidup sihat sebagaimana kanak-kanak yang lain.  
Minggu sudah dan pagi tadi (10 Okt 2012) saya terlihat kisah adik Adam dipaparkan di MHI TV3. Semoga dengan tersiarnya berita ini akan lebih ramai rakyat Malaysia menyumbangkan bantuan kepada keluarga ini. 
Gambar terbaru Adam 9 Oktober 2012
Kepada anda yang prihatin (saya yakin anda adalah masyarakat yang prihatin), marilah kita membantu adik Adam dan keluarganya agar dapat mengurangkan penderitaan dan bebanan mereka. Semoga bantuan sedikit yang diberi (jika tidak mampu dari segi kewangan berdoalah kepada Allah untuk penyembuhan adik Adam) dapat merealisasikan impian ibu adik Adam untuk melihat anaknya pulih.
Kepada keluarga adik Adam, anda tidak sendirian kerana kami rakyat Malaysia sentiasa mendoakan yang terbaik buat adik Ahmad Adam. 
Bantuan boleh dihulurkan kepada Noraisah Mohamad Malena (ibu Adam) di:
1611 3633 1818 (Maybank)
0204 0007 2922 01 (CIMB)
Untuk mengetahui perkembangan terkini tentang adik Adam, sila like page FB terbaru Ahmad Adam Syukri.

Apabila Aku Cinta PadaMu





Apabila aku cinta padaMu
perasaan itu cukup indah
hadir tanpa diminta
tidak juga dipaksa-paksa
meresap ke dalam jiwa

Apabila aku cinta padaMu
bergetar bibir berdetak hati
mengalun zikir penenang jiwa
damai terasa Kau sentiasa ada

Apabila aku cinta padaMu
aku ingin segera menemuiMu
dalam sujudku bertamu rindu
di fikiranku hanya Kau Tuhanku

Apabila aku cinta padaMu
redhaMu kudamba selalu
menunjuk jalan lurus di hadapanku
agar tidak tersasar jejak langkahku

Mudahan dengan rahmatMu Tuhanku
bahagia itu akan kutemu
nikmat kedamaian bersatu  
dengan cinta sejati kepadaMu
buat pencipta diriku.


Nukilan: Ayna Najla
10 Oktober 2012 13:25H
Sungkai, Perak



Sebaik-baik Manusia...




Sabda Rasulullah SAW. kepada Saidina Ali k.w yang bermaksud :

"Wahai Ali ! Sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT. adalah yang memberi kemanfaatan bagi manusia. Adapun seburuk-buruknya di sisi Allah adalah orang yang berumur panjang tetapi buruk amal perbuatannya."

"Wahai Ali ! Sebaik-baiknya manusia adalah orang yang berumur panjang serta baik amal perbuatannya."


"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang mukmin itu ada tiga :
1.Tidak suka kepada harta dunia.
2.Tidak suka kepada wanita (maksudnya tidak suka melakukan maksiat dan mengikut hawa nafsu syahwat)
3.Tidak suka mengumpat ‘aib orang lain."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang ‘alim itu ada tiga :
1.Jujur dalam berbicara.
2.Menjauhi yang haram
3.Tawaduk (rendah hati)"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang yang bertakwa itu ada tiga :
1.Takut berdusta dan berbuat keji.
2.Menjauhi kejahatan.
3.Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang benar itu ada tiga :
1.Merahsiakan ibadah.
2.Merahsiakan sedekah.
3.Merahsiakan dugaan yang menimpa dirinya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda ahli ibadah itu ada tiga :
1.Selalu membatasi diri.
2.Selalu menghisab (menghitung-hitung) dirinya.
3.Selalu memperbanyakkan ibadah"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang soleh itu ada tiga :
1.Selalu memperbaiki hubungan dengan Allah s.w.t. melalui amal soleh.
2.Selalu memperbaiki agamanya dengan beramal soleh.
3.Selalu redha terhadap manusia dari apa yang diredai dirinya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang bahagia itu ada tiga :
1.Makanannya halal.
2.Duduk bersama para ulama’
3.Solat lima waktu bersama imam (berjemaah)"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang dermawan itu ada tiga :
1.Memberi maaf ketika berkuasa (membalas).
2.Mengeluarkan zakat dengan benar.
3.Senang mengeluarkan sedekah."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang tasamuh (toleransi) itu tiga :
1.Menyambung silaturahim pada orang yang memutuskannya.
2.Memberi kepada orang yang menghalang-halanginya
3.Memaafkan orang yang menganiayanya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang sabar itu ada tiga :
1.Sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT
2.Sabar atas dugaan (musibah) yang dideritainya.
3.Sabar atas qadak (ketetapan) Allah SWT"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang taubat itu tiga :
1.Menjauhi segala yang haram.
2.Senang menuntut ilmu untuk ibadahnya kepada Allah.
3.Tidak kembali berbuat dosa, sebagaimana tidak kembalinya susu yang sudah diperas kedalamnya."

Sajak: Badai Kehidupan







Aku dilambung badai di lautan luas tak bertepian
datangnya tanpa belas kasihan
datangnya tiba-tiba tanpa amaran
aku karam di lautan dalam
cuba mencari tempat berpaut
tidak ketemuan.

Aku terus dihempas badai mengganas
lemas dalam harapan menggunung
untuk berpijak di hamparan daratan
yang masih jauh untuk ku renangi
yang masih jauh untuk ku hampiri
goyah rasa hati.

Masih adakah sinar hidup
masih adakah waktu dan kesempatan
untukku kembali 
merentasi laluan tak bertepi
terkulai lemah dalam noda
kerna alpa ku merencana.

Nukilan: Ayna Najla
06 Oktober 2012 09:00H
Sungkai, Perak.